Header Ads

ads header

Flash News

Kerjasama meyakinkan Pas-UMNO


KERJASAMA dua parti Melayu terbesar, Pas dengan UMNO disifatkan dengan pelbagai tanggapan oleh pihak yang kritis terhadap perkembangan ini, yang kesemuanya memberi gambaran paling ekstrem dan menyeleweng pada kerjasama yang masih di peringkat awal ini.

Kerjasama dua parti ini suatu gabungan disatukan oleh pendirian keras, membentuk satu gelombang baharu nasionalisme Melayu haluan kanan dengan kumpulan Islam ekstrem.

Pada masa sama, kerjasama Pas-UMNO ini juga cenderung disifatkan seolah-olah telah muktamad, dimeterai menjelang pilihan raya kecil di Semenyih dan dianggap seperti satu pakatan baharu dalam senarai parti dan gabungan politik di Malaysia.

Hakikatnya, kerjasama Pas-UMNO kekal berada di haluan sederhana walaupun di dasari konservatisme dan proses pembinaan dan pengukuhan kerjasama ini masih di peringkat awal.

Paling utama dan asas, kerjasama antara parti seperti ini ialah satu amalan biasa dalam demokrasi, yang kekal dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan peringkat oleh parti-parti politik sepanjang sejarah Malaysia.

KEGELISAHAN DAP?

Parti yang paling menunjuk keresahan terhadap kerjasama Melayu, DAP, menyifatkan kerjasama ini jika berkuasa akan jadi seperti Taliban di Afghanistan yang melaksana dasar dan peraturan keras dan melampau.

Parti sekutu kuat DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) terus memberi gambaran negatif kerjasama Pas-UMNO, tetapi sekadar mencerminkan kerisauan DAP dan kritikan parti ini sebahagian besarnya hanyalah ejekan dan tidak menampakkan asas pendirian selain menyampai keresahan DAP dan keresahan sendiri sebagai parti serpihan Pas.

Dalam kalangan komuniti liberal, sebarang hal berkaitan kerjasama politik Melayu sudah sedia ditanggapi dengan amat negatif.

Dalam bahasa wacana liberal, sebarang kerjasama apatah lagi penyatuan lebih tersusun dan formal dikait dengan kecenderungan perkauman yang menggugat keharmonian.

Sejak kerjasama Pas-UMNO ini menjadi lebih jelas, banyak pandangan diutarakan, seperti menyifat kerjasama ini tindakan berundur ke belakang daripada kemajuan dalam keharmonian kaum, malah disifat bertunjang ideologi haluan kanan ekstrem.

Malah, tanpa kerjasama ini pun, Pas sudah sedia diberi gambaran sangat negatif oleh kelompok liberal.

Kerjasama parti beridentiti agama dengan parti Melayu konservatif ini memudahkan pihak liberal menerus dan meningkat kempen negatif.

Tafsiran salah ini boleh difahami disengajakan untuk memberi gambaran paling buruk pada kerjasama yang berpotensi mengubah landskap politik negara ini.

Propaganda yang mudah menjurus kepada kempen kebencian ini sebahagian persaingan wacana untuk memenangi pendapat umum demi sokongan, dari dalam dan luar negara.

Ini ditunjukkan dengan jelas oleh gambaran-gambaran yang mereka suarakan, seperti kerjasama Pas-UMNO sebagai satu bentuk ‘kanser’ yang menggugat perpaduan kaum dan konsep ketuanan yang diberi tafsiran supremacy malah hegemony.

Dari sudut ideologi, kerjasama ini sama ada sengaja atau tidak, disalahertikan sebagai satu keputusan politik yang didorong kecenderungan berhaluan kanan jauh dan nasionalisme etnik ekstrem, ataupun memberikan makna ekstrem pada konservatisme yang mendasari kedua parti.

Walaupun tidak ada tanda jelas bahawa kerjasama Pas-UMNO satu perkembangan ke arah nasionalisme Melayu berhaluan kanan, perhatian pengkritik secara simplistik sentiasa memberi tumpuan pada pelabelan yang salah ini.

NASIONALISME MELAYU

Kaitan dan perbandingan dengan Taliban amat jauh dan sebenarnya mendedahkan kemalasan dan kelemahan pemahaman ideologi pihak yang menuduh, selain mendedahkan Islamofobia yang menjangkiti mereka.

Apabila diperhati dengan cermat, kerjasama Pas dengan UMNO sememangnya perlu diakui satu tindak balas segera kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang telah meletak parti bukan Melayu dan wakil rakyat bukan Melayu menguasai pentadbiran negara di peringkat persekutuan dan negeri.

Dalam tempoh terdekat selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO dan kemaraan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikuasai DAP, boleh dijangkakan retorik bangsa dan agama disuarakan dengan agak keras,.

Ini memandangkan tindakan dan kenyataan ramai dalam PH yang menampakkan sikap tidak mesra dengan Islam dan segala hal berkaitan Melayu.

Kerjasama dua parti ini bagaimanapun masih awal untuk diberikan kesimpulan yang berupa ancaman kepada keharmonian politik negara, lebih-lebih lagi dengan kepelbagaian dalaman kedua-dua parti ini.

Satu pihak mewakili banyak kepentingan Melayu pelbagai dan satu lagi mewakili kumpulan Islam yang tidak boleh dengan mudah disifatkan seragam.

Malah, dua parti bukan Melayu sekutu UMNO, MCA dan MIC akhirnya mengambil keputusan untuk kekal dalam BN yang ditunjangi UMNO.

Ini menunjukkan kemungkinan sikap berhati-hati dua parti itu supaya tidak terkecuali daripada sebarang prospek aturan perkongsian kuasa pada masa depan sekiranya Pas dan UMNO berjaya dalam pilihan raya, sambil pada masa sama menyelamatkan kerjasama ini daripada menjadi eksklusif melibatkan Melayu sahaja.

Kerjasama Pas sebuah parti bertunjangkan agama dengan UMNO yang etnonasionalis sebenarnya mendorong kedua-dua parti melakukan kompromi melibatkan pendirian masing-masing dan pada masa sama membuka ruang kerjasama lain.

Pas misalnya turut menerima kerjasama dengan rakan UMNO dalam BN iaitu MCA dan MIC, membuktikan aliran pertengahan masih berperanan dalam mencorak kerjasama dua parti Melayu.

BERHALUAN SEDERHANA

Pada masa sama, Pas kekal meneruskan barisan Gagasan Sejahtera yang diwujudkan menjelang PRU-14 lalu yang anggota komponennya juga pelbagai dari segi ideologi walaupun Pas ialah parti yang dominan dalam pakatan ini.

Kerjasama antara dua parti daripada dua gabungan berbeza ini memerlukan lebih banyak perincian untuk dikendalikan, kerana selain perbezaan dan pertindihan kepentingan antara Pas dengan UMNO, perbezaan juga wujud dalam kalangan parti-parti komponen kedua-dua gabungan.

Sepanjang kerjasama Pas dan UMNO dalam beberapa pilihan raya kecil, termasuk yang terbaharu di Semenyih, UMNO memasuki pilihan raya sebagai BN, pakatan yang boleh disifatkan sebagai yang paling berhaluan sederhana dalam politik negara ini.

Bentuk kerjasama inilah telah kelihatan dengan jelas ialah kerjasama melibatkan pembahagian kerusi dalam pilihan raya, dengan fokus pada kawasan-kawasan majoriti Melayu yang Pas dan UMNO mempunyai kelebihan.

Ini satu ruang kerjasama segera sebagai respons kepada pembahagian kuasa tidak seimbang ekoran pilihan raya umum lalu. Kerjasama dalam pembahagian kerusi ini boleh dikatakan kerjasama pada tahap minimum yang boleh dilaksanakan tanpa kerjasama atau pakatan lebih formal.

Selain itu, kedua-dua parti juga bersetuju bekerjasama dalam hal disepakati berkaitan kedudukan agama Islam dan Melayu seperti disebut dalam perlembagaan.

Walau bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sesuatu yang disepakati secara keseluruhannya kerana perbezaan dua parti Melayu itu dalam tafsiran tertentu.

Maka boleh dikatakan kerjasama pada tahap ini ialah kerjasama dalam bentuk pilihan raya, yang telah ditunjukkan sejak selepas PRU-14 hingga ke Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak lama lagi.

Di negeri-negeri, masih tidak wujud kerjasama dalam bentuk lebih rapat antara kedua parti dan kekal bersendirian dalam mentadbir negeri dimenangi.

Bentuk kerjasama pada PRU-15 masih agak jauh, kerana ini akan menuntut lebih daripada kerjasama sedia ada dan kerjasama lebih rapat dan kohesif pada masa itu nanti akan ditentukan sejauh mana cabaran semasa - terutama berkait kepentingan yang bertindan melibatkan kedua-dua parti dapat ditangani dengan berkesan.

Sekiranya cabaran ini semua dapat ditangani dan diuruskan dengan baik, kerjasama Pas-UMNO ini nanti, apa pun bentuknya, mempunyai potensi untuk dilihat sebagai satu kerjasama politik yang paling meyakinkan.



MR :  Satu analisis baik dan benar


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!
 Anda Menghadapi Kolesterol TINGGI!!?? Dapatkan PENCAIR KOLESTEROL DISINI>>>>KLIK SINI<<<<






............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. 8:63 Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

    BalasPadam