Kemungkinan BN kembali berkuasa dalam 15 tahun tipis
PETALING JAYA: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, parti itu perlu bersiap sedia memainkan peranan sebagai pembangkang untuk jangka panjang kerana kemungkinan menukar kerajaan dalam 15 tahun ini adalah sangat kecil.
Beliau dalam wawancara bersama akhbar Oriental Daily berkata, berjuta ahlinya menjadi bahan jenaka kerana MCA kini merupakan pembangkang dan berdepan ujian berapa ramai ahli serta pemimpinnya masih sanggup bersamanya.
“Kita tidak boleh patah balik dalam laluan ini. (Untuk kembali berkuasa) 5 tahun terlalu optimistik, 10 tahun juga dikira optimistik, ada kemungkinan untuk 15 tahun dan sama ada kerajaan akan bertukar selepas 20 tahun (4 penggal), bergantung kepada prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).”
Wee yang kini merupakan satu-satunya ahli Parlimen pembangkang berbangsa Cina berkata, jika kerajaan PH melakukan dengan baik, tidak mungkin kerajaan akan bertukar dalam 30 hingga 40 tahun akan datang.
Beliau tidak tahu sama ada dirinya berpeluang melihat MCA kembali menjadi parti pemerintah, tetapi langkah seterusnya ialah mewujudkan mekanisme latihan bakat untuk melahirkan pemimpin pelapis.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, perkara paling penting sekarang ialah menghimpunkan orang berbakat dan berpandangan jauh untuk bersama memainkan peranan sebagai parti pembangkang membina.
“Ahli atas nama tidak penting lagi, sebaliknya kita perlu mencari ahli yang benar-benar mahu menyumbang kepada parti. Ramai pemimpin memilih untuk berundur sekarang, jadi ada banyak kekosongan perlu diisi.”
Wee berkata, sejak 3 minggu lalu, ada sesetengah bakat muda yang mendakwa mereka mengundi PH pada 9 Mei lalu dan kini mahu menyertai MCA memantau kerajaan untuk melakukan lebih baik.
Beliau kini disebut-sebut akan menggantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai presiden MCA selepas bekas menteri pengangkutan itu tidak berhasrat bertanding jawatan nombor satu itu dalam pemilihan parti Oktober ini.
“Ada ramai yang minta saya galas tanggungjawab ini. Ketika ini, saya rasa dari segi moral saya perlu menggalas tanggungjawab ini. Tetapi, saya ada satu permintaan supaya semua orang dalam parti perlu melakukannya bersama.”
Katanya, tiada dendam yang tidak boleh diselesaikan dan tidak wujud lagi konflik kepentingan, jadi beliau sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam parti untuk membina semula MCA menjelang pemilihan 4 Oktober nanti.
Wee berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam pada 9 Mei lalu, selepas menewaskan calon DAP, Liew Chin Tong dan calon PAS, Mardi Marwan dengan majoriti tipis 303 undi.
......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR | Telegram MR | Facebook MR
Tiada ulasan