Header Ads

ads header

Flash News

Utamakan nyawa rakyat, henti keluar pengecualian visa


SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk menghentikan serta-merta pengeluaran pengecualian visa selama 15 hari yang diperuntukkan kepada pelancong dari China sehingga situasi kembali stabil sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak koronavirus di negara ini.

Gesaan itu dibuat Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr Asmah Razalli bagi memastikan keselamatan rakyat di negara ini lebih diutamakan berbanding nilai keuntungan hasil pelancongan.

"Seperti yang kita maklum Hong Kong sendiri telah mengumumkan darurat kerana tidak mahu wabak koronavirus menjadi seperti SARS suatu ketika dahulu.

"Kerajaan Filipina dengan beraninya juga telah menghantar pulang serta merta rakyat China dari Wuhan yang disyaki (bergejala wabak koronavirus) kerana tidak mahu bertanggungjawab atas sebarang penularan di Filipina.

"Jadi sudah sampai masanya Malaysia menjadi tegas dan memahami nyawa rakyat adalah paling bernilai melebihi perdagangan, pelancongan mahupun menjaga hati kerana wabak membawa maut bukan untuk dikongsi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Asmah berkata, beliau sangat menghargai kesungguhan KKM dalam menangani wabak berkenaan namun dalam masa yang sama turut berharap KDN memainkan peranan untuk menghentikan terlebih dahulu pengeluaran visa sehingga keadaan kembali stabil.

"Wirawati Perkasa memahami protokol antarabangsa yang digaris World Health Organization (WHO) yang masih belum mengisytiharkan untuk menutup rakyat China dari keluar masuk sempadan antarabangsa namun kita berkuasa penuh ke atas negara kita," katanya.

Katanya, pihaknya turut mendoakan seluruh rakyat Malaysia dilindungi daripada dijangkiti wabak berkenaan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan