Header Ads

ads header

Flash News

Belasungkawa: Pak Subky pergi buat selamanya


TARIKH
yang sama dengan pemergian Almarhum Tuan Guru Dato’ Fadzil Mohd Noor dan Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, hari ini tanggal 22 Jun,  Ahmad Subki Abdul Latif atau Subky Abdul Latif pergi menemui Penciptanya.

Almarhum meninggal di rumahnya di Padang Balang, Gombak pada jam 11.05 pagi dan meninggalkan seorang balu serta lima orang anak.

Ia satu kehilangan besar buat dunia penulisan khasnya kewartawanan, apatah lagi Pak Subky adalah ‘guru’ kepada ramai penulis khsusunya di Harakah ketika ini.

Pak Subky yang merupakan kolumnis Harakah dan HarakahDaily adalah seorang penulis dan beliau merupakan kolumnis tetap ruangan Mens Sana in Corpore Sano dalam akhbar Harakah terbitan PAS, dan kolumnis bagi portal HarakahDaily.

Di peringkat parti, beliau merupakan Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS, platform yang menghimpunkan veteran parti ini.

Beliau dilahirkan di Setiawan, Perak pada 28 Julai 1940[2]. Beliau berkahwin dengan Hajah Naznah binti Taha dan anak-anak iaitu Dang Fatiha, Hang Muhammad Iftitah, Abdul Latif Rahbar, Muhammad Ramadhan Subky dan Ahmad Huzaifah.[3]

Subky Abdul Latif pernah menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963. Beliau pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Internationales Institut für Journalismus, Berlin Barat, Jerman.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang wartawan di Utusan Melayu. Beliau merupakan mantan wartawan kanan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu yang sangat disegani dan popular dengan tulisannya yang sangat berwibawa selaku pengarang tajuk rencana dan penulis pojok.

Pada masa itu, beliau berada di barisan ketiga dalam hierarki pimpinan Utusan Melayu, iaitu Mazlan Nordin (Tan Sri), Osman Abadi dan beliau di tempat ketiga.

Hal ini demikian kerana, dalam kalangan wartawan kanan yang telah lama bertugas di Utusan waktu itu, termasuk Zainudin Maidin (kini Tan Sri), Ali Salim (Jiro) dan lain-lain, Subky Latif lah yang ada latar belakang pendidikan yang agak tinggi iaitu MCE dan pelajaran agama di Gunung Semanggol, Perak.

Beliau kerap mengikuti kursus sambil belajar di negara-negara luar khususnya di negara Eropah yang ditaja oleh pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur. Beliau turut menjadi pengasas beberapa buah akhbar seperti dwi mingguan ‘Suara Rakyat’ dan ‘Suara Merdeka.’ Begitu juga dengan beberapa majalah yang ‘diciptanya’ seperti ‘Sarina’, ‘Keluarga’, ‘Kisah Cinta’ dan ‘Kritik’.

Pada tahun 1976, Tan Sri Mohd Khir Johari melancarkan akhbar ‘Harian Watan’ yang tujuannya untuk menjadi suara bebas. Akhbar dwibahasa itu adalah untuk menjadi alternatif kepada akhbar arus perdana.

Bagaimanapun, akhbar yang dipimpinnya itu gagal dan kemudian menjadi tabloid politik mingguan.

Beliau merupakan pengasas akhbar lidah rasmi PAS iaitu Harakah pada tahun 1978.[5]

Sebelum memasuki PAS, beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein

Dalam arena politik, Subky Abdul Latif pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 1983 hingga 2005. Beliau memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat bermula tahun 1988[8]. Beliau pernah juga menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (2007) dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Kini beliau merupakan Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS, platform yang menghimpunkan veteran parti Islam tersebut.[1]

Almarhum Subky pernah menjadi calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Pelabuhan Kelang 1979 menentang calon MIC, DAP dan Bebas. Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kematian Tan Sri V. Manikavasagam.

Walau bagaimanapun, beliau tewas. Sebaik sahaja kalah, beliau telah menulis buku Anak Jawa Pelabuhan Kelang : Analisa Awal Pilihanraya Kecil.[9] Selain itu, beliau turut bertanding dalam siri pilihan raya umum Malaysia bagi tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Harakah mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum, dan sama-sama menyedekahkan al-fatihah kepada Almarhum – HARAKAHDAILY 23/6/2020


MR :  Aku sedih, sebelum ini Pak Syed... Hj Subky. Tenaga dalaman parti


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


4 ulasan: