Header Ads

ads header

Flash News

Jokowi angkat sumpah esok, Jakarta dikawal ketat


JAKARTA: Isu keselamatan menjadi perhatian utama semasa majlis pelantikan presiden Indonesia esok, apatah lagi bila majlis itu turut dihadiri pemimpin-pemimpin luar negara termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Joko Widodo, 57, akan mengangkat sumpah pelantikannya di parlimen Indonesia 2 petang esok, selepas memenangi pilihan raya Presiden 2019 pada 17 April lepas.

Tempoh pentadbirannya bagi penggal pertama (2014-2019) tamat hari ini (19 Okt 2019).

Perdana menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 11.15 pagi waktu Indonesia Barat untuk menghadiri majlis pelantikan itu.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Zainal Abidin Bakar berkata kehadiran Mahathir manifestasi keakraban hubungan kedua-kedua pemimpin dan keutuhan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Mahathir akan diiringi isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

“Teras hubungan Malaysia dan Indonesia adalah kedekatan kedua dua pemimpin, membuka lembaran baru persahabatan dalam penggal kedua pemerintahan Jokowi agar terus kukuh,” kata Zainal.

Jakarta kini dikawal ketat polis dan tentera Indonesia bagi memastikan majlis pelantikan presiden dan naib presiden baru, Ma’ruf Amin berjalan lancar.

Isu keselamatan menjadi fokus pihak berkuasa Indonesia, berikutan beberapa kejadian rusuhan dan tunjuk perasaan, isu-isu berkaitan etnik di Papua dan Kalimantan, isu pindaan rang undang-undang berkaitan jenayah dan rasuah serta kejadian seorang menteri ditikam baru-baru ini.

Lebih 30,000 anggota polis dan tentera ditugaskan menjaga keamanan di Jakarta terutama di kawasan parlimen, Istana Merdeka dan kawasan-kawasan strategik.


Anggota tentera dan polis berkawal di setiap kawasan strategik manakala di parlimen, anggota polis dan tentera melakukan kawalan ketat di kawasan dalam dan luar bangunan.

Jalan sekeliling bangunan parlimen iaitu Jalan Gatot Soebraoto, Jalan Gelora dan Jalan Parlimen, Jalan Palmera dan Jalan Gelora, ditutup kepada lalu lintas.

Menurut Polis Indonesia memetik laporan agensi berita Antara, sebanyak 22 orang ditahan sejak September lepas kerana dipercayai mahu merencana tindakan keganasan dan rusuhan menjelang pelantikan presiden.

Polis turut merampas bom buatan sendiri dan molotov koktel yang dipercayai akan digunakan untuk memcetuskan hura-hara.

Zainal berkata kedutaan Malaysia turut mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan langkah-langkah dan kawalan keselamatan terjamin semasa kehadiran perdana menteri.

Menurut Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia, sebanyak 17 pemimpin dan ketua negara luar akan turut hadir pada majlis pelantikan presiden itu.

Selain Dr Mahathir, antara ketua negara lain yang dijadualkan hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long; Perdana Menteri Australia, Scott Morrison; dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Seorang penganalisis politik ketika ditanya Bernama berkata majlis pelantikan itu seharusnya menjadi acara yang “disukai rakyat” kerana Jokowi adalah pilihan rakyat, dengan majoriti undi yang diperolehinya hampir 17 juta undi.

Pada 21 Mei lepas, Komisi Pemilihan Umum mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

“Tapi pelantikan kali ini seperti Jakarta sedang ‘darurat’, polis dan tentera berkawal di mana- mana, tidak seperti tahun 2014 (sewaktu lantikan Jokowi sebagai presiden penggal pertamanya).

“Suasana ‘tegang’ ini mungkin disebabkan demosntrasi dan rusuhan kebelakangan ini di Jakarta, selain isu-isu yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berkaitan pindaan rang undang-undang rasuah dan jenayah, selain ketegangan kaum yang berlaku di Papua, serta mungkin keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin tinggi,” kata penganalisis itu.




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan