Header Ads

ads header

Flash News

Ucapan penuh Azmin di kediaman rasmi MB Selangor


Berikut adalah ucapan penuh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada majlis doa kesyukuran untuk dirinya, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, malam semalam.

Assalamuailaikum warahmatulallahiwaabarakatuh dan selamat malam kepada sahabat-sahabat semua.

Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur kepada Allah kerana pada malam ini, kita dapat berhimpun dan bermunajat kepada Allah SWT kerana itulah tanda sahaja jalan yang ditunjukkan Islam, kita berikhtiar, kita berusaha dan akhirnya kita berserah kepada Allah SWT.

Saya tidak berhasrat untuk bercakap pada malam ini tetapi apabila saya melihat kehadiran yang luar biasa, tidak pernah ada majlis di rumah Menteri Besar, sama ada Menteri Besar sekarang atau Menteri Besar dahulu yang seramai begini.

Inilah kali pertama, sudah tentulah ada sebabnya. Mengapa umat dan rakyat bangkit semula dalam keadaan kita telah diberikan mandat yang cukup besar, setelah 60 tahun kita merdeka, umat dan rakyat yang berpusu-pusu untuk meruntuhkan tembok kezaliman dan memberikan mandat baharu supaya kita dapat membina sebuah negara Malaysia baharu dengan politik nilai, dengan pendekatan-pendekatan baharu tetapi malangnya apa yang kita saksikan...



Lima minggu yang lalu masih ada segelintir manusia yang rakus, yang sanggup melakukan perkara ini. Maka, pada malam ini, saya berdiri di depan umat dan rakyat Malaysia, saya berdekad, saya berjanji, apa pun serangan yang dilemparkan kepada saya, saya tetap bangkit untuk menentang fitnah ini.

Biarkan saya sebatang kara, biarkan saya berdepan dengan orang ataupun manusia yang pernah saya kenali sebelum ini, tetapi kesetiaan kita ada batasnya, (disambut laungan betul oleh penyokongnya) saya setia kepada kebenaran dan keadilan, saya akan tetap perjuangkan keadilan dan kebenaran, bukan untuk keluarga saya tetapi saya mahu rakyat Malaysia, umat Islam dan orang Melayu mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Saya bersyukur kerana malam ini, kita dipimpin Imam Besar Masjid Selangor, seperti yang disebut adinda saya (Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari) sebentar tadi, berani Amirudin malam ini (penyokong tepuk).

Negeri Selangor antara negeri pertama, Mufti Selangor, Imam Besar Masjid negeri, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil pendekatan yang proaktif untuk segera menampilkan khutbah Jumaat supaya jangan terjebak dengan budaya fitnah kerana budaya fitnah ini boleh meruntuhkan tamadun sesuatu bangsa.

Saya juga bersyukur kerana beberapa mufti, Mufti Pulau Pinang, Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Melaka dan beberapa tokoh agamawan telah tampil mengingatkan kita jangan sama sekali terlibat dalam budaya dan amalan fitnah.



Saya bersedia menerima semua ujian itu, cabaran ujian ini bukan baharu kepada saya. Semenjak tahun 1998, sehinggalah hari ini, ia tidak pernah surut walaupun harapan saya dan rakyat, budaya-budaya seperti ini telahpun surut pada Mei 2018 tetapi malangnya kerana nafsu serakah dan kerakusan sesetengah manusia, sanggup menikam, membunuh karier politik seseorang dan saya tidak akan berganjak walaupun saya dipijak, dihina dan diaibkan sebegitu lama. Insya-Allah dengan doa dan dokongan serta sokongan raykat dan umat Malaysia, saya akan berdiri tegak.

Lima minggu saya diaibkan sekali lagi, lima minggu saya difitnah, isteri saya, anak-anak saya, keluarga saya, cucu saya, saya sudah bercucu walaupun nampak tidak tua, kakak-kakak saya, abang saya, keluarga saya terpaksa menempuh fitnah dan gelombang ini dengan penuh ketenangan dan kesabaran.

Walaupun saya tidak mengheret rakyat untuk bersama-sama tetapi saya bersyukur daripada maklum balas yang dapat, Alhamdulillah rakyat mendoakan kesejahteraan saya, Alhamdulillah dengan ketengangan kita, kesabaran kita, pihak berkuasa telahpun menjalankan siasatan yang cukup menyeluruh dan mengambil masa.

Saya sendiri ditemubual polis dan doktor-doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama hampir lima jam, saya memberikan kerjasama sepenuhnya kerana saya yakin, saya tidak bersalah, saya yakin daripada awal ini adalah permainan politik dalaman dan hari ini terbukti, polis telah mengumumkan saya tidak bersalah dan saya tidak terlibat.

Malahan Ketua Polis Negara sendiri telah mengesahkan ada tangan-tangan ghaib yang nilainya ratusan ribu dan jutaan ringgit untuk menjatuhkannya saya.

Ayuh!!! Saya tidak mahu mendiamkan diri kerana kita tidak perlukan manusia seperti ini untuk memimpin parti dan negara (nada keras).

Saya berdiri pada malam ini untuk mengucapkan syukur Alhamdulillah kepada Allah SWT. Saya bersyukur kepada Allah kerana telah melindungi saya, memelihara saya dan saya akan terus bermunajat kepada Allah SWT kerana saya yakin, sebagai hamba Allah, kita berjalan di muka bumi ini, ia sebagai pemimpin, sebagai rakyat tetapi kita kena yakin dengan Allah SWT.



Kita boleh rancang untuk menjatuhkan seseorang, kita boleh aibkan seseorang, kita boleh hina seseorang, ingat wahai mereka yang terlibat (petik hadis) kamu boleh rancang, kamu ada ratusan ribu ringgit, kami ada tauke-tauke, tetapi perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia yang cuba meruntuhkan saya.

Saya juga malam ini mengambil kesempatan, ramai juga media ikut saya pada malam ini, saya nak menyatakan rasa kasih dan sayang, rasa hormat dan terima kasih saya kepada seluruh pimpinan dan anggota serta rakyat yang telah mendoakan saya untuk saya teruskan perjuangan ini. Saya tidak akan mengkhianati.

Saudara-saudari malam ini saya lihat ramai muka-muka lama yang telah berjuang sekian lama, ada yang telah hilang sekian lama tetapi malam ini muncul semula kerana mereka tahu siapa Azmin Ali (disahut laungan yeahhh dan tepukan). Mereka kenali saya, saya tidak pernah khianat dalam persahabatan, saya setia dengan persahabatan, saya setia dengan perjuangan tetapi apabila orang khianat kepada perjuangan rakyat, saya tidak ada pilihan, yang penting adalah umat dan negara mesti dibela.

Saya ucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat khususnya adinda saya Amirudin Shari. Ia masih muda, perjalanannya masih jauh. Saya sudah sedikit tua tetapi berbanding dengan 94, Alhamdulillah saya masih jauh lebih muda tetapi prinsip perjuangan ini bukan kira usia, ada orang umurnya muda tetapi prinsipnya tidak ada.

Ada orang yang sedikit tua tetapi merasakan dirinya hebat (disambut penyokong dengan kata-kata lupa diri dan tamak itu). Wahai saudara Amirudin Shari, sebagai anak muda teruskan perjuangan. Ujian saudara sedikit sahaja.

Saudara-saudari sekalian, dua hari yang lalu, pada Jumaat, pukul 3.30 petang, saya telah mengadakan perbincangan yang agak panjang dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang apakah langkah-langkah seterusnya untuk kita memperkukuhkan lagi institusi dalam negara dan mengangkat martabat umat. Perdana Menteri telah menasihatkan saya dalam pertemuan itu: “Azmin teruskan perjuangan, yang penting rakyat mesti dibela, ekonomi mesti dipulihkan dan negara mesti diangkat martabat”.



Saya tersentuh dengan nasihat Perdana Menteri. Seorang negarawan pada usia 94 tahun, beliau boleh memilih untuk duduk di rumah, untuk menjaga keluarga, cucu-cucu dan cicit-cicitnya tetapi masih bertenaga, masih bersemangat kerana negara ini memerlukan kepimpinan beliau untuk diangkat sebagai harimau asia dan beliau berpesan kepada saya bersama-sama jemaah Kabinet. Kita kena tumpu kepada soal kerja, kita kena tumpu soal ekonomi dan inilah yang sedang kita berlumba-lumba.

Kita harus bersyukur kerana Perdana Menteri mempunyai pasukan jemaah menteri yang cukup wibawa, walaupun sebahagian daripada mereka adalah tokoh baharu yang belum ada pengalaman tetapi mereka cukup komited untuk bekerja demi negara dan rakyat Malaysia. Kita harus bersyukur kerana jemaah menteri yang ada pada hari ini tidak rasuah, tidak salah guna kuasa, mereka sanggup berkorban untuk sama-sama memastikan hasrat dan aspirasi rakyat dapat ditunaikan.

Inilah persaingan yang diamalkan saudara Amirudin Shari di Selangor dan ketika saya berada di sini pun, kita mempertahankan prinsip yang sama, iaitu Allah suruh kita berlumba-lumba membuat kebaikan, bukan berlumba-lumba untuk membuat fitnah, bukan berlumba-lumba melakukan salah guna kuasa dan kedudukan tetapi kita harus berlumba-lumba untuk membuat yang terbaik demi bumiputera, umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Saya yakin yang hadir pada malam ini, dapat memberikan mesej yang jelas kepada akar umbi di seluruh negara bahawa sudah sampai masanya, jangan kita takut dalam perjuangan ini. Kita kena berani bangkit. Yang hak harus kita pertahankan, yang batil kita perangi habis-habisan.

Negara hari ini sedang bergelut dengan masalah ekonomi dan kewangan, bukan salah kita, kita mewarisi kedudukan kewangan yang amat parah akibat kecurangan kepimpinan sebelum ini, kita tidak menjangkakan hutang negara sebegitu besar, apabila kita masuk Putrajaya, kita dapat hutang negara sudah melebihi RM1 trilion.



Maka Perdana Menteri telah berkerja kuat untuk menyakinkan pelabur-pelabur asing. Kita Alhamdulillah, jemaah menteri telah melakukan yang terbaik untuk mengembalikan maruah institusi dalam negara, kita perangi rasuah habis-habisan. Kita memberikan kekuatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita tidak membenarkan mana-mana pihak eksekutif dan orang politik cuba mempengaruhi SPRM. Kita memberikan mandat yang penuh kepada Ketua Audit Negara untuk melakukan audit. Semua ini kita lakukan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing bahawa letaklah pelaburan mereka dalam Malaysia. Hari ini mereka boleh berniaga secara terbuka, telus dan tidak ada lagi amalan rasuah. Alhamdulillah dalam laporan jemaah menteri yang lalu, laporan indeks negara sudah bertambah baik dan pelabur-pelabur yakin untuk melaburkan pelaburan mereka.

Saudari-Saudari sekalian, kita juga sudah meluluskan bahawa anak muda berusia 18 tahun sudah boleh mengundi dan di depan saya ini semuanya yang sudah berusia 18 tahun ke atas tetapi anak muda ini mereka nak apa? Anak muda ini mereka tidak boleh menerima ‘gutter politic’, anak muda tak boleh terima politik yang kotor, yang jijik tetapi anak-anak muda mahu melihat kerajaan hari ini adalah yang bersih, yang bawa politik nilai, yang menghormati di antara satu sama lain dan inilah tekad saya pada malam ini.

Walaupun saya tinggal sebatang kara, walaupun saudara-saudari takut menghampiri saya. Ngok-ngek, ngok-ngek...Jangan bimbang Azmin tetap setia kepada perjuangan rakyat.

Saudara-saudari kenal saya. Saya ini jarang bercakap, sebab itu jangan bagi mikrofon, saya jarang bercakap politik, sebab itu media tidak suka saya, The Star tak suka saya, Malaysiakini tak suka saya, sebab saya jarang beri ulasan. Nak ulas apa, buat kerja sahajalah. Rakyat beri mandat kepada Pakatan Harapan (PH) bukan suruh bergaduh. Jadi saya rayu kepada pihak media, tolak politik kotor, bina Malaysia baharu yang mempunyai nilai dan integriti.

Itu permintaan saya kepada media. Tolong, media pun ada peranan dan media itu amat penting, beri maklumat yang tepat, yang ada fakta, jangan mempamerkan cerita-cerita yang tidak baik, kita nak bina Malaysia baharu, kita sedang bergelut dengan masalah ekonomi tetapi Alhamdulillah kita akan kepimpinan yang kuat, yang ada prinsip dan sekarang ini sudah mula pulih.

Selangor Alhamdulillah, walaupun saya sudah tinggalkan Selangor selama setahun, nampaknya di bawah saudara Amirudin lagi kuat Selangor. Tapi bila Amir kuat, kenalah. Bila Yunus (Exco Perak, Abdul Yunus Jamhari) kuat kenalah. Itu sahaja. Apakah orang tidak boleh baca politik ini (dijawab boleh oleh penyokong).

Tumpu soal kerja. Saya diberikan mandat dalam Hal Ehwal Ekonomi, ini satu kementerian baharu. Dulu ia EPU (Unit Perancang Ekonomi) sahaja, satu unit sahaja. Sekarang dari satu unit sudah jadi kementerian, bukan setakat kementerian tetapi Perdana Menteri memberikan mandat dan sokongan kepada saya, letak Felda, letak Felcra, letak Risda, yang masalah semua bagi saya.



Tabung Haji (TH), saya diminta uruskan pelaburan TH, Khazanah juga kini sedang meneliti banyak masalah termasuk Malaysia Airlines dan sebagainya. Kita sedang berkerja, kita nak tumpu soal kerja. Alhamdulillah Felda, satu agensi yang penting, yang telah memacu ekonomi negara pada suatu ketika dahulu tetapi sejak beberapa tahun yang lalu, pengurusan Felda yang curang, Felda sudah lingkup. Kita ambil masa lebih enam bulan, letak pengurusan baharu, bincang dan bentangkan Kertas Putih dalam Parlimen, Alhamdulillah, Felda sekarang saya yakin di bawah pengurusan baharu akan muncul semula sebagai kunci kemajuan negara. Kita nak buat kerja, banyak kerja...boom meletup.

Saya tak terkejut, sebab saya tahu siapa di belakang yang menjadi dalang (disambut laungan tangkap dan penjarakan kembali dia itu). Nak tahu tak? Kita serah kepada pihak berkuasa.

Kita nak buat kerja. Esok Felcra (di Perak), kemudian kita sedang dalam proses libat terus untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Prinsip saya sebelum kita gubal dasar ekonomi, saya dengar pandangan kerajaan negeri, saya dengar pandangan dari pemegang taruh, baru kita boleh gubal dasar komprehensif. Dua minggu lepas saya di Melaka, minggu lepas saya di Johor, esok saya di Perak. Kita bertemu Menteri Besar, Exco dan ketua-ketua jabatan untuk berbincang kerana dasar ekonomi Malaysia untuk masa depan adalah kemakmuran bersama.

Kita nak khazanah dan kekayaan negara bukan hanya dikongsi segelintir manusia tetapi mesti dilimpahkn ke seluruh rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan warna kulit. Dasar Perdana Menteri hari ini ialah memastikan jangan ada lagi ikut wilayah, jangan hanya tumpukan di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja sebab kita nak bawa juga ke negeri-negeri yang kurang pembangunan. Ini yang kita lakukan dengan program Peduli Rakyat, dengan program-program kebaikan kepada pelabur tetapi kita nak juga negeri-negeri ketingglan ini maju.

Maka Saudara-saudari, sementara kita bersyukur, saya diam kerana saya ini jenis kekal tenang tetapi tenang-tenang jangan ingat tiada buaya. Janganlah cuba nak sindir, nak singgung. Kalau nak singgung cakap nak singgung. Walaupun saya jarang cakap politik sama jugalah seperti di Selangor dulu, walaupun kena asak kiri-kanan, depan belakang tetapi akhirnya bila kita tumpu kepada kerja, rakyat membuat penilaian, pada 2018 tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air khususnya di Selangor, daripada 56 kerusi kita menang 51 kerusi.

Kerana apa? Kerana rakyat menilai kita, rakyat tak suka kita cakap politik, rakyat bosan dengan politik kotor ini, rakyat nak kita kerja dan tunaikan khidmat terbaik. Saya bertekad akan terus bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya akan terus berkerja kuat, saya akan angkat maruah rakyat dan negara.



Malam ini saudara-saudari, kita rapatkan saf kita, Perdana Menteri sebut baru-baru ini, orang Melayu ini berpecah-pecah dan sebabnya fitnah seperti ini dan ia tidak membantu. Dalam Islam, fitnah ini dosanya terlalu besar, lebih besar daripada membunuh, kalau membunuh, mungkin kelurga mangsa itu yang menghadapi musibah atau kesengsaraan tetapi fitnah ini satu negara, saya boleh hadapi dengan tenang tetapi bagaimana dengan umat dan negara.

Yang mahukan kepimpinan yang kuat, yang bersatu-padu, sebab itu saya mengajak saudara-saudari menjadikan pengalaman pahit ini satu pengajaran, bahawa dalam perjuangan ini mesti ada kesetiaan, tetapi kesetiaan itu mesti ada batasnya, kesetiaan yang membuta-tuli kerana kedudukan dan kemewahan, ia tidak dapat membantu rakyat dan negara.

Saya insyallah, dengan sokongan ramai kawan-kawan malam ini, Datuk Saifuddin Abdullah pun ada. Menteri Luar. Dia patutnya esok dah bertolak ke Turki bersama Perdana Menteri. Kerja jugak. Dia Menteri Luar, memang duduk di luarlah. Jadi, janganlah marah dia kalau dia tak datang mesyuarat. Dia baru balik, saya pun baru balik. Dia Menteri Luar nak jaga hubungan diplomatik dengan negara luar, selain peranan Perdana Menteri, peranan Menteri Luar ini penting. Esok beliau ke Turki bersama Perdana Menteri, selepas itu ke Vietnam, selepas itu ke beberapa buah negara sebab Malaysia hari ini, Alhamdulillah, mereka melihat Malaysia punyai potensi yang besar untuk dijadikan rakan perdagangan dan juga hubungan ekonomi yang lebih baik dan itu peranan Datuk Saifuddin Abdullah.

Begitu juga Datuk Kamarudin Jaafar. Ini Timbalan Menteri Pengangkutan, kalau kena saman jangan cari dia (tapi) bayar. Saman cari menteri, itu zaman lama, Datuk Kamarudin Jaafar saya ingat orang yang paling baik dalam dunia. Cakap pun lembut, kadang tak dengar apa yang dia cakap. Akhlaknya cukup baik, Setiausaha Agung ABIM dulu, kemudian Setiausaha Agung Pas dulu, sebab bila orang niatnya baik, akhlaknya baik, mudah untuk kita berbicara, sedang membincangkan bagaimana nak meningkatkan sistem pengangkutan negara kita. Kita tidak boleh lagi kesesakan yang luar biasa, itu peranan beliau.



Kita ada Timbalan Speaker (Dewan Rakyat). Walaupun Datuk Rashid (Mohd. Rashid Hasnon) ini, dia orang kata ini kartel, mana betul, dalam Parlimen, kadang-kadang kalau sudah cukup masa, dia suruh saya berhenti dan duduk, dia tak peduli. Sebab dia jujur, sebagai Timbalan Speaker, dia menjalankan tugas, tak kira siapa, masa cukup, duduk. Dia cukup adil, sebelah pembangkang bagi ruang, sebelah kerajaan bagi ruang. Mana ada nak cari Timbalan Speaker seperti ini. Jadi bila orang baik ini, dia adalah pada malam ini.

Siva (R. Sivarasa) ini peguam yang terhebat di dunia, Sekarang di Kementerian Luar Bandar, dari peguam sekarang jaga longkang, dulu masuk mahkamah bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang dia kena jaga rakyat, sebab itu dia tiada masa untuk ‘gutter politic ‘ ini, dia kata: “Azmin let’s we work together for the rakyat and the nation,”. Dia masuk kampung keluar kampung, panas.

Ini Tian Chua, bapak Tian sebab dia pakai batik Indonesia, Dia berjuang. Saudara kenal Tian Chua? Dari 1998 berjuang, masuk pilihan raya kalah, masuk pilihan raya kalah tapi akhirnya tak masuk langsung pilihan raya tetapi dia tidak kecewa, sampai tiada masa untuk kahwin tuan-puan. Malam ini dia kata, Azmin sabarlah fitnah ini membawa musibah, dia bagi tazkirah pula, jadi inilah yang memberi semangat kepada saya. Sebab itu saya tak gusar, saya tak gundah-gulana, insya-Allah selagi ada Tian di sisi saya, selagi itulah saya akan terus melangkah. Ingat Tian, itu janji.

Siapa lagi, ini Dr. Mansor (Dr. Mansor Othman). Dia ini dulu Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Setiausaha Politik (bekas) kepada Anwar Ibrahim tetapi ini Setiausaha Politik yang tidak terlibat dengan politik kotor (disambut bukan Perak mari oleh penyokong). Dia Penang mari. Punya lama berjuang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bila dipecat dia tetap setia kepada perjuangan sampai malam ini. Itulah ia Dr. Mansor. Sampai beruban kepala dia, dah menang Parlimen, tak dapat jadi menteri, dia kata tak apalah, tak dapat jadi timbalan menteri, tak apa Azmin saya tidak mahu jawatan. Hebat tak Dr. Mansor?

Ada lagi saudara Adlin Zabri. Dia ini Setiausaha Akhbar kepada Anwar Ibrahim. Malam ini ramai orang Datuk Seri Anwar Ibrahim (diiringi sorakan oleh penyokong). Ini dulu Pengarang Kanan di New Straits Times, kemudian berkhidmat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu lagi Pak Khalid (Khalid Jaafar). Pak Khalid ini pun Setiausaha Akhbar Anwar Ibrahim (disambut penyokong Anwar lagi). Jadi, malam ini Setiausaha Sulit Anwar ada, Setiausaha Politik Anwar ada, Setiausaha Akhbar Anwar di Jabatan Perdana Menteri ada, Setiausaha Akhbar Anwar di Kementerian Kewangan pun ada.

Seorang lagi, Datuk Kamarul Baharin (Kamarul Bahrin Abbas). Ini Man Koba. Tiap-tiap hari Rabu dia pakailah tie (tali leher) Man Koba itu, punya taatnya. Saya bukan Man Koba, buat apa you (awak) datang malam ini? Sebab seperti yang saya kata tadi, orang-orang lama ini dia kenal siapa Azmin Ali.

Apa dosa saya? Dosa saya hanya satu sahaja. Saya ini bukanlah boleh dicucuk hidung, bukanlah boleh diheret-heret begitu sahaja. Saya berpegang kepada prinsip. Sebab itu semasa nak memilih dalam pilihan raya lepas supaya Dr. Mahathir memerintah, kita beri sokongan kuat dan padu supaya kerajaan ini kerajaan yang stabil untuk rakyat dan negara.

Jadi tuan-tuan dan puan-puan, sebenarnya ini bukan perjumpaan politik, saya beritahu Amirudin, Hilman (Muhammad Hilman Idham), saya tidak mahu berucap, saya hanya mahu menyatakan terima kasih kepada sahabat-sahabat saya yang datang dari Perlis sampai ke Sabah dan Sarawak pada malam ini. Saya ucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada sahabat semua kerana dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin parti dan kerajaan, mungkin ada kelemahan dan saya mohon maaf.

Tapi marilah kita sama-sama mengilap semula idealogi perjuangan ini kerana rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada kita semua.

Saya juga nak mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada isteri kesayangan saya, anak-anak saya, menantu-menantu saya dan cucu saya, yang sentiasa bersama dengan saya. Tidak mudah menjadi isteri Azmin, tidak mudah menjadi keluarga Azmin kerana cabarannya besar tetapi yakinlah wahai keluargaku, apabila keyakinan kita jelas, kita serahkan kepada Allah SWT.

Malam ini bukan sahaja pemimpin politik, ahli akar umbi tetapi ketua jabatan dan pemimpin syarikat milik kerajaan (GLC) juga hadir kerana mereka mahu melihat sebuah Malaysia baharu dengan prinsip dan idealogi nilai dan saya bertekad untuk membantu dan marilah kita membina sebuah Malaysia yang makmur dan aman bahagia.

Sekian terima kasih.

AZMIN ALI
......
Teks ucapan majlis doa kesyukuran untuk Mohamed Azmin ini dipetik dari portal Utusan Malaysia.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!
 Anda Peminat Kopi? Dapatkan Kopi Ginseng Tongkat Ali Disini >>KLIK SINI<< Sedap Pekat Melekat KAW KAW. PENGHANTARAN PERCUMA.
 Sakit BerTAHUN-TAHUN, Akhirnya SEMBUH apabila dia terjumpa SESUATU yang ...... >>KLIK SINI<< untuk info lanjut.
 Kelas Kek, Roti, Bun, Puff, Danish Dgn Video Chef. Belajar dari rumah. Klik Sini >>>






............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan: