Dosa-Dosa Aali Saud Di Yaman
Bermulanya tahun baru 2020, lazimnya setiap kita akan memasang azam dan harapan yang pelbagai untuk dikecapi, mungkin ada yang berazam untuk memiliki rumah baru, kereta baru, kereta kedua atau yang agak nakal mahukan isteri baru dan macam-macam lagi. Tapi pernahkan kita terfikir apakah azam dan harapan bagi rakyat Yaman yang terlibat dalam konflik perang maha dasyat sejak 2015?.
Kalau soalan cepu emas ini ditanyakan kepada lebih 23 juta rakyat Yaman yang menjadi mangsa peperangan, pasti jawapan mereka senada mengharapkan perang segera tamat. Tapi sepertinya mereka terpaksa menangguhkan azam itu untuk setahun lagi, kerana sela 21 hari bermulanya tahun baru, Saudi telah melancarkan serangan pembukaan 2020 keatas Yaman di daerah Nehm dan mengorbankan 35 orang. Ketakutan setiap minit akan jatuhnya bom dari pesawat-pesawat perang pasukan tentera gabungan pimpinan Arab Saudi selama 5 tahun ini akan terus menghantui rakyat Yaman.
Mungkin sahaja tragedi pengeboman bus sekolah oleh Saudi yang mengorbankan 40 orang kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun pada tahun 2018 berulang kembali atau peristiwa pengeboman majlis perkahwinan yang mengorbankan 22 orang tetamu dan mencederakan kedua mempelai di Sanaa akan menimpa rakyat Yaman yang lain. Ya, sememangnya perang ini tidak mengenal mangsanya. Sejak tahun 2015 sehingga tahun 2018, Human Rights Watch telah mendokumenkan kira-kira 90 serangan udara yang menyalahi undang-undang dengan menyerang rumah, pasar, hospital, sekolah, dan masjid, serta angka korban telah mencecah 70,000 orang seperti yang dilaporkan Armed Conflict Location & Event Data Project (ACLED). Jumlah ini termasuk kematian akibat serangan langsung serta penyakit yang tidak mampu dirawat akibat disekat dari menerima bantuan luar oleh Arab Saudi.
Dasyat bukan?, kerana itu PBB telah mengeluarkan pernyataan bahawa konflik Yaman sebagai “the world's worst humanitarian crisis”. Kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, konflik ini telah menyebabkan lebih 23 juta rakyat Yaman -bersamaan dua pertiga populasi rakyat- dalam keadaan sangat memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan. Manakala 2.8 juta orang pula hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian. Apa yang lebih memeranjatkan berdasarkan statistik, setiap 10 minit seorang kanak-kanak berusia bawah 5 tahun akan mati akibat penyakit yang pelbagai seperti malnutrisi dan malaria.
Malapetaka ini sangat ngeri, angka-angka yang diberikan sudah mampu membuatkan kita mendekati bayangan realiti sebenar di sana, ini belum kita bercerita perihal nasib wanita-wanita Yaman yang paling terkesan dari peperangan ini serta mereka yang menjadi mangsa seksual dan penderaan. Carilah di Google “yemen women war victims”, pasti kita temukan ribuan maklumat dan berita yang mampu mengguris setiap sukma insani. Tetapi kenapa kita tidak pernah tahu akan semua ini?, ini kerana perang di Yaman adalah “forgotten war”. Ya, memang sengaja dilupakan, kerana siapa yang berminat untuk mengetahui nasib negara termiskin di timur tengah ini?.
Farazdaq Fargas
https://www.facebook.com/farazdaq.fargas
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan