Header Ads

ads header

Flash News

Apakah Muhyiddin tersalah baca dengan idea darurat?


Sejak Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 23 Oktober 2020, pelbagai cendekiawan, penganalisa politik, wartawan, pakar perundangan dan lain-lain mengulas sama ada perdana menteri mempunyai kuasa untuk memperkenalkan darurat atau sama ada YDP Agong mempunyai kuasa untuk menyokong atau menolak permohonan ini.

Kesahihan atau tidak darurat adalah persoalan perundangan tetapi hakikat mengapa darurat dipanggil adalah persoalan kuasa dan kepentingan politik.

Sejarah mengajar kita bahawa darurat di negara kita dari segi fakta dan pelaksanaan akan menepati dua syarat iaitu pertama adalah untuk menyelamatkan parti pemerintah dari hilang kuasa dan kedua adalah untuk menghapuskan musuh politik atau pencabar kuasa tersebut.

Apa yang sering dilemparkan sebagai alasan untuk darurat adalah ancaman Komunis, musuh antarabangsa dan lain-lain. Namun antara tersurat dan tersirat ada perbezaan yang ketara. 

Muhyiddin berkata alasan darurat adalah kerana Covid. Namun hampir semua orang tahu itu hanya alasan. Itu adalah yang tersurat. 

Apakah yang tersirat? Dua syarat darurat adalah menyelamatkan kuasa dan menghapuskan pencabar kuasa. Sejarah menepati dua syarat ini.

Sejarah darurat – tersurat dan tersirat

Sejarah membuktikan darurat tidak pernah dipanggil untuk sebab-sebab yang dinyatakan ia dipanggil. Contohnya Darurat 1948 yang diisytiharkan oleh Penjajah British pada tahun 1948 adalah untuk memerangi keganasan Komunis setelah 3 orang Tuan Ladang telah dibunuh di Sungai Siput. Itu adalah versi tersurat.

Namun parti pertama yang diharamkan bukanlah Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi adalah Angkatan Pemuda Insaf (API) iaitu fron pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang merupakan musuh utama kepada kepentingan penjajah.

Turut menjadi mangsa darurat dan dibubarkan adalah 300 Organisasi progresif dan 97 peratus Kesatuan Sekerja. Parti-parti seperti PETA, AWAS, Barisan Tani Malaya (BTM), Hizbul Muslimin, New Democratic Youth League turut diharamkan. Yang tidak diharamkan adalah Umno.

Jelas bahawa sebab tersurat dipanggil darurat adalah komunis tetapi sebab tersirat dan menepati dua syarat ramuan iaitu pertama untuk selamatkan kepentingan penjajah British dan Umno dan syarat kedua adalah menghancurkan gerakan PUTERA-AMCJA yang menuntut Perlembagaan Rakyat dan Merdeka 100 peratus.

British amat tergugat dengan Hartal pada 20 Oktober 1947 yang menjadi ancaman kepada hasrat mereka dan Umno untuk menuntut Perlembagaan Persekutuan. 

Ramai yang tidak tahu bahawa darurat pertama hanya tamat pada 31 Julai 1960. Ini bererti kita Merdeka dalam darurat pada tahun 1957 dan pilihan raya umum 1959 dilaksanakan pada zaman darurat. Dengan adanya darurat, British dapat menangguhkan kemerdekaan untuk 10 tahun lagi dan itulah sebabnya negara-negara lain seperti Indonesia, India dan Filipina memperoleh kemerdekaan lebih awal lagi.

Satu lagi kelebihan memanggil darurat adalah parti pemerintah boleh sewenang-wenangnya membuat undang-undang. Ribuan orang telah ditahan dan organisasi diharamkan dengan cara ini. British terselamat. Kumpulan antipenjajah dihancurkan. Kumpulan makan dedak penjajah dibenarkan mentadbir.

Darurat 1964

Darurat pertama setelah Merdeka adalah pada tahun 1964. Tunku Abdul Rahman isytiharkan darurat dan sebab yang diumumkan adalah kerana Konfrontasi dengan Indonesia.

Namun penganalisis pada masa itu mengatakan sebab utama adalah untuk melenyapkan Blok kiri pada masa itu iaitu parti Buruh dan Parti Rakyat.

Situasi ini digunakan untuk menangkap ramai pemimpin parti pembangkang pada masa itu dan sekali gus menyelamatkan kepentingan British dan Commonwealth di rantau ini.

Darurat ini secara tersurat untuk melawan musuh luar negara tetapi ia realitinya adalah untuk menghancurkan pihak-pihak dalam negara yang menentang pembentukan Malaysia.

Pembentukan Malaysia adalah satu projek yang yang didorong oleh kepentingan British dalam melawan Blok Timur selaras dengan perang dingin pada masa itu.

British dan sekutu mereka gerun dengan teori Domino apabila melihat satu demi satu negara jatuh ke blok Kiri.

Sama seperti kuasa darurat sebelum ini, sekali lagi 23 undang-undang dan regulasi baru telah digubal dan ia amat selesa kerana tidak perlu melalui parlimen.

Darurat 1969 dan EO6

Sebab tersurat Darurat 1969 dipanggil kerana rusuhan perkauman tetapi alasan sebenarnya adalah Umno dan Parti Perikatan buat pertama kalinya hilang dua pertiga kerusi, hilang lima negeri dan hilang Kuala Lumpur ibu negara Malaysia kepada pembangkang.

Maka rusuhan kaum berlaku tetapi darurat yang dipanggil berjaya untuk membatalkan kemenangan pilihan raya 1969. Parlimen dibubar sehingga Februari 20, 1971. 

Kesan daripada darurat ini Parti Perikatan menukar namanya kepada Barisan Nasional manakala parti-parti pembangkang pada masa itu Parti Gerakan, PAS, PPP dan lain-lain menyertai Barisan Nasional untuk mengekalkan dua pertiga kuasa.

Sama seperti darurat-darurat sebelum itu, inilah masa terbaik untuk mengubal undang-undang. Sebanyak 92 ordinan telah digubal tanpa melalui parlimen dan undang-undang ini antaranya penahanan tanpa bicara dan sebahagiannya kekal walaupun darurat telah habis.

Percayakah anda, Ordinan Darurat yang digubal pada tahun 1969 Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah), 1969 telah digunakan terhadap 6 pemimpin PSM termasuk Dr Jeyakumar pada tahun 2011 kerana tindakan PSM menyokong perhimpunan Bersih 2 pada tahun itu. 

Penahanan ini dikenali umum sebagai EO6.

Darurat 2020!

YDP Agong telah menafikan permintaan PM Muhyiddin Yassin untuk memanggil darurat. Jika Tun Mahathir adalah PM, mesti beliau mempunyai pelbagai jalan lain untuk buat darurat tanpa memanggilnya darurat. Semasa pemerintahan kukubesi Mahathir selama 22 tahun, beliau langsung tidak menggunakan darurat untuk menghancurkan musuh politiknya.

Beliau ada pelbagai jalan lain seperti akta Ikut-Suka-Aku (ISA). Mahathir menggunakan kuasa pentadbiran- KDN dan undang-undang lain untuk membinasakan pelbagai institusi dalam negara termasuk perundangan, polis, kehakiman dan sebagainya.

Muhyiddin mengatakan secara tersurat bahawa alasan untuk darurat adalah mengawal Covid-19. Untuk kawal Covid-19, kita tidak memerlukan darurat kerana pengalaman kita melandaikan graf terbukti dengan pelaksanaan PKP.

Untuk membuat undi tidak percaya pula adalah mustahil kerana speaker pilihan Perikatan Nasional (PN) akan memastikan ia tidak akan dipanggil kerana harus menghabiskan urusan dewan yang lain.

Bercakap pasal soal pilihan raya, memang rakyat juga akan menolak PRU dipanggil pada masa terdekat terutamanya susulan apa yang berlaku di Sabah. 

Maka siapa yang panggil untuk PRU sekarang akan mendapat kritikan dan kutukan ramai kerana tidak peka kepada keadaan tenat kesihatan dan ekonomi negara.

Maka setelah semua sebab-sebab di atas ditapis, maka apa yang ada hanyalah satu sebab iaitu kerajaan takut untuk sidang Parlimen yang akan datang terutamanya takut bahawa Bajet 2021 tidak akan lulus dan secara tidak langsung adalah undi tidak percaya kepada PM kerana sudah hilang kepercayaan Dewan.

Maka inilah yang ditakuti dan inilah mengapa darurat ini dipanggil.

Namun sebelum ini pun; tanpa bil di Parlimen, kerajaan boleh belanjakan banyak duit – pelbagai pakej rangsangan dan sebagainya tanpa perlu mendapatkan kelulusan parlimen.

Muhyiddin tersalah baca?

Maka jika alasan untuk darurat adalah dua syarat iaitu menyelamatkan kuasa dan mengapuskan pihak yang mencabar kuasa maka ketika ini Muhyiddin mempunyai dua musuh utama. Satu adalah Anwar Ibrahim dan satu lagi adalah musuh dalam selimut - puak Zahid Hamidi.

Mungkin Muhyiddin merasakan jika panggil darurat sekarang dia akan menjadi popular kerana rakyat cemas dengan Covid dan muak dengan ahli politik yang mahukan undi tidak percaya atau tukar kerajaan.

Dalam satu pungutan suara online yang diambil empat hari yang lalu oleh MKN mendapati 91 peratus daripada 169,000 orang yang mengundi setuju sangat dengan kawalan lebih ketat PKPB di Lembah Klang dan Putrajaya. 

Ini mungkin memberikan dorongan kepada Muhyiddin bahawa rakyat menyokong tindakan beliau dan amat tidak setuju dengan langkah Anwar Ibrahim dan Umno hendak menjatuhkan kerajaannya.

Maka mungkin ini adalah faktor pendorong beliau cuba membunuh dua burung dengan satu batu apabila mengisytiharkan darurat kerana langkah ini pada pandangan beliau akan diterima oleh rakyat biasa yang amat takut dengan covid dan peningkatan kes selepas PRN Sabah mengingatkan kita bahawa rakyat amat marah tentang tindakan PRU ini.

Namun kemungkinan beliau telah tersalah langkah atau tersalah baca kerana walaupun rakyat amat benci dengan ahli politik yang hendak panggil PRU tetapi mereka juga amat tidak selesa dengan langkah darurat yang mungkin dilihat sebagai keterlaluan. 

Ramai kumpulan, peniaga dan kumpulan pakar dan intelek tidak setuju dengan darurat.

Kini YDP Agong telah memberikan satu nasihat yang akan membuatkan YDP Agong amat popular. Kini PM Muhyiddin terpaksa mencari jalan lain untuk kekal berkuasa. 

Kini sekutu PM yang paling utama adalah pandemik Covid sahaja kerana selagi ada situasi yang mencemaskan, rakyat tidak mahu satu lagi krisis politik sekarang.

S ARUTCHELVAN
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia.

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


5 ulasan:

  1. Kalau kerajaan Muhyidin adalah kerajaan yg sah dibawah mandat rakyat PRU14 maka tidak siapa akan mempersoalkan sekiranya beliau cuba mengisytihar darurat utk menyelamatkan kerajaannya dari dirampas sebelum mandat berakhir.. ini kerajaan yg tertubuh atas sifat berpaling tadah sebilangan pemimpin yg tamak dan pentingkan diri sendiri.. maka kerajaan ini tak perlu diselamatkan.. ditambah lagi dgn sikap mereka sejak hari pertama memerintah.. hak pembangkang dinafikan dgn helah yg tak masuk akal.. pengesahan cukup sokongan diparlimen juga diperlekehkan.. memberi alasan mahu fokus kepada pandemik covid19 tapi kerajaan negeri pembangkang tidak dijemput utk turut bersama2.. menteri yg melanggar udang2 dipertahankan.. memteri kewangan juga tak abis2 melepaskan dendam mengenakan kerajaan terdahulu.. inikah kerajaan yg kita harapkan? Sepatutnya bila dah jadi kerajaan kena berlapang dada.. cuba bekerjasama dgn semua pihak dan lawan.. dendam peribadi kene letak tepi.. demi rakyat.. demi negara.. rasanya Muhyidin perlu berundur dan berikan alasan kecewa kerana tiada pihak bersamanya melawan covid19.. alasan ini baik dan mampu sedikit sebanyak meraih simpati walaupun rakyat dah tau sbb sebenar..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Komen ini utk puak2 PH adalah lebih tepat

      Padam
  2. Hidup muhyiddin, hidup lsksamana!

    BalasPadam
  3. Setiap kerajaan yg memerintah ada kekuatan dan kelemahannya. Bagaimanapun rakyat lebih selesa dgn kerajaan yg ada skrg berbanding kerajaan 22 bulan. Kekalutan yg berlaku skrg kerana terdapat segelintir politician yg gila kuasa walaupun telah diperingatkan oleh SPBYDA pada sesi parlimen yg lalu dimana kepentingan rakyat hendaklah diutamakan..Pandemik Covid19 sepatutnya sama2 berusaha menanganinya dan bukan mengambil kesempatan yg boleh menyusahkan rakyat..Berdiri teguhlah TSMY bersama pemimpin didlm PN & MN utk mentadbir negara ini sehingga tamat penggal parlimen

    BalasPadam
  4. penulis ni kaki teori konspirasi nih..

    BalasPadam