Header Ads

ads header

Flash News

Umno, PAS lihat potensi daftarkan Muafakat Nasional


Muafakat Nasional sedang meneroka kemungkinan untuk menjadikan entiti itu suatu badan berdaftar dan melihat kepada parti lain dalam BN berminat menyertainya - sama ada secara en bloc atau inndividu - kata Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional - yang disertai pemimpin kanan Umno dan PAS - sedang melihat aspek berkenaan.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCA di Kuala Lumpur hari ini, Mohamad berkata, hal itu sedang diperhalusi dari segenap aspek dan sudut.

"Sama ada mahu dibentuk Muafakat Nasional itu sebagai parti (gabungan) atau sekadar gabungan longgar, atau jika BN dan parti lain mahu menyertainya sendiri atau kita membentuk satu blok," katanya.

Ditanya sama ada MCA dan MIC akan menyertai Muafakat Nasional, Mohamad berkata, terserah kepada kedua-dua parti terbabit untuk membuat pendirian.

"MIC sangat berminat untuk turut serta, dan MCA juga - dengan prinsip mereka - selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan, mengapa tidak?" katanya.

Sementara itu ditemui kemudiannya, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, berkata mereka tidak akan membentuk gabungan baru dengan PAS.

"Tidak... tidak. Kami hanya ada dalam satu gabungan iaitu BN. Saya tak faham mengapa kamu bercakap mengenai gabungan baru," katanya.

Tiada PAS di majlis perasmian

Ahli parlimen Ayer Hitam itu juga menjelaskan, bagi MCA, Muafakat Nasional hanyalah suatu bentuk kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti pembangkang.

"Saya sudah katakan dalam ucapan dasar tadi, ia semata-mata semangat kebersamaan pembangkang," katanya.

Menurut Wee lagi, baginya Muafakat Nasional tidak bermaksud ada mana-mana pihak perlu memohon untuk menjadi ahli, sebaliknya ia adalah untuk sesiapa saja yang berminat, yang berkongsi idea - termasuk orang Sabah dan Sarawak.



Wee juga berkata piagam yang menjadikan kerjasama Umno dan PAS itu berlangsung secara rasmi tidak sama dengan pembentukan sebuah gabungan.

Hal itu, katanya, tidak ada beza dengan "gabungan" lain seperti Angkatan Perpaduan Ummah - yang dibentuk PAS dan Semangat 46 suatu ketika dulu - dan Gagasan Rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya Wee mengambil ruang untuk menghargai PAS dan mengucapkan terima kasih kepada parti itu kerana turut berkempen memenangkan calon mereka, Dr Wee Jeck Seng, semasa Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai baru-baru ini.

Namun untuk rekod tiada mana-mana pemimpin PAS hadir di majlis perasmian hari ini.

Ditanya mengenai hal itu, Wee sekadar menjawab: "Sejak bila kamu (media) ada nampak MCA menjemput parti bukan BN?"





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan