Header Ads

Header ADS

Indira fail saman RM100 juta terhadap IGP minggu ini


M Indira Gandhi, yang berjuang mendapatkan semula hak penjagaan anak perempuannya, Prasana Diksa yang masih tidak dapat dikesan, kini mahu memfailkan saman berjumlah RM100 juta ke atas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador minggu ini.

Pengerusi Indira Gandhi Action Team (INGAT) Arun Doraisamy memberitahu Malaysiakini bahawa firma guaman Raj and Sach akan memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sama ada pada Rabu atau Khamis.

“Kami dah beri cukup masa kepada IGP untuk membawa balik Prasana. Kami dah cuba semua cara, jadi kami akan teruskan dengan saman ini,” kata Arun.

Dia turut mengesahkan yang Indira dijadual melakukan perjalanan sejauh 350km ke Putrajaya selama 12 hari, bagi menyerahkan surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Arun berkata selain surat kepada perdana menteri, Indira akan turut menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Justice walk (berjalan menuntut keadilan) setakat ini dijangka bermula jam 10 pagi pada 21 Nov di Sungai Petani. Itu dah disahkan, tapi kami sedang pantau maklumat (terbaru) wabak memandangkan sekarang kami tahu yang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Nov.

“Kalau ada lagi lanjutan tarikh PKPB, maka kami akan pertimbang untuk semak semula tarikh acara jalan kaki itu,” katanya.

Kata Arun, bukan mudah untuk mengambil langkah berkenaan, tetapi, katanya, mengetengahkan kes itu kepada perhatian awam dan mendapatkan bantuan merupakan satu-satunya pilihan terbaik yang tinggal.

Pada Sept lalu,  Indira membatalkan mogok lapar selepas Abdul Hamid setuju berjumpa dengan wanita itu.

Bagaimanapun, pada pertemuan di Bukit Aman itu, dia tidak hadir sebaliknya menghantar seorang wakil.

Arun turut mengesahkan polis tidak memberikan maklum balas terhadap usaha mereka bagi mendapatkan kemas kini berhubung perkara berkenaan.

“Kamu tahu kan tentang pertemuan kami dengan IGP pada 3 Sep. Daripada pertemuan itu, kami sepatutnya ada (satu lagi) pertemuan yang dijadual semula bersama IGP, untuk kami selesai beberapa kebimbangan kami.

“Kami ada menulis (surat) pada 7 September untuk memohon agar pertemuan berkenaan berlaku sebelum habisnya bulan September. Kami tak dapat balasan langsung sepanjang bulan tu.

“Jadi kami mendapat tanggapan bahawa ada (usaha) melambat-melambatkan (hal ini) di pihak IGP.

“Kami rumuskan IGP tak berminat nak berjumpa dengan kami, dan kami sedang mohon untuk mengadakan pertemuan dengan menteri dalam negeri (Hamzah Zainudin) dan perdana menteri. Kami tak mahu lagi minta pertemuan dengan IGP,” katanya hari ini.

Pada Januari, IGP mendedahkan yang dia tahu di mana bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah tinggal dan menggesanya untuk menyerah diri.

Ini meskipun waran tangkap telah dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan ke atas Riduan, yang telah membawa lari Prasana bersamanya.

Prasana masih kanak-kanak apabila ayahnya, Riduan yang sebelum ini bernama K Pathmanathan melarikannya pada 2009, selepas menganut agama Islam.

Riduan dan Indira kemudian berjuang mendapatkan hak penjagaan selepas Riduan secara sebelah pihak telah menukar agama Prasana dan dua lagi anaknya kepada Islam.

Pada 2014, Mahkamah TInggi Ipoh mengarahkan polis mengambil semula Prasana daripada ayahnya. Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan IGP menangkap Riduan.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan bahawa penukaran agama kanak-kanak berkenaan secara sepihak adalah tidak mengikut undang-undang dan memerlukan kebenaran daripada kedua-dua belah ibu bapa.

Ia turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan.

MR :  Mereka berjiuang sampai ke mati atas isu-isu walaupun nampak kecil... lihat kes Beng Hock. Tapi orang Islam lain suka nergaduh sama sendiri 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.