Header Ads

ads header

Flash News

Politik konfrontasi tak baik untuk Sabah, kata Salleh


Tindakan beberapa parti tempatan mengamalkan politik konfrontasi dengan parti dari Semenanjung adalah sesuatu yang tidak sihat, kata bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak.

“Kita tidak boleh mengamalkan politik konfrontasi, yang akan menjadi mangsa adalah rakyat kerana kita menanamkan sifat kebencian kepada mereka yang berada di Semenanjung. Ini adalah perkembangan tidak sihat.

“Kita di Sabah ini sejak dahulu terikat dengan politik pembangunan dan apabila kita berbicara dengan politik pembangunan, kita seharusnya memberi kerjasama dan sokongan kepada parti pemerintah yang mampu membawa pembangunan ke Sabah,” kata calon BN bagi kerusi DUN Usukan itu.

Dia berkata kesemua parti terbabit sering mengutarakan isu hak-hak Sabah dan kononnya sebagai parti tempatan, mereka mempunyai kuasa monopoli dalam perkara itu.

“Pada saya, hak Sabah itu bukanlah milik mana-mana parti politik. Hak Sabah itu adalah milik rakyat Sabah dan kita boleh mendapat yang terbaik apabila kita mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Bernama ketika bertemu pengundi di Kampung Kuala Abai, Usukan di Kota Belud hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berdepan pertandingan tiga penjuru di kerusi DUN Usukan menentang bekas guru Abdul Bahkrin Mohd Yusof (Warisan) dan Datu Mohd Nazaruddin Datu Tiga Belas (Parti Cinta Sabah).

DUN Usukan, yang mempunyai 16,883 pengundi, terletak lebih sejam perjalanan dari Kota Kinabalu. Kerusi itu sebelum ini disandang Japlin Akim dari BN-Umno selepas memenanginya pada PRU ke-14, yang kemudian menyertai Bersatu.

Salleh juga meminta para pengundi menyokong Perikatan Nasional, BN dan sekutu mereka Parti Bersatu Sabah bagi memastikan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri adalah sehaluan dengan pemerintahan kerajaan Persekutuan untuk menjamin pembangunan yang lebih rancak.

Menyifatkan sambutan yang diterima daripada pengundi amat baik, dia berkata pendekatan kempen pilihan raya negeri kali ini berlangsung dalam suasana berbeza ekoran ancaman pandemik Covid-19.

“Kita tidak memberi tumpuan kepada ceramah-ceramah yang besar tetapi kita memberi tumpuan turun padang menemui pengundi-pengundi di kawasan di mana kita bertanding,” katanya.

Kira-kira 1.12 juta pengundi di Sabah akan memilih wakil rakyat mereka di 73 DUN pada Sabtu ini.

#Sumber :  -Bernama  

 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan