Header Ads

ads header

Flash News

Mara Digital Makin Teruk Merosot Selepas Pelaksanaan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST)


KUALA LUMPUR: Pembekal tunggal di Mara Digital Mall Kuala Lumpur mengakui selepas 3 tahun penubuhan, pusat teknologi maklumat dan komunikasi (IT) itu kurang mendapat sambutan pengunjung.

Pengurus bahagian pemasaran dan stor WGN Scan Sdn Bhd (WGN), Mohd Izzat Akbar Arif Amir Amran berkata mereka kurang mendapat promosi daripada media, selain “marketing” dan “brand” yang tidak kukuh menyebabkan hasil jualan dan pelanggan yang datang jauh berbeza ketika pusat itu mula operasi pada Disember 2015.

“Boleh dikatakan jualan merosot sebanyak 30% jika dibandingkan antara tempoh (September 2017 hingga September 2018) dengan (September 2016 hingga September 2017).

“Tetapi ada kalanya jualan meningkat, misalnya ketika cuti sekolah dan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selama 3 bulan sebelum ini. Namun pelanggan ke Mara Digital Mall tidak seperti tahun pertama operasi,” katanya.

Izzat bagaimanapun menafikan peniaga di Mara Digital Mall langsung tidak mendapat keuntungan.

Beliau berkata 16 syarikat yang masih menjalankan operasi di Mara Digital Mall adalah orang yang sama dan masih bertahan serta menyambung kontrak mereka sejak Disember 2015.

“Jika tidak ada untung langsung, takkan mereka masih berniaga di sini selama 3 tahun dan sambung kontrak mereka.

“Cuma ada peniaga yang jualannya merosot tetapi tidak semua,” katanya.

Izzat turut mengalu-alukan langkah Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun untuk meneruskan dan menambahbaik Mara Digital Mall.

Beliau amat menyokong jika menteri itu mempunyai cara untuk menaikkan Mara Digital Mall seperti tahun pertama diperkenalkan kepada umum.

“Kita ambil contoh, daripada segi ‘marketing’ Mara Digital Mall ini harus di perluaskan.

“Kena ada kosisten dan dapat hebahan daripada media. Ini kerana agar orang masih ingat Mara Digital Mall masih ada lagi.

“Kadang orang ingat Mara Digital Mall ini dah tak ada,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar jenama Mara Digital Mall ini diperkuatkan lagi.

“Macam dulu Mara Digital Mall sedikit kuat namanya sebab media banyak datang buat liputan tetapi sekarang sudah berkurangan. Kira kurang publisiti dan hanya harapkan bangunan di sekeliling Mara Digital Mall. Media sosial kita sendiri tak cukup kuat nak tarik pelanggan.

“Kita juga jarang buat program sebab tidak ada ‘link’ dengan media. Kalau menteri ada cara nak bantu, kita berbesar hati,” katanya.

Pada 26 September lalu, Rina berkata barisan kepimpinan Majlis Amanah Rakyat (Mara) baharu akan menambahbaik Mara Digital Mall, inisiatif yang dilancarkan kerajaan untuk membantu usahawan Bumiputera menembusi pasaran teknologi maklumat dan komunikasi.

Rina berkata penambahbaikan itu nanti berdasarkan kajian yang akan mengambil masa 1 bulan untuk dilengkapkan

Izzat berkata WGN terbuka sekiranya Rina mahu berjumpa dengan pihaknya bagi berkongsi pendapat dan berbincang untuk menaikkan semula Mara Digital Mall.

“Kita memang sudah ada perjumpaan dengan Mara sebulan sekali. Dari sudut lain kita boleh bincang sesama peniaga untuk penambahbaikan,” katanya yang mencadangkan perjumpaan dengan Rina sebulan sekali.

Mara Digital Mall yang khusus untuk peniaga Bumiputera-Melayu, dilancarkan pada 8 Disember 2015 di Bangunan Mara, berdekatan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Pada awalnya, ia disasarkan menjadi pesaing Plaza Low Yat, ekoran pertelingkahan yang berlaku di pusat beli-belah itu pada Julai 2015, apabila seorang pemuda didakwa mencuri telefon pintar Lenovo bernilai RM800 daripada sebuah kedai.

Peniaga harapkan bantuan kerajaan

Beberapa peniaga Mara Digital Mall yang ditemui FMT berharap kerajaan membantu menaikkan semula Mara Digita Mall agar pelanggan tertarik untuk datang ke sana.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Salam, berkata selama 2 tahun setengah berniaga di Digital Mall promosi dan iklan sangat kurang.

“Dari luar (Mara Digital Mall) tak nampak macam Mall pun. Papan tanda Mara Digital Mall pun tersorok.

“Ini bukan saya kata, ini pelanggan yang kata. Iklan kena banyak supaya orang tahu kewujudan Mara Digital Mall,” katanya.

Salam mengakui kedainya mengalami kemerosotan jualan sebanyak 50% selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Seorang lagi peniaga, Zabedah Ismail mengharapkan sokongan daripada menteri untuk menaikkan semula Mara Digital Mall seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini.

Beliau juga berharap “marketing” di pusat IT ditambah baik.

“Kami memerlukan banyak ‘event’ dan liputan media seperti waktu operasi awal Mara Digital Mall,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya dikenali Azam berkata selama 3 tahun berniaga di Mara Digital Mall, ramai pelanggan Melayu beri sokongan.

Beliau juga mengalu-alukan pelanggan kaum lain datang membeli belah di situ.

“Kita sambut semua orang tak kira bangsa. Tetapi ‘marketing’ dan iklan kena ditambah baik,” katanya.



MR : Ini hebatnya kerajaan PH menjana ekonomi....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

1 ulasan: