Pasangan suami isteri berjauhan dibenar rentas negeri
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kelonggaran perjalanan rentas negeri bagi pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja.
"Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.
"Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga.
"Bagi yang melibatkan perjalanan rentas negeri Sabah dan Sarawak, saya mohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga memberikan kelonggaran yang sama," katanya dalam perutusan khas hari ini.
Jelas Muhyiddin, permohonan bagi mendapatkan kelonggaran itu boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.
Terdahulu, dalam ucapan perutusannya, Muhyiddin mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan empat minggu lagi, iaitu sehingga 9 Jun.
Dalam tempoh berkenaan, kata Muhyiddin, larangan pergerakan antara negeri akan tetap berkuat kuasa menjelang perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
"Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.
"Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah.
"Apabila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara," katanya.
Kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi menangani penularan Covid-19, yang menyaksikan sektor ekonomi terhenti dan orang ramai tidak dibenarkan meninggalkan rumah tanpa alasan munasabah.
Susulan penurunan kes Covid-19 baru-baru ini, kerajaan kemudian menguatkuasakan PKPB pada 4 Mei lalu, yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi dibuka semula.
Dalam ucapannya hari ini, Muhyiddin mengingatkan agar penduduk di kawasan zon hijau, iaitu kawasan yang diisytihar bebas jangkitan Covid-19 tidak alpa.
Muhyiddin mengingatkan bahawa wabak berkenaan adalah "musuh senyap yang kita tak nampak" yang boleh menyerang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja."Jadi, berhati-hatilah. Penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan hidung, dan membersih tangan mestilah terus diamalkan sehinggalah kita berjaya menemui vaksin untuk virus ini," katanya.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan