Header Ads

ads header

Flash News

Hari pertama sekolah selepas cuti panjang


KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan wabak COVID-19, sesi persekolahan membabitkan pelajar mengambil peperiksaan awam, dimulakan semula hari ini.

Perasaan gembira berbaur khuatir pasti dirasai pelajar, guru dan ibu bapa tetapi dengan kes COVID-19 yang semakin terkawal, pembukaan semula sekolah diyakini berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Bersama persiapan rapi dilakukan pihak sekolah dan pematuhan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, pembukaan sektor pendidikan dilihat penting, terutama bagi pelajar Tingkatan Lima serta Tingkatan Enam.

Pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan awam, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Atas faktor itu juga, Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian tidak akan menangguhkan pembukaan prasekolah, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) kerajaan serta swasta yang dijadualkan bermula 1 Julai ini.

Tinjauan hari pertama persekolahan dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 11 (1) Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Tinjauan hari pertama persekolahan dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 11 (1) Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pengawal Keselamatan SMK Puchong bersama guru memeriksa suhu badan pelajar tingkatan 5 SMK Puchong mengikut SOP yang ditetapkan. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pengawal Keselamatan SMK Puchong bersama guru memeriksa suhu badan pelajar tingkatan 5 SMK Puchong mengikut SOP yang ditetapkan. - NSTP/Hazreen Mohamad

Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak melakukan pemeriksaan suhu badan pada tinjauan hari pertama persekolahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). - NSTP/Aswadi Alias
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak melakukan pemeriksaan suhu badan pada tinjauan hari pertama persekolahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). - NSTP/Aswadi Alias

Antara SOP pembukaan semula sekolah ialah pemeriksaan suhu setiap hari bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.

Mereka dengan suhu badan yang melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala, tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah, manakala aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka, tidak dilaksanakan sehingga suatu tarikh dimaklumkan nanti.

Melalui tinjauan dilakukan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, semalam, beliau berpuas hati melihat semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa, sudah melakukan persiapan yang cukup untuk pembukaan semula sekolah.

Beliau berkata, KPM akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas, serta berbincang semula dengan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah.

Mengenai situasi COVID-19 pula, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semalam memaklumkan bahawa hanya tiga kes baharu direkodkan, iaitu antara paling rendah selepas hanya dua kes baharu pada 10 Jun lalu.

Selain itu, tiada kematian dicatatkan, semalam, menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

Apapun yang diputuskan kerajaan, rakyat Malaysia wajar optimis bahawa negara semakin menghampiri garis untuk bebas daripada pandemik COVID-19 dengan mematuhi SOP dan kawalan kendiri yang tinggi.

Namun perlu diingat, rakyat tidak boleh alpa dengan segala kelonggaran diberikan kerajaan kerana segalanya kini berada dalam tangan 32.7 juta rakyat Malaysia. – BERNAMA

Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, menjamu selera selepas melaporkan diri dan memasuki asrama, semalam. - FOTO BERNAMA
Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, menjamu selera selepas melaporkan diri dan memasuki asrama, semalam. - FOTO BERNAMA

Pengawal keselamatan bersama guru bertugas mengambil dan mencatatkan suhu pelajar dan guru yang tiba di hadapan pagar sekolah. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengawal keselamatan bersama guru bertugas mengambil dan mencatatkan suhu pelajar dan guru yang tiba di hadapan pagar sekolah. - NSTP/Eizairi Shamsudin



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan