Header Ads

ads header

Flash News

Arwah Ustaz Norazli saman Ahmad Syihan sampai bankrap

Perjuangan Allahyarham Ustaz Norazali Musa semenjak masih hayat untuk menolak fitnah berangkai ke atas beliau menemui jalan kebenaran baru-baru ini. Hal ini berikutan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengeluarkan perintah kebankrapan ke atas Defendan kes, iaitu Ahmad Syihan Ismail pada 21 Julai 2020 lepas.

Semasa hayatnya, Allahyarham yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat pada Julai 2015 telah bertindak menyaman Defendan kerana menerbit dan menyiarkan kata-kata fitnah terhadap beliau. Fitnah Ahmad Syihan disiarkan dalam Facebook beliau yang turut disebutkan dalam pernyataan tuntutan, iaitu “Ceramah di Jelai semalam, Norazli Taliban kata sape keluar Jemaah Islam (PAS) jatuh kafir” sedangkan kata-kata itu tidak diucapkan oleh Allahyarham dalam ceramah beliau.


Allahyarham yang dikenali ramai sebagai ‘Ustaz Taliban’ mendakwa fitnah tersebut menyebabkan beliau dicaci, dipersenda, dicemuh oleh orang ramai hingga menyebabkan kerosakan kepada reputasi beliau. Untuk rekod, ketika kata-kata fitnah tersebut disiarkan Allahyarham merupakan Presiden Pertubuhan Pendokong Dan Pencinta Ulamak  (Geng Ustaz) serta penceramah bertauliah di masjid, surau dan premis-premis awam. Malah PAS dan pimpinannya sendiri menerima kecaman teruk daripada warga maya dan masyarakat.

Saman untuk membersihkan nama Allahyarham didengar di Mahkamah Seksyen Kota Bharu dengan memohon gantirugi, permohonan maaf oleh defenden di akhbar-akhbar tempatan dan Facebook serta kos atau relif lain.  Setelah menjalani perbicaraan, pada tanggal 19 April 2016 mahkamah membenarkan tuntutan Allahyarham selaku Plaintif. Malah, ketika perbicaraan Defendan disahkan tidak berada dalam majlis ceramah Allahyarham, sebaliknya abang beliau yang berada di situ.

Ahmad Syihan sebagai Defendan diperintah membayar gantirugi am serta teladan sebanyak RM50,000 berserta kos perbicaraan RM4,450.00 kepada Allahyarham serta memohon maaf kepada Allahyarham yang mesti disiarkan di facebook dan akhbar-akhbar tempatan.

Defendan kemudian membuat rayuan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Namun, pada 20 Februari 2017 mahkamah membuat keputusan menolak rayuan tersebut dan mengekalkan keputusan Mahkamah Seksyen sebelum itu di samping perlu membayar kos perbicaraan. Yang Arif Hakim bersetuju bahawa Allahyarham telah berjaya membuktikan tiga elemen penting, iaitu kata-kata iatu adalah fitnah, ia ditujukan kepada Allahyarham selaku Plaintif dan ia telah diterbitkan oleh Defendan. Setelah tewas dua kali, Ahmad Syihan tidak lagi berani membawa kes tersebut di peringkat yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, Defendan bukan setakat tidak memohon maaf malah turut gagal membayar ganti rugi dan kos yang diperintahkan oleh mahkamah. Untuk menegakkan haknya mengikut lunas undang-undang, Allahyarham kemudiannya memulakan tindakan kebankrapan ke atas Defendan. Namun Allah SWT yang Maha Pengasih telah menjemput beliau terlebih dahulu – pada 12 Mac 2019 ketika beliau di bumi Madinah – sebelum sempat tindakan kebankrapan dimuktamadkan.

Namun, kecekalan naik turun mahkamah oleh Allahyarham disambut oleh wakilnya yang juga isteri beliau, Mastura Ahmad. Lantas kes tindakan kebankrapan di atas Ahmad Syihan diteruskan di Mahkamah Tinggi. Akhirnya pada 21 Julai 2020 lepas, Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah mengisytiharkan hukuman bankrap ke atas Defendan.

Peguam Allahyarham, Mohd Jamil Yaacob ketika ditemui Portal Shahalamku.com berkata tindakan komital terhadap Defendan akan diteruskan kerana menghina Mahkamah apabila gagal untuk meminta maaf secara terbuka kepada Allahyarham termasuk di akhbar-akhbar utama. Selain Mohd Jamil, Allahyarham turut diwakili oleh peguam Kamarulzaman Jusoh daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners, sementara Defendan diwakili peguam Zulhazmi Shariff.

Bagi Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, YDP PAS Shah Alam keputusan mahkamah tersebut sangat disyukuri memandangkan kecekalan dan kesabahan Allahyarham serta keluarga ketika menghadapi pelbagai fitnah ke atas mereka. Beliau yang juga AJK Geng Ustaz dapat memahami keperitan Allahyarham saat-saat akhir hayatnya yang masih gagah berdakwah ke sana-sini walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran kiri dan kanan.

Allahyarham dikenali seorang yang ikhlas dan istiqamah dengan Islam. Dikenali dengan usaha dan kental beliau dalam perjuangan Islam. Namun, ramai tidak menyangka perjuangannya menegak kebenaran bukan sahaja semasa hidup, malah berlarutan ketika arwah telah berada di alam barzakh. Didoakan kebaikan berpanjangan untuk Allahyarham Ustaz Norazli. Al-Fatihah.

#Sumber :  — shahalamku.com (NBD)  
    


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Sepatutnya kaki fitnah disaman berjuta-juta ringgit sebagai pengajaran kepada kaki fitnah dan orang ramai.

    BalasPadam