Salahkah menyokong Tun sebagai PM?
ISU UNDI Percaya terhadap Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir yang PAS putuskan akan dibawa oleh wakilnya ke Parlimen awal Mac nanti terus menjadi isu paling hangat kebelakangan ini.
Akhbar The Star meletakkan isu ini di muka depannya dua hari berturut-turut termasuk hari ini.
Ternyata cadangan PAS ini memberi impak kepada semua yang berkepentingan dan rakyat Malaysia melihat dengan penuh minat perkembangannya. PAS menjadi perhatian semua.
Usul Percaya terhadap PM ini bukan perkara baru di Parlimen tetapi ia yang pertama dibawa oleh pembangkang. Pada tahun 1976 sejurus naik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketiga menggantikan Allahyarham Tun Abd Razak satu Usul Percaya dibawa terhadap Tun Hussein Onn yang telah dibahas dan diluluskan Ahli-ahli Dewan ketika itu.
Tujuan membawa usul seumpama ini adalah bagi menyatakan keyakinan terhadap Perdana Menteri untuk menjalankan tugasnya dengan sokongan penuh wakil-wakil rakyat di Dewan.
Ia boleh mengembalikan keyakinan rakyat dan para pelabur dan dengan keyakinan itu diharapkan negara boleh kembali pulih dan sejahtera.
Siapa pun boleh membawa usul ini dan hak membawanya tidak boleh dipertikaikan dalam sebuah negara yang menjunjung amalan demokrasi berparlimen.
Semalam Presiden PKR Anwar Ibrahim mempertikaikan hasrat PAS itu. Beliau mendakwa usul PAS ini hanya bertujuan untuk memecah belahkan Pakatan Harapan.
Ini bukan usul undi tidak percaya tetapi Usul Percaya. Mengapa pula ia boleh memecah belahkan PH sedangkan ia mahu menyokong PM yang sepatutnya mewakili PH?
Hanya individu yang paranoid sahaja yang menolak usul ini kata Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sepatutnya sebagai Presiden parti terbesar dalam PH Anwar mengalu-alukan usaha PAS ini dan menyeru ahli-ahli Parlimen PKR dan PH menyokong.
Melainkan Anwar memang paranoid, terlalu curiga dan terganggu berlebih-lebihan emosinya dengan maksud usul PAS ini.
Sikap Anwar mencerminkan sesungguhnya beliau tidak senang dengan Tun dan tidak mahu Tun kekal sebagai PM. Itu yang sebenarnya.
Lantas Anwar dan mereka yang sealiran dan sejiwa dengannya bolehlah menolak usul ini sekali gus mempamerkan secara terbuka yang mereka tidak yakin pada Tun sebagai PM.
Melalui usul ini PAS mahu tunjuk pada rakyat Malaysia yang di saat krisis, dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, kita boleh bangkit berdiri bersama melewati kepentingan politik dengan menyokong dan memberi keyakinan pada PM kita untuk terus menggalas tanggungjawab mentadbir negara.
Secara rasionalnya ia suatu usul yang sangat relevan dan tiada mana pihak yang wajar menolaknya. Kecuali mereka yang memang paranoid, punya agenda dan kepentingan peribadi, gila kuasa sehingga sanggup menggadaikan nasib dan masa depan rakyat dan negara semata-mata kerana jawatan dan kepentingan diri.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
– HARAKAHDAILY 12/2/2020
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan