Ada ura-ura caj 20 sen akan dikenakan?
Perubahan trend pembelian pengguna merancakkan segmen pembelian dalam talian platform e-dagang.
Ada ura-ura caj 20 sen akan dikenakan bagi setiap pembelian di bawah RM1,000 serta tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya.
Bagaimanapun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menjelaskan, belum ada sebarang perbincangan untuk mengenakan caj 20 sen bagi pembelian dalam talian platform e-dagang.
Bagaimana jika caj berkenaan dilaksanakan?
Ikuti wawancara Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) MOHD AZRUL MOHD NOR bersama wartawan NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN bagi mengupas isu ini.
Caj 20 sen bagi setiap pembelian dalam talian platform e-dagang RM1,000 ke bawah. Setuju atau sebaliknya jika dilaksanakan pada masa depan dan kewajarannya?
Caj tentunya akan memberi sedikit bebanan kepada pembeli jika ia dilaksanakan.
Sebaliknya, jika dilihat daripada aspek ekonomi, ia
boleh membantu meningkatkan kecairan dalam pasaran kewangan domestik antara peniaga dengan pengguna,
bank dan kerajaan.
Saya berpendapat jika dilaksanakan, caj 20 sen adalah berpatutan lebih-lebih lagi untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19.
Pertama, kewajaran ini (caj 20 sen) disokong dengan faktor ekonomi.
Kedua, penilaian untuk jangka masa tertentu sekiranya caj 20 sen ini dikuatkuasakan.
Ketiga, mendapatkan maklum balas daripada pengguna mengenai kewajaran pelaksanaannya (caj 20 sen) dan adakah ia membebankan atau sebaliknya.
Secara umumnya, PUIM bersetuju dengan cadangan ini jika ia dilaksanakan atas faktor ekonomi semasa negara, tetapi pada masa sama, prihatin dengan kesan yang bakal ditanggung pengguna.
Kesan itu akan lebih dirasai jika pengguna membeli banyak barangan dalam talian.
Apabila dikenakan caj, walaupun 20 sen, pasti penjual dan pengguna mahukan perlindungan daripada pihak berkuasa berkaitan atas setiap transaksi penjualan/ pembelian?
Jika ada perlindungan dan keselamatan, pastinya kerajaan akan menambah nilai perkhidmatan ini, membabitkan agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau agensi berkaitan.
Secara tidak langsung, ia akan memberikan implikasi positif kepada pengguna.
Antaranya menambah keyakinan pengguna untuk terus membeli di platform atas talian ini.
Ia juga umpama jaminan insurans kepada pengguna yang membeli barangan dan pengguna lain.
Malah, ia mewujudkan situasi menang-menang di antara pengguna dengan kerajaan.
Caj 20 sen mungkin jumlah yang kecil untuk satu transaksi namun sebaliknya jika jumlah pembelian bernilai tinggi. Siapa yang perlu tanggung kos ini, penjual atau pembeli?
Caj 20 sen ini seperti bayaran untuk pengiklanan di media sosial dan secara tidak langsung (caj 20 sen) ditanggung oleh pengguna.
Peniaga dan pengguna perlu memahami konsep ini.
Peniaga berkemungkinan mengurangkan kadar caj itu, tetapi pada pada masa yang sama memberikan nilai tambah terhadap perkhidmatan dan jualan.
Jika caj ini dikenakan kepada penjual, mereka (penjual) mengenakan semula caj itu kepada pengguna.
Ramai peniaga dalam talian tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika syor caj 20 sen ini diwartakan, mereka juga perlu mendaftarkan perniagaan dengan SSM. Mengapa enggan mendaftar?
Punca utama peniaga enggan mendaftarkan perniagaan dalam talian kerana tiada kesedaran mengenai kepentingan itu (mendaftar).
Kedua, peniaga bimbang sekiranya pendaftaran itu akan menyebabkan mereka tidak dapat menerima pakej rangsangan ekonomi atau bantuan daripada kerajaan.
Ketiga, kemungkinan mereka dikenakan cukai berkaitan yang tidak setimpal dengan perniagaan atas talian yang dijalankannya.
Secara positifnya, jika membuat pendaftaran sudah tentunya menjadikan perniagaan mereka lebih teratur dan rancak.
Penipuan pembelian dalam talian juga menunjukkan peningkatan seiring dengan penjualan produk. Bagaimana tuan melihat perkara ini kerana ia merugikan pembeli?
Memang berlaku penipuan pembelian dalam talian dan ramai yang menjadi mangsanya.
Mekanisme dagangan secara dalam talian mempunyai pelbagai platform.
Antara platform dalam talian popular di negara ini ialah Lazada dan Shopee. Malah, ada juga peniaga menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan blog.
Pembeli yang memilih platform Lazada dan Shopee dapat mengurangkan risiko mereka menjadi mangsa penipuan.
Ini kerana platform terbabit (Lazada dan Shopee), ada jawatankuasa tindakan berfungsi untuk menjaga kualiti barangan, masalah bayaran balik, kesilapan dan sebagainya.
Pada pendapat saya, pengguna perlu bijak memilih platform dalam talian yang mahu digunakan untuk pembelian barangan.
Tetapi membeli barangan menggunakan platform tidak popular di media sosial sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada risiko penipuan.
Seterusnya memastikan bank untuk pembayaran adalah sama seperti digunakan oleh syarikat terbabit. Ini satu kaedah untuk mengelakkan penipuan.
Satu lagi ialah membaca ulasan pelanggan lain di media sosial yang terlebih dahulu berurus niaga dengan syarikat ini.
Adakah caj 20 sen ini akan menjauhkan pembeli daripada berurus niaga secara dalam talian atau peniaga menjadi tamak dan menaikkan harga?
Caj 20 sen ini tidak akan menjauhkan pembeli daripada aktiviti berurus niaga dalam talian.
Kesan Covid-19 ini, mengubah trend pembelian pengguna yang mana orang ramai beralih kepada pembelian dalam talian.
Ditambah pula, keupayaan jalur lebar di negara ini menggalakkan orang ramai berbelanja secara dalam talian dan perniagaan itu juga semakin berkembang.
Penjual menjadi tamak juga kemungkinan boleh berlaku. Saya berpendapat, pelbagai platform dagangan secara dalam talian membolehkan pengguna membuat pilihan terbaik sebelum membuat pembelian.
Adakah kajian tertentu perlu dilakukan sebelum pelaksanaan caj 20 sen?
Kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa untuk membuat kajian implikasi pelaksanaan cadangan seperti ini.
Ini bagi menilai kemungkinan kesan buruk yang akan timbul sama ada kepada pengguna atau penjual.
Pelaksanaan caj 20 sen adalah salah satu cara kerajaan memperoleh pendapatan bagi menjalankan pelbagai pembangunan.
Oleh itu perlu ada situasi menang-menang di antara pengguna dan penjual.
#Sumber : HMetro
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan