Header Ads

ads header

Flash News

Malaysia satu-satunya negara beri moratorium 6 bulan


KUALA LUMPUR:
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang melakukan moratorium secara automatik selama enam bulan demi manfaat rakyat dan perniagaan.

Antara negara lain yang turut memperkenalkan moratorium adalah termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, United Kingdom, Itali, Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

“Dalam kalangan negara yang memperkenalkan moratorium ini, Malaysia ialah satu-satunya negara terawal yang melaksanakan moratorium secara automatik dan hanya Malaysia yang membuat moratorium selama enam bulan.

“Sehingga kini, lebih 7.7 juta rakyat (93 peratus) daripada peminjam individu serta lebih 243,000 perniagaan (95 peratus) daripada peminjam PKS (perusahaan kecil dan sederhana) sedang memanfaat moratorium pinjaman tersebut,” kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Malaysia di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng [DAP-Bagan] sama ada moratorium kewangan oleh bank akan dilanjutkan.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata meskipun sektor ekonomi dibuka semula, namun masih ada mereka yang masih tidak mampu untuk membayar semula pinjaman kerana faktor kehilangan pekerjaan atau ekonomi masih terjejas.

“Bagi golongan ini, bantuan yang bersasar akan dipertimbangkan oleh institusi perbankan.

“Bank kini secara proaktif sedang giat menghubungi para peminjam untuk menawarkan bantuan bersasar termasuk; memanjangkan tempoh pinjaman agar jumlah ansuran bulanan dapat dikurangkan.

“Mengubah terma utama dan syarat pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah (sebagai contoh, kemudahan overdraf ditukar kepada pinjaman bertempoh).

“Memberi pelepasan lain yang bersesuaian sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan lebih stabil,” jelasnya lagi.

Menurutnya, sehingga kini lebih daripada 394,000 peminjam telah dihubungi oleh pihak bank untuk menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula bagi membantu peminjam yang masih terjejas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 75,000 peminjam telah dihubungi adalah daripada PKS.

Tambahnya, peminjam disarankan untuk berbincang dengan pihak bank seawal mungkin sekiranya masih menghadapi kekangan kewangan bagi memberi masa kepada peminjam untuk membuat pelan pembayaran balik yang bersesuaian.

“Kerajaan masih dalam perbincangan bersama dengan Bank Negara Malaysia dan sektor perbankan mengenai langkah-langkah seterusnya.

“Sektor perbankan telah memberi komitmen mereka untuk membantu rakyat dan perniagaan serta memainkan peranan untuk terus menyokong pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.- HARAKAHDAILY 27/7/2020


 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan