Header Ads

ads header

Flash News

Pembangkang Sabah rancang gabungan politik baru


KOTA KINABALU: Beberapa pemimpin utama pembangkang Sabah bertemu di Penampang hari ini dalam satu perkembangan yang dilihat sebagai percubaan baru untuk membentuk satu pakatan politik, dan dipercayai bersetuju untuk bergabung dalam sebuah parti baru.

Pertemuan selama 2 jam menggunakan slogan “Perpaduan Rakyat” itu dipercayai dipengerusikan oleh Anifah Aman, bekas menteri luar dan ahli Parlimen Kimanis.

Hanya Parti Bersatu Sabah tidak hadir dalam pertemuan hari ini.

Selepas pilihan raya umum Mei 2018, satu percubaan dibuat bagi membentuk pakatan pembangkang yang dinamakan Gabungan Sabah, tetapi rancangan itu kemudiannya ditangguhkan.

FMT difahamkan bahawa pertemuan hari ini di bangunan Kinsabina Sdn Bhd Di Penampang, merupakan pertemuan kali ke-2 melibatkan pemimpin pembangkang negeri itu bagi meneroka kemungkinan untuk mengadakan kerjasama sesama mereka.

Turut hadir hari ini ialah Jeffrey Kitingan, presiden Parti Solidariti Tanah Airku; Yong Teck Lee, presiden Parti Progresif Sabah; Wilfred Bumburing, yang mengetuai Parti Cinta Sabah; Henrynus Amin, presiden Parti Kerjasama Anak Negeri; Francis Goh, penasihat Parti Gagasan Rakyat Sabah dan Pamela Yong, ketua Wanita MCA Sabah.

Turut hadir adalah Adun Bingkor Robert Tawik; Ewon Ebin daripada Upko; bekas pemimpin Upko Marcus Mojigoh; anggota Majlis Tertinggi Upko, Ewon Ebin; Adun Nabawan, Ellron Angin; bekas ahli Parlimen Putatan, James Ligunjang dan pemimpin politik kanan Sabah lain.

Ligunjang memberitahu FMT selepas itu bahawa perbincangan hari ini berkait usaha mencapai kata sepakat untuk bergabung dalam satu parti yang namanya akan ditentukan kemudian.

“Ideanya ialah untuk menggabungkan semua parti untuk menjadi satu parti. Semua telah bersetuju,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan atau mengiyakan sama ada perbincangan tersebut akan menjurus kepada pembubaran semua parti terbabit bagi membolehkan sebuah parti baru ditubuhkan.

“Masih terlalu awal untuk menentukan bagaimana parti baru itu akan lahir,” katanya.

Anifah juga tidak menafikan bahawa semua parti harus dibubarkan terlebih dahulu bagi membolehkan rancangan itu menjadi kenyataan.

Walaupun PBS tidak diwakili dalam pertemuan hari ini, pengerusi Star Sabah, Jeffrey Kitingan mengesahkan parti itu dijemput, tetapi wakilnya gagal hadir kerana masalah kesihatan.

Pembangkang Sabah bercempera berikutan pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN), yang merupakan bekas kerajaan sebelum ini, lumpuh sama sekali.

Parti seperti Upko, PBS, PBRS dan parti Demokratik Liberal bertindak meninggalkan BN satu persatu, sementara MIC Sabah pula dibubarkan, meninggalkan hanya MCA dan Umno negeri itu dalam BN.

PBS, Star Sabah dan Umno mengambil langkah untuk membentuk satu Gabungan Sabah bagi menggantikan Umno dengan syarat Umno mesti dibubarkan di negeri itu.

Berikutan itu, ramai pemimpin dan ahli Umno meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM sekali gus membuka jalan kepada penubuhan parti itu di Sabah.

PPBM Sabah bekerjasama dengan parti pemerintah Sabah, iaitu Warisan, DAP Sabah, PKR Sabah dan Upko.

Ketika ditanya tentang peranannya dalam gabungan baru itu, Anifah, yang tidak menganggotai mana-mana parti berkata, adalah terlalu awal untuk membuat komentar kerana terdapatnya pemimpin lain yang tidak berparti yang akan menyertai parti baru itu.

Anifah kini berusaha menubuhkan partinya sendiri.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt




............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan