Namun hakikatnya apa yang disebut oleh Abdullah Sani itu benar-benar wujud dan ia adalah daripada kumpulan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri. Hal itu sesuatu yang diketahui umum dalam PKR dan diakui sendiri oleh Setiausaha Agung parti itu, DATUK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL. Ikuti siri kedua wawancara bersama beliau bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR ketika ditemu bual di pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya.

MINGGUAN: Ada pihak yang tidak yakin Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri kelapan. Apakah tidak ditetapkan tempoh untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan itu?

SAIFUDDIN:
Apabila orang bercakap tentang konsensus, saya hendak sebut, ketika PH bersetuju Dr. Mahathir menjadi calon Perdana Menteri, kami cuma bersetuju Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri kelapan.

Tidak ada tempoh masa. Atas rekod, ketika PH bersetuju Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, tidak ada ikatan atau garis masa. Bila Dr. Mahathir sudah angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, beliau pergi ke hospital berjumpa Anwar. Dr. Mahathir kata beliau mahu melantik Anwar sebagai senator supaya beliau boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Tetapi Anwar kata, “Terima kasih Tun. Bagaimana saya mahu menjadi sebahagian kerajaan sedangkan isteri saya adalah Timbalan Perdana Menteri.”

Anwar beritahu, kalau beliau hendak masuk balik, beliau akan masuk sebagai ahli Parlimen melalui pilihan raya kecil dan bukan sebagai senator. Anwar konsisten dalam hal itu. Beliau tidak mahu sebarang jawatan kerajaan hatta kalau menang di Port Dickson sekalipun.

Kalau semua sudah sepakat dengan keputusan itu, kenapa tiba-tiba isu ini berbangkit dalam kempen pemilihan PKR?

SAIFUDDIN:
 Isu dalam parti ini, mesej itu ditujukan untuk orang di dalam parti. Kalau faham susur galur, dalam parti ini ada yang tidak bersedia menerima bahawa Anwar itu patut jadi Perdana Menteri. Skripnya adalah “sekarang masa untuk orang muda. Anwar patut bincang pasal legasi dia sahaja.”

Abdullah Sani Abdul Hamid dan Mohd. Rafizi tahu tentang ini.  Untuk orang parti, mereka kena faham perkara ini. Itu konteks yang mereka sebut.

Sebagai Setiausaha Agung PKR, Datuk sudah tentu tahu banyak tentang dalaman parti termasuk penubuhan PH. Kenapa ada sedikit masalah semasa hendak menubuhkan PH?

SAIFUDDIN:
Sejurus Pakatan Rakyat (PR) terbubar, parti pembangkang cuma ada dua, DAP dan Keadilan. Pada masa itu isu 1MDB dan Felda baru timbul.

 Maka kawan-kawan bekas (pemimpin) Pas menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah). Kami pun segera mengikat pakatan baharu yang kami namakan Pakatan Harapan (PH). Disebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam penjara, asasnya pada waktu itu, kepimpinan yang lemah lebih baik daripada tak ada kepimpinan langsung.

 Pada masa itu juga, PKR berpecah kepada dua (kelompok). Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat menubuhkan PH adalah satu kesilapan besar sebab dengan sendirinya kita telah menutup pintu bekerjasama dengan Pas kerana Pas adalah rakan strategik di Selangor. Ini sangat fundamental.

Kami pula kata mengambil Putrajaya lebih utama daripada mempertahankan Selangor.  Tanpa Pas atau dengan Pas, kami akan teruskan dengan PH.

Akhirnya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kata teruskan dengan PH. Bayangkan jika kami tidak mulakan PH, hari ini kami tidak pergi ke Putrajaya.

Sebab bila kami sudah buat PH, tiba-tiba UMNO berpecah. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal terkeluar. Tun Dr. Mahathir Mohamad pula membentuk parti baharu.

Selepas apa yang berlaku selama ini, bagaimana PKR boleh bersetuju menerima Dr. Mahathir sebagai Pengerusi PH?

SAIFUDDIN:
PKR menerima Dr. Mahathir sebagai Pengerusi PH. Saya orang yang keluar masuk penjara berjumpa dengan Anwar sebab apabila melibatkan perkara besar, PKR tetap kena minta pandangan Anwar.

Yang boleh masuk jumpa Anwar cuma Dr. Wan Azizah dan anak-anak beliau. Saya menulis kepada Jabatan Penjara, dan saya pun dibenarkan masuk berjumpa Anwar. Itu lebih dibantu sebab Dr. Mahathir hadir memberikan afidavit sokongan bagi mengukuhkan kes Anwar.

Beliau mencabar keputusan Kerajaan Persekutuan yang mengadakan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September 2016.

Yang ada di situ, Anwar, Dr. Wan Azizah dan semua anaknya kecuali Ehsan yang berada di Amerika Syarikat (AS). Saya ada di situ.  Itu pertama kali Dr. Mahathir jumpa Anwar selepas peristiwa pemecatan Anwar 2 September 1998.

Sapaan pertama itu datang daripada Dr. Mahathir dan ia tentang kesihatan Anwar. Jadi, ternyata pertemuan itu sangat membantu. Saya berada di situ dan tengok sendiri. Anwar kata, “Saif, I kenal Dr. Mahathir ini lama.  Tapi tengok dari segi demeanour (gelagat), betul dia hendak reconcile (berbaik semula).”

Pada 6 September (keesokannya), saya masuk jumpa Anwar di dalam Penjara Sungai Buloh. Anwar kata, beliau tidak dapat tidur malam tadi kerana tidak pasti dengan keputusannya berjumpa Dr. Mahathir yang mungkin melukakan Dr. Wan Azizah dan anak-anak.

Saya beritahu Anwar, kalau hendak move on, memaafkan itu lebih baik sebab kita sudah tidak ada bebanan. Saya habiskan masa lebih dua jam dengan Anwar tentang tajuk itu sahaja.

Anwar cakap, “Ya Saif, move on, to forgive and to forget.” Itu ayat Anwar. Itu membantu apabila kita hendak memuktamadkan keputusan bersama melantik Dr. Mahathir sebagai Pengerusi PH atau tidak.

Ada sedikit masalah dalam PKR semasa hendak melantik Dr. Mahathir sebagai Pengerusi PH. Apakah yang berlaku sebenarnya?

SAIFUDDIN:
Apabila hendak lantik Dr. Mahathir sebagai Pengerusi PH, di luar sebut, Pakatan patut menimbangkan tokoh muda. Tokoh muda tidak ada orang lainlah. Kami bergelut hendak meletakkan Dr. Mahathir untuk kestabilan dan mengukuhkan PH ketika alternatif kami duduk di dalam penjara.

Di dalam parti pula kata, “Sekarang masa untuk orang muda. Anwar kena terima hakikat dan dia patut cakap soal legasi dia sahaja. Dia tidak ada lagi sokongan orang muda.” Serangan ini timbul dalam PKR.

Bagaimana proses perundingan kerusi pula kerana nampak agak rumit untuk memuaskan hati semua parti?

SAIFUDDIN:
 Masa hendak muktamadkan perundingan kerusi, tidak mudah kerana Bersatu kata parti itu ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Jadi, Bersatu perlu diberikan lebih kerusi dalam PH bagi meyakinkan orang Melayu bahawa kepentingan Melayu akan dijaga oleh PH.

Kami berunding dan bersetuju Bersatu dapat lebih kerusi iaitu 52 kerusi Parlimen. Atas kertas Bersatu lebih kerusi tetapi tidak boleh lebih banyak sangat. Siapa yang berunding bagi pihak PKR? Mohd. Rafizi, Saifuddin dan Nurul Izzah.

Jadi, yang menggerakkan PKR sampai ke hujung adalah Mohd. Rafizi dengan Nurul Izzah termasuk menyediakan  manifesto dan perundingan kerusi. Jelajah PH pun mereka. Mohamed Azmin pada masa itu cuma memberikan fokus kepada Selangor. Beliau tidak turun satu pun dalam majlis Jelajah PH.

Bagaimana pula dengan keputusan memilih Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH? Apakah itu sukar?

SAIFUDDIN:
 Bila manifesto dan agihan kerusi sudah selesai, kami hendak buat Konvensyen PH. Tarikhnya 7 Januari (2018) di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, Selangor untuk isytihar manifesto, pembahagian kerusi dan calon Perdana Menteri.

Pada masa itu isunya ialah siapa calon Perdana Menteri walaupun Pengerusi PH sudah muktamad. Kami bincang lagi sekali. Pada masa itu, Anwar berada di hospital dan saya berada di Singapura. Sehari sebelum konvensyen itu, saya balik berjumpa Anwar.

 Beliau kata, ini bukan satu keputusan yang mudah kerana ini adalah penentu. Beliau bertanyakan penilaian saya dan jelaskan berpegang kepada keputusan Pengerusi PH adalah calon Perdana Menteri. Yang lain saya sudah bincang semua dengan Dr. Mahathir.

Difahamkan PKR ada membuat beberapa permintaan kepada Dr. Mahathir sebelum menerima beliau sebagai Pengerusi PH. Apakah permintaan itu?

SAIFUDDIN:
Saya berbincang dengan Mohd. Rafizi, Dr. Wan Azizah dan Nurul Izzah. Saya kata begini, kita akan bersetuju Dr. Mahathir menjadi Pengerusi. Tetapi kita ada beberapa permintaan. Permintaan ini bukan dalam konteks kalau kami bersetuju, kamu kena bagi yang ini.

Kami ada senarai permintaan. Kalau langkah kami berbaik dengan Dr. Mahathir sampai ke peringkat menerima beliau sebagai Pengerusi PH, tentulah tidak keterlaluan kalau disampaikan beberapa senarai permintaan kami.

 Yang pertama, pembebasan Anwar.Kedua, mendapatkan pengampunan ke atas Anwar. Yang ketiga, PH di bawah Dr. Mahathir komited untuk melaksanakan agenda reformasi. Anwar ertinya reformasi, manakala Dr. Mahathir menyelamatkan negara. Kalau kami boleh gabungkan dua ini, cantik.

Yang keempat ialah kembalikan Anwar pada kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Ini cerita pada 2016 masa Dr. Mahathir baru masuk. Belum ada apa-apa lagi, sudah letak asas ini. Saya dan Mohd. Rafizi yang membuat draf A hingga Z empat perkara ini.