Header Ads

ads header

Flash News

Meneruskan sisa-sisa hidup politik PH


Kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan pada 9 Mei 2018 selepas pilihan raya umum ke-14 dan berakhir pada Isnin 24 Feb 2020. Dengan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri, dengan sendirinya terbubar Kabinet dan seterus kerajaan itu. Kini beliau adalah perdana menteri interim selama seorang penggantinya belum dilantik.

Harapan sebahagian penyokong PH yang mahu melihat gabungan itu bertahan lama seperti Barisan Nasional musnah sekelip mata. Mereka pada mulanya mengharapkan supaya lepas Mahathir, Anwar Ibrahim akan naik dan Muhyiddin Yassin pula menjadi timbalan perdana Menteri. Apabila Muhyiddin menjadi perdana menteri pula, timbalannya kelak adalah Azmin Ali. Tetapi ternyata itu hanyalah harapan naif. Nasi pun sudah menjadi bubur.

Ketika mula penubuhan kerajaan itu, satu ungkapan mengenai negara ini diutarakan, iaitu “New Malaysia” atau Malaysia Baru. Ia dilontarkan kalangan pemimpin DAP dan disambut oleh sebilangan penyokong PH. Malaysia Baru tidak diperjelaskan dalam bentuk prinsip atau ciri-ciri. Tetapi gambaran yang terdapat dalam Malaysia Baru adalah kewujudan negara yang bersih, berintegriti, adil dan saksama. Pendek kata ia menggambarkan Malaysia yang berbeza daripada bentuk lama. Malaysia Baru ini adalah demokratik, liberal dan maju. Sebab itulah ungkapan ini lebih digemari golongan urban yang tidak begitu kuat hubungannya dengan politik identiti.

Tetapi bagi pendokong PH kalangan Melayu, terutama dari PPBM atau bekas penyokong Umno, mereka tidak begitu tertarik dengan implikasi apa yang disebut sebagai Malaysia Baru. Walaupun pendokong Melayu PH turut mendokong usaha membanteras korupsi dan komited untuk memulihkan integriti tetapi dari segi asas fahaman politiknya adalah sama dengan apa yang dipegang Umno selama ini. Mereka menolak Umno hanya apabila kedudukan integriti parti itu sudah begitu buruk semasa ia di bawah pimpinan Najib Razak lantaran skandal 1MDB.

Maka tidak hairanlah pasti akan berlaku pertembungan fahaman politik PPBM dengan ahli PH asal iaitu PKR, Amanah dan DAP. Walaupun ketiga-tiga parti itu juga mempunyai fahaman politik berlainan tetapi kerjasama mereka sejak dari 1998 cukup kental untuk memilik persefahaman. Termasuk ketika pemimpin Amanah merupakan teras kepada PAS. Maka PKR dengan Reformasi dan Amanah dengan Rahmatan Lil Alamin dapat menemukan titik temu sebagai gabungan politik.

Malah apabila PPBM menyertai PH pada 2017, maka diharapkan parti itu juga akan menemui keserasian dengan ahli asal PH. Apa yang memudahkan kerjasama itu adalah kepimpinan Mahathir.

Perbezaan fahaman politik dalam kalangan parti ini turut terserlah sepanjang menerajui kerajaan selama hampir 2 tahun itu. Kerajaan PH dengan segala kompromi antara satu sama lain selama ini berjaya menampung perbezaan fahaman politik ini. Kejayaan ini adalah kerana kepimpinan Mahathir sendiri.

Tolak ansur ini perlu bagi meneruskan sisa-sisa perjalanan politik PH. Harapan untuk mencapai Malaysia Baru pasti tidak akan diperoleh kerana sifat parti PH yang plural. Begitu juga kehendak PPBM supaya PH memenuhi aspirasi Melayu seperti yang ditekan Umno dan PAS tidak juga akan kesampaian kerana tolak ansur. Semua parti tidak dapat memperoleh apa yang diharapkan sepenuhnya. Tetapi kalau tidak dapat sepenuhnya, sudah cukup memuaskan apabila sebahagiannya dapat dicapai. Sebab itulah kekuatan sedia ada dan semua pihak perlu hidup dalam kedudukan sebegini.

Namun begitu, keruntuhan kerajaan PH ini bukan kerana perbezaan fahaman politik itu. Perkara itu dirasakan boleh diuruskan. Kemelut politik yang berlaku di penghujung Februari ini adalah kerana kelemahan kepimpinan Anwar.

Adalah suatu yang pelik apabila seorang yang sudah dijanjikan akan menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir tidak dapat sokongan dari parti sendiri. Sememangnya banyak pendokong PH yang menyalahkan Azmin kerana melakukan tindakan politik yang akhirnya meruntuhkan kerajaan PH. Tetapi melihat beliau mampu meraih banyak sokongan, dari nama-nama besar pula dalam PKR menyerlahkan kelemahan kepimpinan Anwar.

Kegagalan beliau meraih sokongan Azmin dan pengikutnya memberi padah bukan saja pada PKR tetapi juga akhirnya kerajaan PH. PKR terbelah 2. Begitu juga dengan PH apabila PPBM keluar dari gabungan. Maka dalam keadaan ini Malaysia Baru hanya tinggal impian. Itupun kalau ada rakyat yang mahu mengimpikannya.

Dalam suasana begini, bukan saja PPBM dan sebahagian PKR meragui kepimpinan Anwar, malah rakyat juga sukar memberikan sokongan besar padanya. Pada Amanah dan DAP, sudah pasti mereka lebih mengenali Anwar dan kelemahannya. Kalau ada alternatif lain, pastinya mereka tidak ragu-ragu meninggalkan beliau.

Tetapi Malaysia tidak mempunyai kepimpinan alternatif. Mahathir sudah berusia 94 tahun. Sedangkan cabaran yang dihadapi oleh negara semakin besar. Malah apa yang ada di depan mata ialah ancaman Covid-19 dan kesan buruk ekonomi daripadanya. Keadaan negara sekarang menuntut tumpuan tajam daripada kerajaan bukan saja menteri kesihatan dan menteri kewangan tetapi keseluruhan Kabinet. Ia tidak boleh hanya dibiarkan kepada perkhidmatan awam untuk menghadapinya.

Sebagai pemberita yang pernah membuat liputan terhadap hubungan Mahathir dan Anwar dari 1982, penulis dapat merasakan manusia sukar untuk berubah banyak. Sikap dan kaedah tindakan seseorang terutama pemimpin politik dilihat seolah-olah sama sepanjang zaman. Bagaimana mereka membuat keputusan mencerminkan bahawa seseorang individu itu konsisten dalam tindak-tanduknya.

Tetapi begitu juga rakyat sesebuah negara. Rakyat Malaysia pada keseluruhan mempunyai ciri-ciri, sikap dan perangai tersendiri, seperti mana juga negara lain juga mempunyai identiti atau kecenderongan masing-masing.

Gelagat politik Mahathir dan Anwar adalah juga cerminan aspirasi dan kecenderungan politik rakyat. Dari sejak mencapai kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, gelagat politik rakyat negara ini boleh dianalisis. Begitu juga dengan pemimpin politiknya yang mengikut rentak emosi rakyat dengan digerakkan juga oleh media pada zaman masing-masing.

PH boleh terus hidup tanpa PPBM dan Azmin serta pengikutnya. Malah jika tidak menjadi kerajaan pun PH boleh terus berperanan dalam politik tanah air sebagai pembangkang. Sebelum kemunculan PPBM, PH sememangnya sudah berfungsi dengan kerjasama PKR, DAP dan Amanah.

Sememangnya kehadiran Mahathir dan PPBM memberikan peluang pada PKR, DAP dan Amanah mengecapi kuasa dan cuba melaksanakan idealisme politik mereka. Setelah melalui pengalaman berkerajaan untuk hampir 2 tahun ini, pastinya banyak pengajaran yang diperoleh. Antaranya mengenai negara terpendam dan isu kaum serta agama yang mudah menarik emosi rakyat negara ini.

Mungkin cita-cita Malaysia Baru tidak dapat diterima oleh banyak rakyat negara ini. Mereka lebih selesa dengan struktur Malaysia Lama yang menyerlahkan identiti kaum dan agama.

Manusia dan masyarakat sukar berubah tetapi hayat seseorang adalah terhad. Zamannya pasti berlalu dan digantikan dengan generasi baru. Walaupun generasi lama mendidik mereka, sikap konservatisme hanya dipegang oleh sebahagian daripada masyarakat. Pastinya akan sentiasa ada golongan progresif yang mahukan perubahan dalam masyarakat.

ZIN MAHMOOD


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan