Header Ads

Header ADS

Beri ruang pihak berkuasa siasat skandal hartanah di Melbourne kata Pihak MARA

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan terhadap skandal penjualan hartanah di Melbourne kepada Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) pada 2013.

Ia susulan pendakwaan mahkamah terhadap seorang individu yang dipercayai warga Malaysia yang bermastautin di Australia atas tuduhan merasuah pegawai Malaysia dan empat lagi pertuduhan berkaitan penjualan hartanah berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mara berkata sejak kes tersebut dibangkitkan pihak berkuasa Australia pada pertengahan 2015, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mara dan Mara Inc telah memberikan kerjasama penuh dalam melakukan siasatan.

“Mara juga amat menghargai keprihatinan orang ramai serta pihak media berhubung isu ini.

“Bagaimanapun saya menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” kata pengerusinya Azizah Mohd Dun.

Pada 5 Ogos lalu, portal The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa individu terbabit telah didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing (iaitu Malaysia) dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc.

Boon Lye Teen, atau dikenali sebagai Dennis Teen, 68, dituduh melakukan kesalahan itu pada 8 Mac 2013 di Vermont South, Melbourne.

Berdasarkan butiran mahkamah, harga hartanah dipersetujui untuk dijual pada harga AU$17.85 juta (RM 53.55 juta), namun kemudian dijual pada harga lebih tingg i- AU$22.6 juta (RM 67.8 juta) - dengan AS$4.75 juta (RM14.25 juta) digunakan untuk membayar pegawai awam di Malaysia.

Laporan itu menarik perhatian Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang menggesa SPRM menyiasat kes itu, termasuk dua “orang tengah” dikenali sebagai Zach Zainal dan Erwan Azizi yang didakwa menerima sogokan berjumlah RM14.25 juta untuk mempengaruhi pegawai awam Malaysia dalam urus niaga itu.

Menurut Kok, pada 18 Mac 2016, pengerusi Mara ketika itu Annuar Musa telah menghantar dokumen berkaitan penjualan bangunan itu kepada SPRM dan setahun kemudian, Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dilaporkan berkata siasatan sudah selesai dan sedang menunggu laporan pihak berkuasa Australia berkenaan transaksi tersebut.

“Bagaimanapun, empat tahun kemudian SPRM masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai awam Malaysia yang dinamakan terlibat dalam proses transaksi hartanah di Australia.

“Tindakan yang diambil oleh polis Australia terhadap Boon Lye Teen akan pasti menjadi persoalan sama ada SPRM dan AGC Malaysia juga akan mengambil tindakan sama ke atas pegawai awam Malaysia yang terlibat dalam kes itu,” kata Kok.

Azizah yang juga anggota Parlimen Beaufort menegaskan, Mara berpendirian untuk menyerahkan kes berkenaan sepenuhnya kepada SPRM untuk disiasat.

“Dengan ini saya menegaskan bahawa pendirian Mara sejak dahulu lagi adalah jelas iaitu menyerahkan kes ini untuk disiasat sepenuhnya oleh SPRM," katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.