Header Ads

ads header

Flash News

Bubur Parlimen, Pilihan Terbaik !


Sejak Tun Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri interim semalam, terdapat kecenderungan yang nyata daripada pelbagai parti untuk melantiknya semula sebagai Perdana Menteri.

PH, khususnya DAP dan Amanah sudah memutuskan untuk mencalonkan semula Tun Mahathir, begitu juga UMNO, Pas, Warisan dan lain-lain.

Kumpulan 11 yang keluar PKR yang diketuai oleh Azmin Ali dan Bersatu yang sudah meninggalkan PH, pasti juga mahukan Tun Mahathir semula sebagai Perdana Menteri.

Hanya PKR yang belum membuat apa-apa keputusan setakat ini.

Kiranya majoriti parti bersetuju mencalonkan semula Tun Mahathir, ini dengan sendirinya bermakna Ahli Parlimen Langkawi itu pada pandangan Yang Dipertuan Agong telah mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Maka, jadilah Tun Mahathir sekali lagi sebagai Perdana Menteri - dulu PM4, selepas itu PM7, kemudian PM interim dan akhirnya PM8
.
Ehhh....Malaysia ni tiada orang lain ke yang layak nak jadi Perdana Menteri?

Asyik-asyik dia - lepas dia, dia - kemudian dia lagi!!

Dalam hal ini, di ketika Yang Dipertuan Agong dipercayai bermula hari ini akan memanggil ketua-ketua parti ke Istana Negara untuk mendapatkan pandangan mengenai calon Perdana Menteri sebelum baginda membuat keputusan, adalah penting semua parti mempunyai calon yang jelas daripada kalangan sendiri untuk mengisi jawatan Perdana Menteri.

PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah mesti kekal dengan ketetapan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Oleh kerana gabungan tiga parti itu hanya mempunyai bilangan 92 Ahli Parlimen, mereka mesti berusaha mendapatkan sokongan daripada parti-parti lain, termasuk Sabah dan Sarawak untuk mencukupkan sekurang-kurangnya 112 jumlahnya.

Begitu juga Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan Pas yang turut disokong MCA serta MIC yang

mempunyai bilangan 59 Ahli Parlimen, mereka juga mesti menamakan calon sendiri sebagai Perdana Menteri.

Calonnya mungkin Zahid Hamidi, Najib Razak, Tengku Razaleigh atau Hadi Awang dan cubalah juga menarik sokongan daripada Sabah, Sarawak, kem Azmin dan Bersatu.

Tapi, tak usahlah calonkan Tun Mahathir lagi, bukankah dia yang menumbangkan UMNO dalam PRU14 lalu?

Lebih daripada itu, dalam perjumpaan dengan Anwar, Guan Eng dan Mohamad Sabu semalam, Tun Mahathir jelas menyebut, “saya tak boleh bersama dengan UMNO yang sudah rosak dan rasuah.”

Dinyatakannya juga, punca beliau meletakkan jawatan adalah kerana namanya terus dikaitkan untuk bekerjasama dengan UMNO yang menyebabkannya berasa malu seolah-olah bersama dengan golongan perasuah.

Jika sudah begitu tanggapan Tun Mahathir terhadap UMNO, apakah UMNO masih mahu mencalonkannya sebagai Perdana Menteri?

Lagi pun, jika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan tiba-tiba tiga empat bulan akan datang beliau meninggal dunia, kekalutan untuk melantik Perdana Menteri seterusnya akan muncul semula.

Ini kerana walaupun banyak parti setuju Tun Mahathir jadi Perdana Menteri, tidak mungkin persetujuan itu berterusan untuk perlantikan Perdana Menteri selepasnya.

Misalnya, jika Tun Mahathir jadi Perdana Menteri dan Azmin atau Hishammuddin akan dilantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, setelah Tun Mahathir meninggal dunia, tidak mungkin UMNO, Pas dan Amanah contohnya, setuju Azmin atau Hishammuddin yang sudah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri terus dijadikan pengganti Perdana Menteri.

Bermakna, mencalonkan semula Tun Mahathir hanyalah mampu memberi kestabilan yang interim saja, bukan dalam tempoh yang lebih lama.

Maka itu, adalah lebih baik semua parti atau blok mencalonkan nama Perdana Menteri sendiri dan tempoh ada ini gunakanlah sebaik-baiknya untuk menarik seberapa banyak sokongan yang boleh.

Kalau pun akhirnya semua parti atau blok tidak cukup bilangan kerusi untuk mengisi jawatan Perdana Menteri, jalan terbaik ialah Yang Dipertuan Agong mengarahkan Parlimen dibubarkan untuk mandat diserahkan semula kepada rakyat membuat pilihan.

Itulah demokrasi dan melalui keputusan pilihanraya itu nanti, semua pasti lebih puas hati

Shahbudin Husin




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan