Header Ads

ads header

Flash News

Aliran keluar bersih dana asing susut kepada RM394.34 juta


KUALA LUMPUR:
Pelabur asing terus keluar dari Bursa Malaysia bagi tempoh 18-21 Mei, merekodkan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM394.34 juta, ketika negara memasuki minggu ke-3 pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, jumlah itu lebih rendah berbanding 2 minggu berturut-turut sebelum ini, pada 12-14 Mei dan 4-7 Mei, yang masing-masing merekodkan RM734.18 juta dan RM736.28 juta jualan asing bersih.

Seorang penganalisis memberitahu Bernama penurunan nilai penjualan asing bagi minggu ini mungkin disebabkan oleh pelaksanaan PKPB, yang membenarkan ekonomi dibuka beransur-ansur dan membantu meningkatkan ekonomi negara serta membina semula keyakinan pengguna serta pelabur.

“Barangkali, pada masa depan, kita akan melihat dana antarabangsa kembali semula ke Bursa Malaysia, jika penularan Covid-19 terus terkawal dan kapasiti penjagaan kesihatan kekal kukuh,” katanya.

PKPB yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyaksikan kebanyakan aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei, susulan keputusan positif daripada 2 hingga 6 strategi untuk memerangi Covid-19 – langkah ketat untuk membendung penularan pandemik itu dan membina daya tahan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Pada 1 Mei, Muhyiddin berkata Malaysia kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari disebabkan PKP dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM63 bilion pada masa itu.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata purata penyertaan dana asing berjumlah 14.59% semasa 4 hari pertama minggu yang baru berakhir ini berbanding 15.86% pada minggu sebelumnya.

“Institusi tempatan mencatatkan belian bersih rendah sebanyak RM389.29 juta antara 18 Mei dan 21 Mei berbanding RM611.27 juta sebelumnya, manakala belian bersih pelabur runcit tempatan pada minggu ini susut kepada RM5.04 juta daripada RM122.91 juta sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kekal di atas paras 1,400 mata pada minggu ini bagaimanapun, indeks petunjuk pasaran turun sebanyak 15.35 mata pada Jumaat untuk ditutup pada 1,436.76, seiring dengan penurunan indeks-indeks utama di Asia dan Amerika Syarikat.

“Pembukaan semula beransur-ansur ekonomi serta perkembangan positif mengenai vaksin Covid-19 nampaknya memberi sedikit sokongan kepada pasaran.

“Bagaimanapun, angka ekonomi terus kekal lemah, selain kemungkinan ketegangan antara AS-China berhubung undang-undang sekuriti terbaru di Hong Kong,” katanya.

Afzanizam berkata China dilihat semakin meningkatkan kawalannya ke atas Hong Kong dan ini membawakan reaksi negatif daripada penggubal undang-undang AS.

“Sebelum itu, kritikan berterusan para pegawai AS terhadap China kerana gagal mengawal penularan pandemik dari negara itu boleh menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Ia ibarat seperti tarik tali antara keyakinan membuka semula ekonomi dan risiko geopolitik dan pada satu tahap, peningkatan berselang seli kes jangkitaan baru serta data ekonomi lemah yang akan menyebabkan sentimen kekal berhati-hati,” katanya.

Justeru itu, katanya, sentimen pasaran dijangka berhati-hati minggu depan dan juga susulan minggu dagangan yang singkat pada minggu depan bermakna jumlah dagangan yang kurang di bursa.

“FBM KLCI dijangka berada dalam jajaran kecil dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Ahad. Dagangan akan disambung semula pada Rabu, 27 Mei.

Sepanjang minggu ini, pasaran diniagakan kebanyakannya tinggi dengan jumlah dagangan mencecah paras tertinggi pada 11.21 bilion unit, disokong oleh minat belian menggalakkan daripada peserta pasaran susulan Kadar Dasar Semalaman yang rendah pada 2.0%.

Pada Isnin minggu lepas, Agong dalam titah semasa istiadat pembukaan mesyuarat penggal ke-3 Parlimen ke-14, menggesa kerajaan untuk mencari jalan membantu syarikat dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan