Header Ads

ads header

Flash News

Timbunan bekas abu mayat di Wuhan cetus tanda tanya korban sebenar Covid-19


BEIJING: Timbunan bekas abu mayat di rumah pengebumian Wuhan menimbulkan tanda tanya mengenai skala sebenar kematian Covid-19 di pusat penularan pandemik itu.

Keluarga mangsa korban virus itu dibenarkan mengambil abu mayat di 8 rumah pengebumian mulai minggu ini.

Tetapi, pada masa sama, gambar ribuan bekas abu mayat tiba di rumah pengebumian tersebar di media sosial China.

Di luar sebuah rumah pengebumian itu, lori membawa kira-kira 2,500 bekas abu mayat tiba pada Rabu dan Khamis lalu, lapor media China, Caixin.
Ia turut menyiarkan gambar 3,500 bekas abu mayat disusun di luar tempat itu. Tidak diketahui berapa banyak bekas sudah diisi abu mayat.

Pekerja yang menjawab panggilan di 6 daripada 8 rumah pengebumian di Wuhan berkata, mereka tiada maklumat berapa banyak bekas abu mayat yang menunggu diambil waris atau tiada kuasa untuk mendedahkan statistik itu.

Panggilan ke 2 lagi rumah pengebumian tidak dijawab.

Sesetengah keluarga berkata, mereka terpaksa menunggu beberapa jam untuk mengambil abu mayat.
Ini menyusul ketika korban Covid-19 di negara Barat meningkat secara drastik, termasuk di Milan, Madrid dan New York, di mana hospital mendirikan khemah untuk menampung kebanjiran pesakit dengan jumlah jangkitan di seluruh dunia melebihi 500,000 kes dan 24,000 kematian dilaporkan.

Menurut statistik kerajaan China, seramai 2,535 pesakit di Wuhan meninggal dunia akibat virus itu.
Perintah berkurung yang dilaksanakan sejak Januari lalu akan ditarik balik selepas China memaklumkan tiada lagi kes baru dilaporkan dan meningkatkan pendekatan diplomatik kepada negara lain yang teruk terjejas akibat virus itu, dengan menghantar bekalan perubatan kepada mereka.

Tetapi, ada pihak di China yang was-was dengan ketepatan statistik rasmi itu, khasnya dengan sistem perubatan Wuhan yang sibuk, cubaan pihak berkuasa menyembunyikan penularan itu di peringkat awal dan semakan semula berkali-kali cara pengiraan kes baru. Pengguna media sosial menuntut pegawai tinggi di Wuhan dikenakan tindakan disiplin.

Caixin melaporkan ramai yang meninggal dunia mempunyai simptom Covid-19, tetapi mereka tidak diuji dan dikecualikan daripada statistik rasmi.

Ada pesakit yang meninggal dunia akibat penyakit lain kerana tidak mendapat rawatan sewarjarnya disebabkan hospital sibuk merawat pesakit Covid-19.

Data Agensi Hal Ehwal Awam Wuhan menunjukkan 56,007 pembakaran mayat dilakukan di bandar itu pada suku ke-4 2019. Jumlah itu ialah 1,583 lebih tinggi berbanding suku ke-4 pada 2018 dan 2,231 lebih tinggi daripada tempoh sama 2017.

Larangan bersih kubur

Kerajaan Wuhan pada Khamis lalu mengeluarkan arahan melarang penduduknya membersihkan kubur sehingga 30 Apr ini, ini bermakna mereka tidak dapat menziarahi dan membersihkan kubur sempena perayaan tradisi Ching Ming pada 4 Apr ini.

Wilayah lain termasuk Guangxi dan Zhejiang turut melaksanakan larangan sama.

Dua penduduk di Wuhan yang kehilangan ahli keluarga mereka akibat Covid-19 berkata, mereka dimaklumkan majikan atau pegawai dari jawatankuasa kejiranan perlu menemani mereka mengambil bekas abu mayat.

“Saya diberitahu oleh pihak berkuasa tempatan untuk menunggu sehingga notis selanjutnya berhubung tarikh untuk mengambil abu mayat bapa saya,” kata seorang penduduk Wuhan menerusi Weibo.

Seorang lagi pengguna Weibo berkata, beliau kehilangan suaminya akibat virus itu dan dihubungi polis yang memintanya tidak terlalu sedih serta berhenti memuat naik catatan dalam talian.
“Saya hanya ada satu permintaan.

“Saya mahu memberi pengebumian sewajarnya kepada suami saya secepat mungkin.”





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan