Header Ads

ads header

Flash News

Keluargaku Si Pencuri


Malu nak berkongsi cerita, tapi tak dapat lagi nak pendam perasaan. Tak mengharap banyak, cuma harap sudi ada yang sudi membaca.

Semoga ada abang-abang dan kakak-kakak yang boleh memberi jalan keluar kepada saya. Saya nak bagitahu awal-awal, kisah saya ini panjang, sangat panjang. Maafkan saya.

Pada tahun ini, usia saya genap 18 tahun, mempunyai 6 orang beradik (saya anak ke-4), kesemuanya lelaki kecuali saya seorang perempuan. Tinggal menetap di kawasan perumahan berhampiran dengan pusat bandar ibu negeri di semenanjung. Ibu bekerja sebagai cleaner di universiti awam, ayah pula berkerja dipasar ikan.

Kami datang dari keluarga yang miskin sederhana, tahap pembelajaran juga hanya ala kadar, tidak pandai disekolah, abang-abang tidak habis belajar, kekangan duit sememangnya, tapi isu malas belajar itu adalah yang paling utama.

Termasuklah saya yang sedang menulis ini, saya suka menulis, tetapi saya tidak suka belajar, dengan menulis saya rasakan seperti bebas dalam dunia yang lain dari dunia saya sekarang.

Dahulunya semasa kami kecil, kami tinggal dikampung rumah keluarga ayah, berlaku isu-isu yang memalukan keluarga, kami semua berpindah pula ke rumah keluarga rumah mak pula.

Juga berlaku masalah yang sama, kami terpaksa berpindah lagi, beberapa kali perpindahan, dari kampung ke bandar, dari bandar ke kampung dan akhirnya sekian lama asyik berpindah, kami berakhir dengan menetap disini, sudah 7 tahun tinggal disini, berharap biarlah kekal, rumah yang diduduki ini rumah sewa sahaja,

Isu yang sangat menganggu hati saya sekian lama adalah keluarga saya adalah pencuri. Kami semua pencuri. Baik ayah, mak dan adik beradik yang lain, semuanya menjadi pencuri. Saya juga tidak terkecuali menjadi seorang pencuri sebelum saya berusia 12 tahun.

Telah lama saya sedar, sudah banyak kali saya ingatkan pada ahli keluarga, sampai bila asyik nak mencuri, cukuplah, kita bukan tak mampu dah nak cari duit beli barang, semua pun sudah bekerja. Semua pun dah ada duit poket sendiri, tapi masih lagi nak mencuri jika ada peluang.

Masa kecil dahulu, memanglah seronok mencuri, mula-mula je rasa takut, tapi bila kita ada geng iaitu abang-abang, ayah, mak yang turut sama mencuri pada satu-satu masa yang sama, perasaan takut itu menjadi hilang dan akhirnya menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga.

Apa yang akan saya ceritakan ini adalah, ‘saya’ yang sebelum berusia 12 tahun. Keluarga saya masih lagi mengamalkan tabiat mencuri sehingga kini, tapi tidak saya. Sudah 6 tahun saya tinggalkan dunia yang mengaibkan itu.

Semasa saya kecil, keluarga kami menumpang rumah opah (mak kepada ayah). Opah ini sudah tua, matanya pula rabun, dalam rumah pusaka itu, tinggal kami sekeluarga, opah dan paksu (adik bongsu ayah), yang masa itu belum berkahwin. Paksu ni baik sangat, rajin bekerja, tidak kedekut dengan kami anak sedara. Selalu belikan makanan dan mainan buat kami semua.

Paksu bekerja dikilang papan, manakala mak dan ayah bekerja dengan ambil upah menoreh getah kebun opah dan juga beberapa orang kampung yang lain.

Opah beri kepercayaan pada ayah untuk uruskan kebun getah, tapi ayah ni selalu menipu opah, selalu menipu timbangan getah, kalau dapat hasil RM100 contohnya, dikatanya hanya RM60 sahaja. Sudahlah lepas itu dituntut pula dari opah, upah menoreh separuh dari harga timbangan, alih-alih opah cuma dapat RM30 sahaja.

Didalam rumah itu, duit lauk dan makanan, memang opah dengan paksu yang dahulukan. Duit ayah, ayah simpan dalam kepala besi katil dalam bilik. Simpanan hari tua katanya, sebenarnya kedekut.

Mak pun tak kurang juga hebatnya, mengajar kami anak-anak untuk mencuri duit opah, seringgit sehari, jangan banyak kata mak, nanti opah dapat tahu.

Opah simpan duit dalam poket sarung baju dalam, duit belanja sekolah memang duit yang dicuri dari opah setiap hari, opah ni tak pandai mengira duit dan selalu lupa. Saya kasihan sangat dengan opah, opah baik dengan saya, tapi saya mencuri duit opah.

Mak cakap, mak takkan beri duit belanja sekolah. Pandai-pandailah kamu orang mencuri duit opah atau duit paksu. Sedihnya lah hidup saya. Saya lah yang selalu tidak berduit belanja disekolah, sebab selalu tak sanggup nak ambil duit opah.

Isu yang menyebabkan kami dihalau keluar dari rumah opah bila mak dituduh oleh adik beradik ayah yang lain kerana mencuri rantai opah. Opah ni memang lah sudah tua, selalu lupa tentang duit, tapi kalau rantai emas tu, opah ingat sangat. Rantai peninggalan atuk, opah sayang rantai tu.

Mak dengan ayah ni boleh dikategorikan sebagai pencuri amatur, tiada strategi, bertindak pula semberono. Setelah dicuri rantai opah, pergi gadai pula dipekan.

Duit yang dapat itu, bukan untuk diguna pun, disimpan dikepala katil tu juga, apa salahnya kalau bersabar sedikit, ini tidak, kalut nak pergi bergadai. Nak tengok duit berkepuk-kepuk. Rantai opah tu besar, tu yang gembira sangat tu.

Pekan bukannya besar sangat, apa yang berlaku dikampung itu, boleh dikatakan, seluruh pekan lah akan tahu. Semestinya kantoi lah kan. Orang kampung akan cerita dan cerita, ayah gadai emas, mahal beribu-ribu, sampailah ke pengetahuan paksu. Paksu maklum pada adik beradik yang lain minta pulang untuk bincang pasal hal ni.

Mak dengan ayah bermatian tak mengaku. Play victim guna anak-anak, buat-buat drama cakap opah benci kami semua. Opah pilih kasih, sayangkan cucu yang lebih kaya, tak suka kami menumpang, hah, drama sungguh malam tu, menyampah pun ada tengok dengan perangai mak yang berlebihan ni.

Opah tu baik sangat, tak marah pun mak dengan ayah, selama kami duduk rumah opah, tidak pernah pun opah ni marah dan benci, tak pernah pula dibezakan kami semua dengan cucu-cucu yang lain. mak dan ayah hanya jadikan alasan sebab nak menutup kesalahan mencuri itu kan.

Adik beradik yang lain bagi peluang kat ayah dengan mak, kalau tak pulangkan rantai opah tu, minta kami keluar dari rumah opah. Sebab nak menegakkan kan benang yang basah, mak ayah nekad tak mengaku, tetapi buat drama sedih dengan memilih untuk keluar dari rumah opah.

Hah. Drama, drama, drama, drama. Kalah drama Hindustan dengan air mata bagai. Padahal kami adik beradik tahu memang mak dan ayah yang curi rantai opah. (masa saya menulis cerita ini, opah sudah meninggal dunia, sampai habis nyawa opah pun, mak dan ayah masih lagi tidak mengaku)

Mak dan ayah kami ni pelik, suka berkongsi cerita dengan anak-anak apa yang dia buat. Lagi-lagi hal mencuri yang mendatangkan keuntungan, berbangga pula bila tunjuk hasil yang dicuri. Pelik kan. Saya pun kadang-kadang hairan dengan mak dan ayah.

Kami pun terpaksa pula menumpang dirumah nenek belah mak pula. Terpaksa tukar sekolah, persekitaran baru, kawan baru dan semuanya baru.

Nenek mak ni muda sedikit dari opah, nenek ni ranggi, berjiwa muda, berkahwin kali ke-2 selepas atuk meninggal. Nenek duduk rumah teres kos sederhana. Rumah kecil berbilik 3, nenek mak pun baik dengan saya. Saya sayang semua nenek saya.

Tapi malangnya, tak lama kami duduk rumah nenek, mak selalu bergaduh dengan nenek, setiap hari ada sahaja yang nak digaduhkan. Hal yang kecil sahaja kadang-kadang. Mereka memang tak sehaluan.

Bosan hari-hari dengan sikap mak yang suka bergaduh, bercakap pula perkara yang tak baik, tiada rasa malu lansung dengan jiran tetangga, tiap kali bergaduh, menjerit sana-sini, menyumpah seranah. Macam orang hilang akal, ayah pula sebelahkan mak, tidaklah nak menasihat atau apa. Dibiar pula mak bergaduh tak tentu hala begitu.

Duduk tak lama dirumah nenek, kami berpindah ke rumah sewa yang lain, taman perumahan yang sama dengan nenek, cuma lorong yang berlainan.

Nak pindah jauh, sayang sebab nanti terpaksa tukar sekolah, sekolah pula sudah dekat dengan rumah, ayah pula dah dapat kerja dengan majlis perbandaran secara kontrak. Mak masa tu berkerja sebagai pembantu kedai makan minum pagi dekat dengan rumah yang disewa.

Masa mak bekerja di kedai makan sebelah pagi, mak berpesan sebelum pergi sekolah, kena datang kedai tempat mak kerja untuk ambil bekal makanan. Kami kesekolah jalan kaki sahaja, jarak cuma 1km.

Kedai makan tempat mak kerja itu, orang selalu ramai sebelah pagi. Jadi kawasan itu selalu sibuk, mak jaga bahagian bungkus nasi dan kuih muih. Saya berjalan ber-empat dengan abang, mak pesan, hanya seorang sahaja yang datang ambil bekal. Yang lain tunggu dari jauh sahaja.

Modus operandi mak mudah sahaja, bahagian yang mak jaga itu, makanan memang semua sudah siap dibungkus macam nasi lemak, nasi minyak dan kuih-kuih.

Jadi, ketika tuan kedai dan pekerja leka melayan pelanggan yang makan dikedai, ketika itulah mak menyorok bekalan nasi untuk kami adik beradik. Dibungkus siap dalam plastik dan diletakkan bersama-sama dengan makanan yang telah ditempah awal oleh orang lain.

Jadi bila salah seorang dari kami pergi, kami akan mengambil makanan yang dibungkus dengan plastik yang hujungnya diikat dengan getah (petunjuk untuk tidak tertukar dengan makanan orang lain) dan terus berlalu pergi seperti tiada apa-apa berlaku.

Sadiskan.. makan pun nak mencuri, sebab tu semua anak-anak bodoh, belajar tak pandai, macam saya, dari kecil makan makanan hasil curi, bebal otak nak belajar. Semua ilmu bagai ditepis-tepis dari masuk kekepala ni.

Mak ni, kalau tak tahu perangai dia mencuri dia, semua orang cakap yang dia sangat rajin, baik hati dan peramah pula. Dia mudah didekati dan disenangi semua orang kerana dia ringan tulang membantu orang yang perlukan pertolongan terutamanya masa kenduri kendara.

Jika hari kenduri kendara, dialah yang paling awal datang dan yang paling terakhir tinggalkan tempat rewang, sebab itu dia amat disukai semua orang dikawasan perumahan yang kami tinggal itu. Sikap dia yang baik dengan semua orang itu, mengaburi sikap mencurinya yang sebenar.

Jikalau ada hari kenduri ditaman perumahan, saya lah yang paling bimbang dan tak tentu arah. Saya bukan apa, saya bimbang dia terkantoi sahaja. Saya taknak dia dimalukan.

Pada waktu-waktu macam itu, bekalan keperluan rumah akan lengkap untuk berminggu kerana mak, jika berpeluang, dia akan mencuri apa sahaja bekalan kenduri seperti gula, teh, susu, lada kering, minyak masak, hatta garam yang 50sen pun diangkutnya.

Kami anak-anak inilah yang dikerah untuk berulang-alik mengambil barang yang dicurinya satu persatu. Kanak-kanak lain asyik bermain, kami adik beradik asyik mencuri.

Ayah pula, selalu bawa balik barang dari tapak pembuangan sampah. Kadang-kadang diambil barang dari rumah-rumah ketika membersihkan kawasan taman perumahan, dia akan mngambil barang yang berpeluang untuk diambil tanpa disedari, dia akan menyorok dahulu barang itu disuatu tempat, kemudian akan mengambilnya bila dalam perjalanan balik nanti.

Setiap hari ada sahaja yang dibawa balik, kasutlah yang paling banyak, baju dan seluar juga ada. Pernah sekali itu, dia bawa balik beg sekolah yang tertinggal diluar pagar rumah orang. Kenapa nak ambil beg sekolah, bukan boleh dijual pun, tapi disebabkan tabiatnya yang suka mencuri itu, boleh jual atau tidak, itu perkara kedua, yang penting, ambil dulu, fikir kemudian.

Belum lagi masuk cerita kami pergi membeli di shopping kompleks. Masa dulu-dulu, saya bodoh, seronok sangat kalau dapat keluar shopping kompleks, sebab dapat mencuri barang-barang. Mak ayah akan pilih pasaraya atau kedai-kedai yang tiada cctv, tiada scanner keluar masuk dekat pintu, pekerja yang tidak mengekor kita semasa membeli dan yang kurang pelanggan pada satu-satu masa.

Selalunya kedai yang dekat taman perumahan inilah yang terkena, tokey kedai seorang lelaki cina yang sudah tua, pekerjanya pula hanya 2 orang warga Indonesia, seorang jaga didalam kedai dengan tauke, yang seorang lagi bantu uruskan sayur dan ikan dekat bahagian luar.

Kalau pergi kekedai, tidak akan pergi keseorangan, semestinya berdua atau bertiga paling kurang. Mudah nak urusan mencuri. Ayah akan alih perhatian tokey kedai, pura-pura berborak, sebab semua kenal satu-sama lain. Mak dan abang, akan masuk mencuri didalam kedai.

Mak akan pakai kain yang dicantum dari 2 helai kain yang kemudian diubah suai menjadikan satu helai kain yang mengunakan 2 pelapik getah dipinggang, kain disebelah dalam dijadikan seperti kantung untuk menyimpan barang yang akan dicuri. Begitulah usahanya mak dan ayah untuk merealisasikan tabiat mencurinya.

Dari pencuci muka, berus gigi, ubat gigi sehinggalah ke minyak wangi, bedak dan sebagainya, mak dan ayah tidak pernah membelinya. Semua diperolehi dari mencuri. Yang tidak dapat dicuri hanyalah barang-barang asas yang besar seperti beras, gas, barang-barang plastik.

Jika masuk ke shopping kompleks yang ada scanner di pintu masuk, beg tangan mak akan dialas keliling dengan aluminium foil disebelah dalam. Untuk menyekat imbasan dipintu masuk. Sememangnya berjaya, tidak pernah dikesan hatta walau sekali. Jika baju atau seluar yang ada tag besi, ayah memang siap sedia dengan magnet untuk buka kuncinya.

Masa kecil saya, begitulah, baju raya ada yang dicuri, ada yang dibeli, tapi kalau kasut raya, sememangnya dicuri, kami akan pilih kasut raya digedung macam Mydin.

Mydin yang selalu kami pergi ini, ada kemudahan tandas disediakan untuk pelanggan. Sistem keselamatan tidak ketat, dilaluan untuk ketandas, tiada yang menjaga, jadi selalunya disitulah kami akan menukar kasut dan selipar yang dicuri.

Jika selipar asal itu sudah buruk, kami buang sahaja di dalam tong sampah di tepi tandas. Macam saya cakap tadi, system keselamatan tidak ketat, orang yang suka mencuri macam keluarga kami ini, peluang macam itu memang cukup sempurna dah.

Apa yang saya ceritakan diatas, adalah ketika saya berusia bawah 12 tahun. Selepas pada itu, saya tidak lagi mencuri walau sekalipun. Saya malu dengan diri sendiri. Kesedaran itu datang dengan sendirinya, bila saya melihat adik-adik dibawah saya mula pandai mencuri disekolah, mencuri duit guru koperasi, mencuri barang kawan-kawan, mencuri barang dipekan sehari.

Beberapakali sudah tertangkap dengan orang, tapi selalunya semua orang lepaskan sahaja, tidak mahu memanjang cerita, sebab mereka mengenali mak dan ayah. Ada juga bekas guru yang saya kenali memberitahu kepada saya tentang adik-adik. Saya tak boleh nak cakap apa-apa. Saya hanya boleh berjanji untuk menasihati mereka.

Yang adik-adik masih kecil, boleh lah saya nasihat, jangan mencuri lagi, kalau abang-abang, mak dan ayah yang tak habis-habis lagi mencuri itu, macam mana saya nak nasihatkan. Bukan saya tidak pernah cakap pasal hal ini, dah banyak kali, dah letih dah saya buat muka, merajuk, marah, bergaduh pasal hal ini, tapi alih-alih begitu juga. Tak berkesudahan.

Akhirnya, saya jadi terasing didalam keluarga sendiri, kalau mereka bercerita pasal mencuri disitu disini, saya masuk bilik bersendirian, tidak mahu mendengar apatah lagi masuk campur.

Barang-barang keperluan saya, saya tidak meminta mak atau ayah sediakan, saya akan minta duit untuk membeli sendiri. Jika mereka sediakan, saya tidak akan gunanya walau sekali. Jika mereka beramai-ramai nak keluar mencari barang dipasaraya, saya lebih awal lagi tidak akan ikut.

Macam yang saya cakap tadi, terasing dalam keluarga sendiri. Hubungan kami sekeluarga memang sangat akrab sebelum saya memilih untuk tidak terus jadi macam mereka, pada awalnya saya masih rasa diterima, tapi makin lama, inilah yang menjadi jurang pemisah kami sekeluarga sejak akhir-akhir ini.

Saya rindukan mak dan ayah saya, abang-abang, adik-adik semua, saya sayangkan mereka. Tapi saya dah tak berdaya untuk hadap perkara ini lagi. Saya ini dah besar, lambat laun akan bertemu jodoh dan berkahwin, bagaimana penerimaan bakal suami saya jika dia tahu tabiat keluarga saya? Baik takyah kahwin, tak perlu menanggung malu.

Dahulu abang pernah kemalangan, dimasukkan ke hospital, patah kaki kanan. Mak beriya nak menjaga abang dihospital, saya tahu dan kenal mak. Mak akan ambil peluang untuk mencuri jika dia duduk dihospital.

Untuk mengelakkan kejadian seperti itu, saya rela ponteng sekolah berminggu semata untuk menjaga abang di hospital. Saya tidak kisah ponteng, sebab saya belajar bukan pandai mana. Kelas pula hujung-hujung.

Apabila tiba waktu melawat, mak datang dengan ayah, matanya melilau mencari peluang. Sempat juga ambil henset pesakit yang duduk disebelah abang. Saya cakap baik-baik dengan mak, minta mak pulangkan balik. Mak akur sahaja.

Saya memang marah, tapi takde lah tahap sampai nak tengking mak, saya tak pernah pun begitu, jika tak setuju dengan apa yang mak ayah buat, saya senyap tak bercakap dengan mereka. Habis teruk pun, saya bermasam muka.

Jika ada kenduri kendara dirumah saudara mara, saya pula memaksa diri menjadi mata-mata untuk pastikan keluarga saya tidak mencuri. Rumah saudara punya kenduri, memang kami datang awal sehari untuk membantu. Tapi, untuk mak dan ayah, membantu ada makna.

Semasa kenduri, semua orang tak cakna dengan keadaan sekeliling. Caj henpon dimerata-rata, tinggal handbag dan wallet tanpa ada yang jaga, hantaran pengantin tidak disimpan elok, saya pula yang rasa nak marah. Ini semua akan membuka peluang buat keluarga saya yang suka mencuri.

Kereta proton saga ayah saya itu antik, boleh angkat kerusi belakang, pastu dibawah kerusi ada ruang kosong. Memang dsitulah tempat keluarga saya menyimpan barang yang dicuri masa hari kenduri. Barang-barang yang ada nilai. Contohnya masa hari kenduri, saya tahu apa yang adik-adik saya akan ambil, sabab saya juga seperti mereka dahulu, mencuri jika ada peluang.

Jadi sebelum kami balik kerumah sesudah habis kenduri, saya akan chek dekat kerusi itu, keluarkan barang yang dicuri oleh keluarga, kemudiannya senyap-senyap letakkan semula ditempat asal. Macam yang saya cakap tadi, saya tahu barang apa yang mereka akan ambil, jadi tak susah untuk saya tahu barang itu siapa punya.

Saya dimarah betul oleh mak sampai mak nak naik tangan pelempang, bila dapat tahu barang itu saya letakkan semula, saya cakap dekat mak,

“nasib baik kakak yang jumpa, kalau orang lain yang jumpa macam mana?” (kakak itu panggilan untuk saya didalam rumah)

Mak cakap, “masalahnya takde orang jumpa, kamu yang lebih-lebih, aku dah buat lama dah, kalau nak jadi (kantoi), dulu dah jadi”

Begitulah sehari-hari, saya marah, minta jangan buat, ingatkan mak dan ayah, macam mana kalau kantoi, macam mana kalau orang tahu. Malu nanti kita sekeluarga.

Tapi mak ayah tak habis-habis cakap, mereka dah biasa buat, tahu selok belok, yelah, tahu sangat selok belok, kalau hebat sangat, takde lah kantoi curi barang emas opah dulu. Sampai hari opah sakit-sakit pun, saya dilarang ayah jangan cerita hal sebenar pada opah. Ape lah. Nak mencuri sangat, sampai anak-anak diajar menipu.

Abang saya yang sulung, dah pandai join geng pecah rumah orang, walau saya taktahu detail sebab saya dah berhenti bertanya. Saya malas dah ambil tahu. Saya juga sudah lama tidak bercakap dengan dia, tanda saya marah pada dia dengan apa yang dia buat.

Dia pun tahu saya marah, tapi dia taknak juga berubah. Kadang-kadang dia bawakan saya rantai emas cantik hadiah untuk saya, saya pulang balik, saya tak mahu.

Tapi masa hari jadi saya tahun lepas, dia belikan saya gelang tangan ada dalam bekas siap dengan resit beli emas. Dia letak atas katil saya, ada nota tertulis,

“balong beli guna duit gaji balong, bukan balong ambil, selamat hari jadi kakak”

(Balong pun kerja dipasar ikan macam ayah, tapi di pasar borong besar dekat bandar, balong menyewa diluar dengan kawan-kawan)

Saya rasa sedih dalam hati, sejak dari saya mula tak ikut aktiviti keluarga, hubungan saya dengan adik beradik jadi hambar. Saya sayangkan mereka, saya rindukan mereka. Saya mula mengasingkan diri, tidak mahu bercampur dengan mereka lagi.

Disekolah menengah dulu, saya pura-pura tidak kenal abang-abang saya. Saya takut saya malu kalau mereka kantoi buat perkara yang tidak baik. Saya tahu mereka selalu mencuri masuk bilik guru. Tapi apa yang saya boleh buat, nak saya marah, nak saya mengamuk, nak tegur, tetap sama tiada berubah.

Pernah saya menangis depan bangah, cakap takyah buat dah bangah, dia selalu mencuri motor, motor itu dia sembunyi dan modified di bengkel tempat dia kerja. Bila polis buat serbuan, motor curi ada disitu, dia dan kawan sekerja direman, tapi sebab tiada bukti motor itu milik siapa, dia dibebaskan.

Bangah selalu cakap, takpe, takde hal, boleh settle. Memanglah kali ni boleh settle, tapi kalau lain kali, macam mana!! Takkan saya sanggup tengok abang saya dalam lokap.

Habis SPM tahun lepas, saya terus kerja dekat kedai masakan panas dekat kawasan bandar, kedai masakan Thailand. Saya minta dengan owner, nak tinggal di bilik yang owner sediakan untuk pekerja yang datang dari Thailand.

Restoren ni memang import pekerja dari Thailand, sebulan sekali, mereka kena balik ke sempadan untuk chop passport. Owner baik dengan saya. Dia bagi saya tinggal berkongsi free tanpa bayar, makan pula disediakan. Saya gembira sangat, tidak perlu dah terlalu fikirkan keluarga saya.

Restoren itu bukanya sampai jam 2-3am, pelanggan lelaki memang ramai melepak disitu, jadi abang-abang-abang saya ini, risaukan saya diusik, setiap hari mereka datang bergilir-gilir bersama kawan masing-masing untuk tengokkan saya, kadang-kadang tu, sampai 3 orang abang datang sekaligus. (mereka semua menyewa berasingan dekat dengan kawasan saya kerja ni)

Mereka melawat adiknya, mereka risau sangat pada saya, pada diri mereka sendiri, taknak pula fikir, tak fikir pula bertapa adik dia ni, peduli sangat pasal diaorang, taknak diorang buat perkara-perkara tak baik itu. Setiap hari, risau kalau tiba-tiba dapat panggilan bagitahu jadi apa-apa kat diaorang. Tapi diaorang tak paham.

Setiap hari nekad, taknak balik rumah selagi diaorang tak berubah. Bila mereka ajak balik rumah, saya cakap saya letih, malas nak berulang alik.

Sudahlah kita ni adik beradik belajar tak pandai mana, nak sambung belajar memang jauh sekali, mak ayah pula tak macam mak ayah orang lain, adik-adik dah mula ikut perangai yang besar, cubalah kita semua duduk perangai baik-baik, tak yah mencuri, ala kadar dengan gaji yang sedia ada tu.

Kita semua peduli diantara satu sama yang lain. Kita semua sayang antara satu sama lain. sampai bila kita semua ni adik beradik mesti macam ni, kakak sayang semua, cuma kakak dah letih.

Sekarang ni musim pkp, restoren tutup, pekerja Thailand semua sudah balik ke negeri mereka, owner tak bagi saya tinggal seorang diri di bilik sewa tu, bimbang kan saya, jadi saya terpaksa lah balik duduk dirumah.

Mereka semua masih belum berubah, saya ingat pemergian saya, buat mereka sedar, tapi sama sahaja, masih lagi mencuri terutamanya mak. Cuma sekarang pergerakkan terbatas sedikit disebabkan perintah kawalan ini.

Mak sekarang bekerja sebagai cleaner di universiti awam, universiti yang ada pusat perubatan, jadi mak memang bekerja seperti biasa. Perangai masih belum berubah.

Universiti yang mak kerja ni, pelajarnya baik-baik, bakal jadi doktor nanti. Pelajar ada buat kedai runcit jual minuman dan makanan, tetapi tiada orang yang jaga, nak beli barang, duit letak dalam tabung. Tabung pun ditinggalkan disitu juga.

Ya Allah. Lain macam betul permikiran pelajar yang pandai ni, mereka ni baik hati dan tiada buruk sangka langsung. Mak setiap hari dapat makan free, ambil duit dalam tabung tu, dah tu, ambil pula bekal bawa balik untuk adik makan. Dimanalah tahap pemikiran mak ni.

Dalam cerita saya, nampak seperti saya marahkan mak, tak juga saya marahkan mak, cuma mak ni, dia dengan cara dia sendiri, taknak dengar pendapat orang, jangankan kata nak dengar nasihat orang, saya ni kalau tegur sindir-sindir pasal mencuri tu, pasti nak ditangan-tangannya saya . Ringan je tangan mak nak lempang saya. Lain dengan ayah, ayah baik dengan saya.

Ayah bekerja dipasar ikan, pergi jam 3am, balik lepas zohor selalunya. Setiap kali bawa balik lauk, saya selalu prejudis, lauk curi kah, lauk beli kah. Sedihnya punya rasa hati macamni pada ayah, sedangkan ayah saya baik melayan saya, dipanggil kakak setiap kali tiba waktu makan. Tak pernah dibiarkan saya makan tidak dipanggil. Selalu telefon tanya khabar masa saya kerja haritu.

Sama juga adik beradik yang lain, sayangkan saya, mereka pun rindukan saya. Cuma hati saya ini, belum boleh nak maafkan mereka, jika saya berbaik semula, nanti saya berat hati untuk marah semula jika mereka mula mencuri semula bila tamat PKP nanti. Aduh letihnya lah saya.

Inilah kot yang orang tua kata, ditelan mati mak, diluah mati bapak. Duduk lah saya berbelah bahagi macamni, memerap dalam bilik, akhirnya ambil laptop, menulis confession ini.

Didalam keluarga saya, hanya saya seorang yang mendirikan solat, sedihnya. Hanya saya yang membaca Al-Quran.

Dahulu, semasa hubungan kami tidak sedingin hari ini, saya sering juga mengajak mak, tapi mak akan cakap, nanti mak buat lepas ni, tapi mak tak buat juga. Saya ajak adik-adik, sebab taknak ayah dan abang-abang terasa malu kalau saya mengajak mereka. Tapi adik-adik taknak buat juga, kadang-kadang ada ikut sesekali mengaji, lepas tu taknak dah.

Minta dengan Allah swt lama dah, lama dah, lama dah. Tak minta banyak pun, minta keluarga saya supaya mendirikan solat dan berhenti mencuri. Itu sahaja. Saya tak kisah hidup susah, makan sekali sehari pun saya tak kisah, sumpah, demi Allah. Yang saya kisah, saya nak keluarga saya seperti keluarga orang lain. hidup susah senang bersama-sama.

Untuk abang-abang-abang. Kakak sayang sangat pada abang-abang-abang. Kakak rindu nak gelak-gelak main jutaria macam dulu, main carrom yang mana kakak selalu kalah, tapi asyik dimenangkan balong. Main jutaria, kakak sorok rumah kondo banyak-banyak. Bangah pun sama main tipu. Bede lagi lah jahat. Balong je yang jujur kalau main jutaria, sebab tu selalu kalah.

Rindu nak masak megi sama-sama waktu malam sambil tengok cerita hantu. Menjerit melolong dalam rumah sampai mak keluar bilik baling bantal pada kita semua. Hahahhaha. Kakak rindu nak pergi pekan sehari, beli ayam goreng tulang, kepak ayam madu dengan air milo. Kakak rindu semua tu. Kakak tak lupa pun walau sehari.

Cuma kakak berharap, kalau balong, bangah, bede baca luahan hati kakak ni, kakak berharap sangat supaya kita berubah, berubah kearah keluarga yang lebih baik. Kita nak nasihatkan mak dengan ayah, kita ni anak je, mak dan ayah takkan nak dengarnya.

Apa yang kita boleh buat, kita sama-sama berubah, tolong kakak, kakak dah lama berdiri seorang diri. Berdiri seorang diri harap abang-abang-abang datang temankan kakak. Tengoklah adik-adik kita. Dah ikut perangai kita masa budak-budak dulu. Masa kita dulu, kita tak pernah kantoi, tapi belum tentu lagi adik-adik kita. Macammana kalau adik tertangkap? Pernah tak abang-abang-abang fikir tentang adik?

Malu kan rasa bila baca luahan hati kakak kat sini? Nampak tak betapa peliknya keluarga kita. Kakak malu, berat tangan nak menaip, malu rasanya bertimbun-timbun. Kalau balong, bangah, bede dah sedia nak bersama-sama kakak, kakak akan jadi seperti kakak yang dulu.

Kakak tak boleh hidup terlalu lama tanpa abang-abang dan adik-adik kakak. Kakak tak kuat.

– Kakak (Bukan nama sebenar)

Sumber -> https://iiumc.com/


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


3 ulasan:

  1. pernah kenal family yang macam ni..
    makcik pegi mencuri dengan anak buah..

    semoga dipermudahkan urusan kakak tu..

    BalasPadam
  2. SAYA MENYAMBUT ANDA SEMUA DI PAGE INI
    INI IALAH CERITA SAYA

    Saya MURNI SANTI, seorang wanita, ibu, kakak dan rakan dari (Bekasi), Indonesia, saya seorang PENGURUS ESTATE SEBENAR dan saya telah mengalami banyak tekanan kewangan baru-baru ini, tidak ada yang mahu meminjam wang kepada kami untuk menyelesaikan projek komersial kami yang telah dibina dalam beberapa bulan sekarang. Saya telah ditipu oleh beberapa syarikat pinjaman palsu yang menuntut sejumlah wang daripada saya tanpa kami menerima pinjaman.

    Saya kecewa, suami saya berusaha sebaik mungkin dan menolong, saya akan membunuh diri kerana kesakitan, terlalu banyak ditanggung dan saya kehilangan harapan, sehingga saya diperkenalkan kepada SEMUA PINJAMAN PEMBERIAN GLOBAL sebuah syarikat pinjaman yang ditaja oleh bank dunia itu sendiri.

    Saya memutuskan untuk memohon pinjaman dan menghubungi syarikat itu, pegawai pinjaman mereka yang benar-benar memberi saya harapan dan memberitahu saya jangan bimbang syarikat itu akan meminjamkan wang kepada saya, walaupun jumlah yang saya perlukan sangat besar, dan semua yang saya dapat berikan kepada mereka keperluan yang merupakan beberapa maklumat peribadi, yang saya lakukan.

    Saya melalui semua proses, mereka berjanji akan meminjamkan wang yang saya minta setelah mengesahkan saya layak untuk mendapatkan pinjaman, saya diminta untuk menunggu, yang paling mengejutkan adalah pinjaman yang dimasukkan ke dalam akaun saya dan saya mengesahkannya .. Kami syarikat kembali dari segi kewangan dan keluarga saya berjaya dengan baik ini menjadikan hidup saya lebih baik, saya bersyukur kepada Allah dan kepada semua PINJAMAN PEMBERIAN GLOBAL
    GMAIL ..... allglobalgrantloan@gmail.com

    UNTUK MENGHUBUNGI SAYA
    Murni Santi
    murnisanti55@gmail.com

    BalasPadam
  3. Puan Christy Walton menyediakan pinjaman kepada syarikat dan individu dengan kadar faedah yang rendah dan munasabah sebanyak 2%. E-mel kepada:(christywalton355@gmail.com)

    BalasPadam