Header Ads

ads header

Flash News

Kemelut PKR boleh halang Anwar jadi PM, kata penganalisis


PETALING JAYA: Dua penganalisis mengingatkan bahawa peluang presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri berdepan risiko berikutan perbalahan terbuka antara penyokong beliau dengan penyokong timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania dan Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, perbalahan itu kini merebak ke bahagian PKR di beberapa negeri serta sayap pemuda parti itu.

Chin berkata, Anwar perlu bertindak pantas menamatkan perbalahan itu bagi menghalang pihak tertentu daripada menggunakanya sebagai alasan utama kenapa mereka menolak beliau sebagai pengganti Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan perdana menteri.

“Keadaan itu menyebabkan PKR kelihatan sangat buruk dan sudah pasti memberi kesan ke atas peralihan kuasa,” katanya.

“Orang ramai akan sangat meragui kemampuan PKR mentadbir negara.”

Beliau berkata, perbalahan itu memberi kesan besar ke atas imej Anwar dan Azmin.

Katanya, konflik yang berlaku dalam Pemuda PKR adalah natijah daripada persaingan yang berlaku antara 2 pemimpin itu, dengan menambah bahawa keadaan sama turut menjangkiti sayap wanita parti tersebut.

Perbalahan itu menimbulkan beberapa pertikaian lain, termasuk isu pemimpin paling sesuai untuk merasmikan kongres Pemuda PKR dan isu melibatkan konvensyen PKR Sarawak yang diteruskan walaupun pengerusi negeri, Baru Bian, telah memaklumkan pembatalannya.

Kumpulan dalam Pemuda PKR terus serang-menyerang antara satu sama laian berhubung kontroversi pemecatan pengerusi tetap kongres dan timbalan beliau dengan satu pihak mendakwa ia tidak sah, sementara pihak satu lagi berkata ia dibuat berdasarkan peraturan parti.

Azmi memberitahu FMT bahawa pemecatan tersebut mungkin berpunca daripada langkah 2 pemimpin muda PKR itu menyokong Azmin secara terbuka.

Beliau berkata, sukar baginya untuk menerima penjelasan kepimpinan Pemuda PKR bahawa pemecatan 2 individu tersebut adalah kerana mereka hilang kelayakan sebagai anggota sayap pemuda kerana berumur lebih 35 tahun.

“Soalan yang perlu dijawab ialah kenapa sekarang, pada saat kongres PKR akan berlangsung?,” katanya.

Beliau menjangka Anwar akan menggunakan konvensyen nasional PKR yang bakal diadakan untuk memperkuat kedudukannya dalam parti yang diasaskan beliau itu, tetapi pada masa sama mengingatkan tentang kemungkinan “boikot besar-besaran” oleh kumpulan Azmin.

“Jika boikot ini berlaku, maka masa depan PKR akan menjadi sangat sukar,” katanya.

“Perebutan kuasa dalaman itu akan berlaku secara lebih terbuka.

“Perbalahan dalaman PKR ini akan memberi kesan ke atas Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan kerana parti itu dilihat sebagai komponen teras PH bersama-sama DAP.”

Katanya, perbalahan itu juga memperlihatkan seolah-olah Anwar dan Azmin “lebih berminat untuk memenuhi ego politik” mereka daripada memberi khidmat kepada rakyat.

“Saya tidak maksudkan ia merupakan niat sebenar mereka, tetapi itulah kesan perbalahan yang berlaku menurut tanggapan orang awam,” katanya.






............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. Antara Anwar dan Azmin aku sikit pun tak sokong Anwar.Bertaubatlah.

    BalasPadam