Header Ads

ads header

Flash News

Antara OIC dan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur


Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lahir daripada Sidang Kemuncak Islam yang diadakan di Rabat, Maghribi selepas tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa beberapa dekad pada abad yang lalu. Ia ditubuhkan untuk meredakan kebakaran di hati umat Islam yang kuat menyala dengan nyalaan api Al-Aqsa dan kecintaan terhadap kiblat pertama, bumi para anbia, tempat berlakunya peristiwa Israk dan permulaan kepada Mikraj yang menjadi kebanggaan umat bagi memuliakan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai tetamu Allah serta semangat persaudaraan di atas dasar keimanan yang menghubungkan dunia Islam laksana satu badan yang sama.

Namun tragedi kebakaran yang dirakam sejarah itu disimpan dalam fail persidangan dan resolusinya tiada yang kekal melainkan hanya kesakitan yang membakar hati umat Islam, dan telinganya sekadar mendengar berita mengenai perluasan penaklukan Yahudi ke atas Baitul Maqdis serta pemusnahannya, walaupun kedudukan ibu pejabat pentadbiran di Jeddah atau mana-mana tempat adalah berhampiran dengan tanah kiblat itu.

Perubahan nama daripada Pertubuhan Persidangan Islam kepada Pertubuhan Kerjasama Islam merupakan satu langkah mundur ke belakang, dan memperkecilkan peranan persidangan daripada usaha menyatukan kepada hanya ruang kerjasama yang kemudiannya terhenti sekadar perbincangan resolusi, ditulis dan dicetak sahaja.

Bahkan umat Islam diajak laksana dijemput menjamu makanan dalam mangkuk dengan jumlah yang banyak, kemewahan harta dan tanah yang luas tetapi tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan rasa lapar.

Sebenarnya Allah telah menghilangkan rasa kehebatan diri umat Islam di dalam hati musuh-musuh Islam, dan mencampakkan di dalam hati mereka perasaan cintakan dunia dan takutkan mati, sehingga berperang sesama sendiri dengan senjata yang dibeli dengan wang sendiri daripada musuh dan mengikut telunjuk arahan mereka.

Maka dimanakah kerjasama yang dilaungkan itu? Jauh sama sekali daripada hendak bersatu.

Seorang mukmin tidak boleh digigit dua kali pada satu lubang yang sama, tetapi malangnya sudah digigit beberapa kali. Bermula daripada Revolusi Agung Arab yang diisytiharkan di Makkah Al-Mukarramah atas nama menggantikan khalifah, tetapi telah melenyapkannya, kemudian perancangan pembentukan peta baru dunia Islam melalui Perjanjian Sykes-Picot, Perjanjian Balfour dan perjanjian lain terutamanya Perjanjian Najd dan Hijaz untuk menentang khilafah atas nama slogan yang benar tetapi bermotifkan kebatilan. Dan akhirnya Revolusi Arab Spring, musim bunga yang tidak berbuah.

Maka dimanakah kerjasama dalam perkara kebaikan dan di atas dasar ketakwaan seperti yang dilaungkan itu? Sebaliknya hanyalah kerjasama pada perkara dosa dan permusuhan.

Ketika itu Pertubuhan Kerjasama OIC bukan untuk bekerjasama dan hanya sekadar bersetuju untuk tidak bersetuju, maka berlakulah sekatan ke atas Qatar, memerangi Iran, memecahbelahkan umat Islam di atas nama mazhab dan semangat kebangsaan, mengacau-bilaukan umat Islam di Afghanistan, Yaman, Iraq, Syria, Libya, serta melakukan agenda normalisasi terhadap Israel, dan membiarkan nasib umat Islam di Palestin, Kashmir, Arakan dan Uyghur.

Sebelum ini, Profesor Najmuddin Erbakan rahimahullah, berusaha mewujudkan kerjasama di antara negara-negara D8 dari sudut ekonomi dan budaya, kemudiannya kerjasama politik dengan beberapa langkah yang disusun secara berperingkat, tetapi usaha tersebut terhenti dengan penggulingan kuasa dan gangguan dari dalam negara Turki yang menguntungkan musuh-musuh, dan tidak mendatangkan manfaat kepada pemimpin umat Islam, maka rakyat juga menerima nasib yang sama.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur merupakan satu usaha yang rendah diri untuk mendidik umat Islam ke arah kebangkitan yang baru. Kita berdoa kepada Allah supaya mendapat kejayaannya, dan alangkah buruknya tangan-tangan jahat yang berusaha menggagalkannya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Rabiul Akhir 1441 / 21 Disember 2019



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. mari coba keberuntungannya bersama kami hanya dengan
    deposit minimal 20.000 bisa menangkan uang jutaan rupiah
    ditunggu apalagi, segera bergabung bersama kami di IONQQ".COM

    BalasPadam