Header Ads

ads header

Flash News

Agong zahir sokongan langkah tegas kerajaan kekang kemasukan PATI


KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menzahirkan sokongan terhadap langkah tegas kerajaan dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan membanteras jenayah rentas sempadan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Seri Paduka mengambil maklum berkenaan pelaksanaan operasi bersepadu Operasi Benteng (Op Benteng) yang diterajui bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Operasi berkenaan bertujuan mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi PATI untuk mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19 yang dikhuatiri dibawa warga asing yang masuk secara haram.

"Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya kerajaan terus memperhebat usaha terbabit dan tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap soal keselamatan rakyat dan negara kerana terdapat beberapa negara yang masih berisiko tinggi COVID-19.

"Seri Paduka Baginda amat menghargai usaha-usaha baik kerajaan, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkaitan khususnya petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus memerangi penularan COVID-19 selama ini dan usaha-usaha itu perlu ditambah baik dengan langkah-langkah susulan seperti Op Benteng, contohnya," katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka bagaimanapun menzahirkan rasa kesal dengan kes-kes penangkapan beberapa anggota PDRM dan ATM yang disyaki terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI baru-baru ini.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan terhadap tindakan penangkapan itu bagi membanteras jenayah rentas sempadan negara kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur dalam perkara yang berkait dengan keselamatan rakyat dan negara," katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Al-Sultan Abdullah menegaskan anggota penguat kuasa agensi-agensi kerajaan sepatutnya memikul tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan disiplin.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan dan mempunyai kesedaran serta tanggungjawab membantu pihak kerajaan dan agensi penguat kuasa dalam menangani isu PATI. - BERNAMA




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan