Header Ads

ads header

Flash News

Anwar perlu keluar daripada bayangan Dr M, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Dua ahli akademik berkata, Anwar Ibrahim perlu keluar daripada bayangan Dr Mahathir Mohamad, walaupun kedua-duanya saling memerlukan untuk blok pembangkang mendapatkan semula kuasa di Putrajaya.

Dua penganalisis itu berkata, walaupun Mahathir masih mempunyai sokongan dan mampu menarik ahli Parlimen ke gabungan itu, beliau perlu kekal di latar belakang.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya sependapat Mahathir melakukan beberapa kesilapan politik yang akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan PH apabila beliau melepaskan jawatan perdana menteri pada Februari lalu.

Azmi berkata, kejatuhan itu ialah tanda Mahathir hilang sentuhan politiknya, manakala Awang Azman berkata, kelewatan Mahathir menyerahkan kuasanya kepada Anwar menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Azmi Hassan

Azmi memberitahu FMT, Anwar perlu keluar daripada bayangan Mahathir dan menyingkirkan persepsi PH memerlukan Mahathir untuk merampas Putrajaya.

Katanya, Mahathir masih mampu menarik sokongan ahli Parlimen kepada PH, tetapi lebih baik untuk gabungan itu jika beliau bekerja di latar belakang.

“Saya rasa hubungan Mahathir dengan PH perlu dikurangkan…saya tidak rasa ia adalah idea baik untuk memberi peranan lebih penting dalam PH kepada Tun. Selagi PH masih bergantung kepada pengaruh Mahathir, persoalan siapa perdana menteri pilihan tidak akan selesai, sama seperti ketika PH berada dalam kerajaan.”

Bagaimanapun, katanya, tidak dapat dinafikan 2 pemimpin politik itu memerlukan satu sama lain untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional.

“Kem Mahathir tidak akan mempertikaikan Anwar saja mempunyai sokongan lebih 90 ahli Parlimen, manakala Tun hanya boleh meraih sokongan 20 lebih ahli Parlimen. Tetapi, jika tanpa salah satunya, jumlah itu tidak akan bermakna kerana kedua-duanya memerlukan satu sama lain.”

Awang Azman Pawi

Awang Azman berkata, Anwar berhak mendapat kepercayaan untuk meraih majoriti mudah di Parlimen, manakala Mahathir perlu berusaha memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kemampuan PH dalam menambah baik ekonomi serta pentadbiran kerajaan.

“Mahathir juga perlu meninggalkan warisan politik yang kelihatan lebih ikhlas dengan memberi laluan kepada Anwar, bukan bersaing dengannya selepas permusuhan politik selama bertahun-tahun.”

Selasa lalu, Anwar mempengerusikan mesyuarat yang jarang diadakan dengan Mahathir dan pemimpin Warisan yang disifatkan sebagai perbincangan “komprehensif” antara mereka, termasuk pilihan perdana menteri gabungan berkenaan.

Lima pemimpin dalam kumpulan itu menerusi satu kenyataan bersama, berkata keputusan mesyuarat itu akan dibuat dalam masa seminggu.

Baru-baru ini, bekas pemimpin PPBM, Maszlee Malik berkata, PH akan kekal sebagai gabungan pembangkang selama-lamanya jika ia mengetepikan Mahathir dan pilihan raya umum lalu menunjukkan Anwar hanya mampu mendapat sokongan 92 ahli Parlimen.

Awang Azman tidak bersetuju dengan Maszlee kerana sesetengah pemimpin PH perlu membuang mentaliti hanya Mahathir mampu mendapatkan sokongan mencukupi untuk meraih majoriti mudah di Dewan Rakyat.

“Mahathir yang menyebabkan PH tumbang dengan meletak jawatan (sebagai perdana menteri) tanpa berbincang dengan PH terlebih dahulu. Walaupun dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Mahathir masih tidak berganjak untuk meletak jawatan.”

Katanya, karisma dan sikap sederhana Anwar akan memainkan peranan penting dalam menyatukan gabungan itu dan memastikan ia kekal dalam “medan tengah” politik. - FMT


 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Dsai saya cadangkan jadi pembangkang lagi baik.bersatu memang bijak mp sikit jadi pm7@8@9.sekarang adun suka lompat katak banyak untung 😎😎😍😘🤩🤣🤣

    BalasPadam