Tindakan Balas Anwar Dan Langkah Terbaik Untuk Mengalahkan Anwar Dan DAP
Anwar dan DAP sememangnya perlu dikeluarkan daripada kerajaan.
Namun setiap langkah politik akan ada tindakbalasnya.
........
Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Mat Sabu serta parti politik mereka DAP, PKR dan PAN telah berpuluh tahun menjadi pembangkang sebelum PRU-14 dan lantang mengkritik kerajaan.
Namun apabila diberi kuasa sebagai kerajaan selepas PRU-14 mereka terbukti tidak mampu untuk mentadbir negara dengan baik malah menjadikan keadaan semakin buruk.
Ekonomi negara merudum teruk dan beratus ribu orang telah hilang kerja.
Aset negara semakin hari semakin habis dijual malah hutang negara semakin bertambah berbillion ringgit.
Sebab itu adalah menjadi imperatif moral untuk kita menukar kerajaan walaupun di separuh penggal sebelum keadaan menjadi semakin kritikal.
Pilihan yang ada untuk menukar kerajaan adalah sama ada dengan membentuk kerajaan pintu belakang atau membubarkan Parlimen untuk pilihanraya umum yang baru.
........
Fokus kerajaan hari ini sepatutnya adalah memulihkan ekonomi, mengembalikan peluang pekerjaan kepada rakyat, menarik kembali keyakinan pelabur, mengekang kenaikan kos sara hidup, serta mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi dan agensi kerajaan terutama SPRM dan Peguam Negara serta the Rule of Law.
Namun ini tidak dapat dilakukan sekiranya keadaan politik negara tidak stabil seperti berikut:
PERTAMA, apabila kerajaan yang dibentuk berubah-ubah dengan ahli-ahli politik dan wakil-wakil rakyat tidak fokus kepada hal pentadbiran kerajaan dan dasar untuk rakyat sebaliknya sentiasa berunding dan melompat parti mengikut angin dan kepentingan semasa serta membentuk kerajaan pintu belakang tanpa mendapat mandat rakyat melalui pilihanraya.
Lambat laun tentunya rakyat akan hilang kepercayaan kepada wakil-wakil rakyat seperti ini dan mereka akan ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya.
Sebab itu banyak kerajaan pintu belakang tidak bertahan lama.
Namun sementara menanti pilihanraya, dengan kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang, keadaan politik negara akan menjadi berkucar lana.
KEDUA, apabila ada pihak-pihak yang rasa dikhianati dengan perubahan kerajaan melalui pintu belakang tanpa pilihanraya tersebut membuat huru hara di jalanan dan menghasut rakyat untuk mencetuskan revolusi.
Anwar tentunya akan memilih jalan ini seperti yang dilakukannya dua puluh tahun dahulu semasa Reformasi 1998.
Anwar dan DAP tahu mereka akan ditendang keluar daripada kerajaan oleh Mahathir dan Azmin yang akan membentuk kerajaan pintu belakang yang baru oleh itu mereka (Anwar dan DAP) kini memerlukan sebab yang kukuh untuk memujuk rakyat untuk memberontak bersama mereka apabila mereka ditendang keluar dari kerajaan.
Pembentukan kerajaan pintu belakang yang baru tanpa pilihanraya dan tanpa mandat rakyat akan memberikan mereka sebab yang diperlukan tersebut.
Sebelum ini mereka (PH) berada dalam keadaan defensif kerana kelemahan pentadbiran mereka sebagai kerajaan.
Namun selepas ini dengan pembentukan kerajaan pintu belakang, mereka tentunya akan mendapat tiupan semangat baru untuk bangkit dan menghasut rakyat untuk menyokong mereka dan untuk rakyat kembali membenci UMNO dan Barisan Nasional.
Sejak semalam pemimpin-pemimpin DAP dan PKR mula melaungkan ungkapan "pengkhianatan mandat rakyat" merujuk kepada pembentukan kerajaan pintu belakang oleh Mahathir dan Azmin bersama BN dan PAS.
Apabila keadaan ekonomi semakin teruk kelak akibat keadaan politik yang tidak stabil dan rakyat semakin tertekan, kerajaan pintu belakang baru yang dibentuk tanpa pilihanraya ini tentunya akan dipersalahkan.
Dan pada pilihanraya umum yang akan datang rakyat tentunya akan menghukum kerajaan pintu belakang ini.
Perkara ini juga tidak boleh diambil enteng kerana ianya melibatkan keselamatan negara.
Dalam sejarah dunia banyak rampasan kuasa dan perubahan struktur kerajaan telah tercetus melalui revolusi jalanan akibat hasutan dan ketidakpuasan hati rakyat apabila mereka menganggap sesuatu itu tidak adil apabila hak mereka dirampas termasuk hak untuk memilih kerajaan melalui pilihanraya.
Contohnya, banyak negara yang sebelum ini mempunyai sistem beraja telah menjadi republik akibat rampasan kuasa dan revolusi.
Tentunya kerajaan mempunyai cara untuk mengekang perkara ini daripada berlaku namun tiada kepastian akan kesudahannya.
Namun sementara itu negara akan bergolak dan pelabur akan menjauhkan diri.
Sebab itu mandat rakyat adalah penting untuk membentuk kerajaan yang baru, dan Parlimen perlu dibubar untuk memberi laluan kepada pilihanraya umum untuk mendapatkan mandat yang baru daripada rakyat.
Jika rakyat sekali lagi tersalah pilih pun, sekurang-kurangnya itu adalah kuasa dan hak pilihan mereka secara demokratik dan bukan kerana wakil rakyat yang mereka pilih mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka dengan melompat parti.
Kos untuk menjalankan pilihanraya adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kos ketidakstabilan politik dan kemeruduman ekonomi yang berpanjangan serta kos kekalahan moral dengan kerajaan pintu belakang ini serta risiko kekalahan di pilihanraya umum yang akan datang.
Saya tidak mahu lihat kita membuat kesilapan dan menyesal di kemudian hari.
........
Semasa PRU-14, rakyat telah mengundi bendera PKR untuk Mahathir dan Azmin menang pilihanraya.
Namun selepas pilihanraya, PH tidak menunaikan janji-janji manifesto mereka dan Mahathir berkata manifesto bukannya kitab suci.
Rakyat telah ditipu oleh mereka dan rakyat menyesal mengundi mereka.
Walaupun ramai rakyat telah menyesal mengundi PH dalam PRU-14 yang lepas, hak membentuk kerajaan melalui pilihanraya itu adalah hak rakyat dan kesilapan yang lepas tersebut adalah di tangan mereka.
Biarlah rakyat membetulkan kesilapan mereka ini melalui pilihanraya.
Jika kita mahu membentuk kerajaan yang baru, cara yang terbaik adalah mengembalikan semula hak itu di tangan rakyat dan bukannya di tangan Ahli-ahli Parlimen sahaja.
Jika Parlimen dibubar dan kita berhadapan dengan Pilihanraya Umum ke-15 bulan depan, memang tidak ada 100% gerenti yang kita akan menang.
Namun jalan ini adalah cara terbaik untuk mengalahkan DAP dan Anwar serta menyelesaikan kemelut politik dan ekonomi negara dengan lebih berkekalan dan bermaruah.
Kadangkala adalah lebih baik untuk kita mengambil jalan yang sedikit panjang tetapi berani dan bermaruah daripada mengambil jalan mudah tetapi segan silu dengan keseronokan yang hanya sementara.
Bubar.
ISHAM JALIL
24 Februari 2020
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan