Header Ads

ads header

Flash News

Belanjawan 2021: Utamakan perbelanjaan, tangguh pengukuhan fiskal


Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang telah melanda negara kita akan melambatkan lagi pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.

Yang lebih merisaukan, satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur kini berada dalam kemiskinan mutlak, dengan 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi dan 70 peratus sukar memenuhi perbelanjaan keperluan asas, berdasarkan laporan siri ke-2 ‘Families on the Edge’, oleh UNICEF dan UNFPA.

Sekiranya pandemik dan perintah kawalan pelbagai peringkat ini berlanjutan, Malaysia mungkin berhadapan dengan pemulihan berbentuk keluk-K. Maksudnya, sesetengah industri memaparkan pemulihan ekonomi manakala industri lain terutamanya industri pelancongan dan penerbangan terus jatuh merudum.

Pemulihan keluk-K ini juga akan terlihat nyata dalam kalangan masyarakat. Golongan berpendapatan tinggi kurang terkesan, tetapi golongan B40 dan M40 terutamanya yang bekerja sendiri, akan kehilangan mata pencarian dan ini akan menjejas kualiti kehidupan dengan teruk.

Jurang ketidaksamarataan ekonomi akan semakin ketara.

Oleh itu, Belanjawan 2021 perlulah bersifat Belanjawan Mengembang, demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk.

Inilah masanya Kerajaan menggandakan bantuan dan rangsangan menggunakan pendekatan bersasar kepada golongan yang paling terhimpit. Kita tidak boleh membiarkan rakyat hidup merana, perniagaan ditutup selamanya dan ekonomi negara terperangkap dalam ‘irreversible damage’.

Buat masa ini, naratif untuk mengurangkan defisit kerajaan sebagai langkah pengukuhan fiskal perlu ditolak jauh. Usahlah dirisaukan sangat had hutang negara yang baru -baru ini telah dinaikkan kepada 60 peratus daripada KDNK. Hutang negara adalah untuk kita uruskan kemudian.

Urusan utama dan terpenting Belanjawan 2021 ialah kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Manfaatkan pasaran bon tempatan

Bagi menampung peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021, saya menyeru pihak kerajaan terus menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan, terutamanya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Penggunaan pinjaman tempatan tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara, berbanding pinjaman dengan peraturan ketat daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Tambahan pula, pinjaman tempatan kurang terdedah kepada risiko perubahan kadar faedah asing serta risiko penyusutan mata wang kerana hutang tersebut adalah dalam denominasi ringgit.

Maka, usaha konsolidasi fiskal mesti ditangguhkan seketika sehingga tahun 2022, dengan harapan ekonomi negara akan dipulihkan sepenuhnya.

Waktu itu, jika ekonomi pulih, perbelanjaan boleh dikurangkan dan langkah penjimatan diutamakan semula.

Namun, strategi menggandakan perbelanjaan dan ransangan dalam Belanjawan 2021 bukanlah ‘blank cheque’ untuk kerajaan berbelanja secara boros. Perbelanjaan kerajaan masih perlu dirancang dan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan, dengan tekad untuk mencegah segala bentuk ketirisan.

Belanjawan 2021 mesti digubal dengan matlamat ekonomi yang mengutamakan sudut pandangan kemanusiaan. Peningkatan hutang sementara bagi menampung penggandaan perbelanjaan adalah perlu, demi satu matlamat yang mulia dan penting, iaitu menyelamatkan rakyat Malaysia yang paling terkesan dan memulihkan kehidupan.

MOHAMAD HASAN
Timbalan Presiden Umno

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan