Header Ads

ads header

Flash News

Abdul Hadi sindir Tun Mahathir?


KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat seolah-olah menyindir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kemajuan di negeri Kelantan yang sebelum ini pernah dikritik.

Menurut Abdul Hadi, peruntukan negeri Kelantan disekat-sekat hingga mengganggu urusan pentadbiran negeri itu.

“Terengganu dirampas royalti petroleum, Kelantan tidak dibaginya, disekat-sekat peruntukan kewangan, dilantik pegawai Persekutuan untuk mencampur urusan Kelantan dan Terengganu masa kita memerintah.

“Kemudian dia kata pula Pas tak pandai memerintah, dia yang sekat, yang halang campur tangan ini masalah yang kita hadapi. Namun kita berhempas pulas tak berhenti berjuang untuk menjadikan Islam sebagai penyelesaian politik dan ekonomi,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas kali pertama di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.Sebelum ini, Dr Mahathir berkata Kelantan merupakan sebuah negeri yang miskin walaupun ramai rakyatnya terdiri daripada usahawan yang mahir dan berbakat.

Katanya perkara ini disebabkan kerajaan negeri yang dikuasai Pas tidak dapat mentadbir sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan persekutuan.

Dalam ucapan sama, Abdul Hadi sempat berkongsi lipatan sejarah berkait pemerintahan Pas di Kelantan dan Terengganu sejak dulu lagi.

“Kita memerintah Kelantan tahun 1959 hingga 1979, masa itu tenat dikepung kita, dibelasah oleh Pusat, tahun 1979 kita jatuh. Tidak banyak yang kita boleh buat. Tahun 1990 kita ambil balik Kelantan, maju sedikit banyak kita boleh buat walaupun dalam keadaan sangat terdesak, kewangan dan hasil terhad.

“Terengganu tahun 1959 kita menang, tahun 1961 jatuh dan tahun 1999 menang balik. 60 peratus Petroleum di Malaysia ini ada di Terengganu. Oleh kerana kita ada hasil maka kita buktikan kemampuan untuk memerintah.

“Kita hapuskan tol di jambatan Kuala Terengganu tahun 1999. Dia janji nak hapuskan tol, janji saja tak boleh hapus tol. Kita hapuskan tol. Kemudian kita hapuskan cukai pintu kediaman di bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Namun menurut Abdul Hadi, Pusat kemudiannya merampas hasil petroleum daripada Terengganu pada Ogos 2000 menyebabkan kerajaan negeri tidak ada hasil yang banyak dan mengalami kesulitan.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mendakwa Kelantan merupakan negeri paling miskin ekoran tindakan kerajaan BN terdahulu di bawah kepimpinan Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri keempat.

Najib berkata, Dr Mahathir yang menghentikan projek-projek pembangunan dan keperluan asas kerana ia jatuh di bawah kepimpinan parti lain pada 1990 sehingga tiada satu pun lebuh raya atau infrastruktur air bersih yang sempurna di negeri berkenaan.

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan