Header Ads

ads header

Flash News

Najib, Rosmah mungkin 'dipaksa' beri keterangan - KPN


POLIS tidak menolak kemungkinan akan ‘memaksa’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan berhubung pendedahan sembilan set rakaman perbualan membabitkan beberapa individu berprofil tinggi oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, turut akan dipaksa berbuat demikian adalah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata, proses untuk memanggil mereka bagi memberi keterangan sedang berjalan dan diharap laporan lengkap kes dipercepatkan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Ada ketikanya ketika dipanggil mereka tak dapat datang dengan memberikan alasan munasabah seperti mempunyai (kes lain) di mahkamah atau tidak sihat, mungkin mereka akan diberikan tarikh tertentu untuk hadir.

“Kita kalau boleh nak cepat (selesaikan kes), tetapi mereka memberi alasan munasabah. Sekiranya tidak (mempunyai alasan munasabah), kita akan paksa dan perintah mereka untuk datang mengikut prosedur undang-undang,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, Melaka, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar dan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Kasim Karim.

Setakat 28 Januari lalu, polis hanya memperoleh keterangan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bagi membantu siasatan kes rakaman audio terbabit.

Pada 15 Januari lalu, Latheefa memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Turut memberi keterangan adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu.

SPRM pada 8 Januari lalu mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Abdul Azeez yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit adalah tulen.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan