Header Ads

ads header

Flash News

Bekas setpol Mat Sabu dihadapkan 2 pertuduhan lagi


Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu didakwa sekali lagi, kali ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM130,000 daripada sebuah syarikat kontraktor, tahun lepas.

Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM50,000 daripada Pengarah Urusan Aqsa Solution Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat FEHM Entity Sdn Bhd untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Selenggara bagi peralatan perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di dalam kereta Proton rasmi berwarna kelabu miliknya di Lorong VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada Ogos tahun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM80,000 daripada Elias Jemadi yang juga merupakan Pengarah Urusan FEHM Entity melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid bagi tujuan sama.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Kota Damansara Driving Range, Petaling Jaya pada penghujung tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap minggu pertama bermula bulan depan.

Bagaimanapun, peguam Ariff Azami Hussein, yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum atas alasan anak guamnya tidak bekerja sejak hujung Februari lepas dan menanggung isteri, tujuh anak termasuk dua masih bersekolah serta ibu mentua.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 27 Nov ini untuk pengurusan kes.

Pada 15 Okt lepas, Mohd Azhar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.35 juta.

#Sumber : -Bernama 

  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan