Header Ads

ads header

Flash News

Tian Chua gesa Lembaga Disiplin PKR tarik balik pemecatan 2 ahli


PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Tian Chua menggesa Lembaga Disiplin menarik balik pemecatan 2 ahli parti itu atas syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang disifatkannya tidak adil dan tergesa-gesa tanpa siasatan terperinci.

Beliau meminta Lembaga Disiplin menjalankan proses sewajarnya dan PKR menyelesaikan masalah itu atas semangat setia kawan, selepas SPRM semalam mengakui terkhilaf dalam mencadangkan tindakan tatatertib terhadap 2 ahli PKR itu.

“Sebagai sebuah parti yang ditubuh berasaskan gerakan pembaharuan dan keadilan, agak malang tindakan berat sedemikian dikenakan.

“Untuk memecat ahli ialah perkara yang amat serius, khasnya jika tindakan itu diambil terhadap seorang aktivis veteran parti yang turut dipilih sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Ia tidak boleh diterima untuk sesiapa dipecat tanpa diberikan notis terlebih dahulu dan peluang untuk mempertahankan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan Ahli MPP dan Ketua PKR Bahagian Bera, Zakaria Abdul Hamid serta ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi.

Katanya, ia susulan surat SPRM kepada PKR pada 23 Okt lalu mengenai dakwaan salah laku dalam pemilihan parti tahun lalu.

Zakaria bagaimanapun dilaporkan berkata, beliau tidak tahu mengenai pemecatan itu dan akan menunggu penjelasan rasmi parti sebelum memaklumkan tindakan susulan yang mungkin diambilnya.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata, mengikut garis panduan tatatertib agensi anti-rasuah itu, laporan salah laku hanya perlu dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri, bukannya parti politik.

Katanya, SPRM akan menghantar surat kepada Lembaga Disiplin PKR bagi menjelaskan kekhilafan itu agar tidak timbul salah faham pada masa depan.

Hari ini, Tian Chua berkata, ada sesetengah pihak cuba mewajarkan pemecatan tidak adil itu dengan menyalahkan ketidakhadiran beberapa ahli MPP utama, sedangkan hakikatnya “salah laku” yang didakwa itu berlaku hampir setahun lalu.

“Jadi, kenapa ada keperluan tiba-tiba untuk tindakan drastik ini? Kami diberitahu Lembaga Disiplin ‘hanya’ menerima nota dari SPRM.

“Jika begitu, mengapa Lembaga Disiplin tidak mengadakan perbincangan dan siasatan secara mendalam?

“Tindakan mereka bolah ditafsirkan sebagai tergesa-gesa dan menyasarkan (orang tertentu) secara tidak wajar, tanpa proses sewajarnya untuk memaklumkan ahli niat mereka serta memberi tertuduh peluang menjelaskan tuduhan itu.”

Katanya, berdasarkan pengalamannya dengan Anwar Ibrahim, presiden PKR itu lebih suka “tindakan kurang keras” seperti penggantungan keahlian atau memberi surat tunjuk sebab berbanding pemecatan.




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan