Header Ads

ads header

Flash News

Najib saran PH bantu Felda, jual aset tak selesai masalah


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, penjualan aset Felda tidak dapat menyelesaikan masalah aliran tunai, sebaliknya beliau mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi peruntukan kewangan kepada Felda.

Bekas perdana menteri itu berkata, penjualan aset bukan penyelesaian jangka panjang dan akan memberi kesan negatif kepada Felda, khasnya jika kadar pulangan jualan lebih rendah daripada kadar faedah hutang Felda.

Katanya, tidak keterlaluan kerajaan membantu peneroka Felda kerana sudah mengaut pelbagai hasil dan cukai daripada sektor minyak sawit.

“Walaupun pada 1996 kerajaan sudah menghentikan pembiayaan kewangan kepada Felda, kerajaan patut memberi kelonggaran dan pertimbangkan untuk memberi peruntukan kewangan kepada Felda memandangkan keadaan tiba-tiba menjadi rumit selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Felda ialah agensi kerajaan. Matlamat Felda ialah untuk membela peneroka-peneroka. Tidak salah untuk kerajaan menolong agensi kerajaan supaya kebajikan peneroka dijaga,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Felda akan menjual aset tidak strategik sebagai pelan pemulihan untuk mengurangkan beban hutang mencecah RM8 bilion.

Katanya, aset bukan strategik di Sabah, Sarawak dan London itu dijangka menyumbang RM2.2 bilion kepada Felda.

Hari ini, Najib berkata, lebih RM6 bilion daripada RM8 bilion hutang Felda, sebenarnya dipinjamkan kepada peneroka untuk penanaman semula dan perumahan.

“Tohmahan PH bahawa masalah Felda kekurangan wang kerana berbilion-bilion telah dicuri atau dibazir juga tidak benar,” beliau merujuk tuduhan ketirisan dalam pelaburan Felda menerusi hotel yang dibeli di London, Sabah dan Sarawak.

“Tuduhan-tuduhan ini telah disiasat dengan terperinci oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ada ahli Parlimen Umno dan seorang lagi pemimpin PPBM telah ditahan reman.

“Tuduhan ini ada kemungkinan harga yang dibeli lebih mahal daripada harga pasaran, tetapi tidaklah mencecah hingga berbilion-bilion. Hotel-hotel memang masih wujud dan wang tidak dihilangkan.

“Masalah asas Felda pada masa ini ialah harga dan eksport minyak sawit yang tiba-tiba menyusut dengan teruk selepas PRU14.”

Selain bantuan kewangan kerajaan, ahli Parlimen Pekan itu mencadangkan kerajaan PH menjalin hubungan diplomatik dengan negara pembeli kelapa sawit, termasuk China.

“Tiada manfaat untuk kita jika kerajaan PH terus menuduh China bersubahat dengan kerajaan BN melakukan rasuah atau kononnya menipu kita dalam projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) atau projek-projek lain tanpa sebarang bukti dan hanya sekadar polemik politik.

“Jika China tidak membeli minyak sawit dari kita, mereka boleh membeli dari negara jiran ataupun bertukar menggunakan minyak lain seperti minyak soya atau minyak jagung.

“Kerajaan juga perlu tingkatkan usaha untuk berunding dengan negara Eropah agar mereka tidak mengharamkan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api bio-diesel.”

Cadangan ke-3 dikemukakan Najib ialah menggantikan penggunaan diesel dengan minyak sawit bio-diesel B10 dengan segera.

“Bio-diesel B5, iaitu 5% daripada kandungan diesel dibuat daripada minyak sawit diperkenalkan pada Jun 2011. Ia dinaikkan menjadi B7 pada Januari 2015.

“Ia sepatutnya dinaikkan kepada B10 pada Julai 2016, tetapi pada masa itu, harga diesel sangat murah, antara RM1.35 sehingga RM1.65 seliter (harga RON95 ialah RM1.35 hingga RM1.65) berbanding RM2.18 seliter pada masa ini.

“Keadaan sudah berubah sekarang. Harga minyak diesel sudah tinggi, manakala harga minyak sawit rendah. Tiada sebab mengapa penggunaan bio-diesel tidak dinaikkan menjadi B10 sekarang.”

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. Sekali imbas akronim mereka ini adalah: Pakatan Hapus Hutang walhal selepas dua kali imbas bunyinya lebih kepada Pakatan Haprack Habis.

    Muahahaha

    BalasPadam