Header Ads

ads header

Flash News

Jenazah pendakwah Ismail Kamus selamat dikebumi


KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat pada pukul 11 pagi.

Terdahulu jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat pada 10 pagi yang dipimpin oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (MEWA), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man merangkap Timbalan Presiden Pas.

Sejak pukul 9 pagi orang ramai mula hadir di masjid tersebut namun jumlah yang menunaikan solat jenazah dihadkan agar dapat mematuhi penjarakan sosial.

Solat jenazah juga dilakukan secara bergilir-gilir bagi mengelakkan jumlah jemaah yang berada di masjid terlalu ramai.

Orang ramai dilihat beratur untuk masuk ke dalam masjid bagi memberi penghormatan terakhir kepada pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2020.

Orang awam yang hadir di masjid diarahkan berbaris sebelum memasuki masjid selain diberikan cecair nyahkuman dan menjalani ujian pengesanan suhu badan.

Ketika ditemui selepas mengimamkan solat jenazah, Tuan Ibrahim menyifatkan pemergian Allahyarham bukan hanya dirasakan oleh umat Islam dalam negara tetapi juga pengikut tokoh itu di beberapa negara lain termasuk Indonesia, Brunei, United Kingdom (UK), Singapura dan banyak lagi.

Justeru Tuan Ibrahim menyarankan mana-mana individu yang tidak dapat hadir menyempurnakan majlis pengkebumian Allahyarham hari ini menunaikan solat jenazah ghaib di rumah masing-masing dan mendoakan kesejahteraan Ismail.

Menteri Alam Sekitar dan Air (MEWA), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2020.

“Apa yang jelas pada kita pemergian ini suatu kehilangan besar bagi umat Islam khususnya seorang tokoh ilmuan yang banyak membimbing umat dengan banyak kaedah.

“Sebagai hamba Allah beliau pergi pada malam Jumaat, dikebumi pada Jumaat di bulan Ramadan mudahan beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

“Saya yakin rakan-rakan di Indonesia, Amerika, UK yang dapat maklumat ini saya yakin mereka turut solat ghaib di tempat mereka. Di mana- mana doa kita tetap sampai,” katanya sambil menambah beliau telah mengenali Allahyarham berpuluh-pulh tahun lamanya kepada pemberita.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Allahyarham meninggal dunia pukul 12.30 pagi tadi akibat jangkitan paru-paru.

Tokoh agamawan itu sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur sejak 26 April lalu. -MalaysiaGazette



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Semoga Allah meletakkan roh arwah Tuan Guru Ismail Kamus dalam kalangan para sollehin

    BalasPadam