Header Ads

Header ADS

Kerajaan Muhyiddin-Azmin boleh kekal sampai akhir penggal?


Apakah pertelingkahan Umno-Bersatu sudah dapat diselesaikan, ataupun sekurang-kurangnya diredakan, selepas “gencatan politik” dan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dizahirkan Ahmad Zahid Hamidi?

Maka, pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali boleh kekal selamat sehingga berakhirnya penggal Parlimen kali ini apabila Anwar Ibrahim dilihat makin sukar untuk mencapai dukungan “cukup bilang” di kala negara terus diamuk pandemik Covid-19.

Mungkin banyak pihak boleh bersetuju bahawa pendirian terbaharu Majlis Tertinggi Umno dapat meredakan ketegangan di permukaan tetapi sebenarnya kocakan di bawah payah untuk ditenteramkan.

Kedua-dua pihak, Umno dan Bersatu sudah hilang kepercayaan; masing-masing terbukti hanya mementingkan agenda politik sendiri. Persoalan sebenar, iaitu agihan kerusi dalam PRU15, tetap terbuka untuk menjadi gelanggang tempur lebih parah di antara kedua-duanya.

Namun begitu, isu besar, adalah lebih mudah menjatuhkan kerajaan Muhyiddin-Azmin daripada membentuk kerajaan baharu.

Pakatan Harapan (PH) yang sudah kehilangan Dr Mahathir Mohamad (dan ahli-ahli Parlimen bekas Bersatu) bersama Shafie Apdal (dan Warisan), kini berdepan protes sebahagian wakil rakyat DAP pula apabila Anwar mendapat sokongan Najib Razak dan Zahid Hamidi secara peribadi.

Tidak dipastikan kecenderungan sikap 11 ahli Parlimen AMANAH dengan pembabitan pemimpin Umno yang mempunyai kes mahkamah itu.

Yang pasti, negara akan terus menyaksikan situasi ketidaktentuan ini berpanjangan. Proses ugut-mengugut dan tawar-menawar dipercayai berterusan. Politikus lebih ghairah menekuni hal habuan dan kepentingan sendiri, daripada menangani krisis besar yang menimpa rakyat. Masa dan sumber yang terbatas itu akan dibazirkan begitu sahaja.

Anjuran agar semua pihak bertelingkah dapat memusatkan usaha demi kepentingan negara tentu sekali disambut baik. Setiap parti yang berbeda pasti bersikap cermat dengan persepsi umum dan berusaha mengelak tanggapan buruk masyarakat. Masing-masing memperaga watak patriotik, walaupun sebenarnya terus menyusun strategi memperkukuh pengaruh dan kedudukan.

Sifir politiknya, semua pihak menuju destinasi sama, PRU15. Setiap gerak lebih mempertimbang keuntungan atau manfaat yang bakal diraih dalam pilihan raya umum akan datang.

Demikian juga pemain utama yang diperhatikan sekarang, iaitu Umno dan Bersatu. Anwar tetap menjadi tumpuan meskipun senarai nama yang menyokongnya masih menjadi teka-teki.

Namun, ada kelompok yang sinis, menganggap Presiden PKR itu telah dipermainkan — malah dijadikan umpan — Umno. Sehingga langkahnya mengumumkan telah memperolehi “cukup bilang” sebelum PRN Sabah itu didakwa sebagai “paku terakhir ke atas keranda politiknya”.

Umno rasa dibuli Muhyiddin dan Bersatu kerana tidak mendapat posisi sewajarnya dalam pentadbiran kerajaan meskipun mempunyai hampir 40 wakil rakyat. Mereka cuma digula-gulakan dengan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain tidak dilantik sebagai timbalan perdana menteri, sekurang-kurangnya empat menteri Umno bukannya dipilih daripada pemimpin senior parti. Agihan menteri kanan juga memihak kepada Bersatu.

Kerisauan Umno lebih kepada agihan kerusi PRU15 terutama 15 kerusi yang dimenanginya pada PRU14, tetapi telah melompat menyertai Bersatu. Pengalaman dalam PRN Sabah menunjukkan kuasa tawar-menawar ada pada Bersatu; kuasa menerajui kerajaan bagaikan magnet. Dan Umno arif sangat hakikat bidang kuasa perdana menteri yang magik itu kerana pernah merangkulnya selama lebih 60 tahun.

Umum tahu Umno dan Bersatu merupakan dua parti yang saling berebut pengaruh di kalangan masyarakat Melayu, khususnya di kampung-kampung tradisional, penempatan Felda dan wilayah luar atau pinggir bandar. Keterbukaan keahlian Bersatu baru-baru ini lebih kepada meraikan para penyokong Azmin dan bekas PKR.

Jika muafakat Umno-Pas pun sudah dijangka akan menemui titik retaknya, mengulangi persefahaman membentuk Barisan Nasional (BN) pada awal 1970-an, maka lebih-lebih lagilah kerjasama tanpa landasan kukuh Umno-Bersatu. Asasnya cukup rapuh dan longgar, boleh terburai bila-bila masa sahaja.

Penyelamatnya cuma barisan pembangkang sendiri yang bercempera. Bukan hanya faktor Mahathir-Anwar, tetapi sudah merebak kepada anggota PH sendiri. PH di bawah Anwar gagal menampilkan wajah kesatuan dan bergerak sederap khususnya dalam usaha mendapatkan semula Putrajaya. AMANAH dan DAP seakan-akan tidak dirundingi dalam mengatur proses peralihan kuasa, sehingga menimbulkan kesangsian dan kecurigaan akar umbi.

PH di bawah Anwar gagal menampilkan wajah kesatuan apabila AMANAH dan DAP seakan-akan tidak dirundingi.

Bacaan mudah orang awam, Umno tidak puas hati dengan layanan Muhyiddin-Azmin, serta mengharapkan Anwar dapat memenuhi kehendak mereka. Soalnya, mampukah Anwar bersilat dengan permintaan Najib-Zahid (yang dibebani pelbagai kes mahkamah) itu?

Biarpun dikatakan sokongan awal Umno bukan atas nama parti dan hanya wakil rakyat tertentu, tetapi akal waras tentu mempersoalkan kewajaran itu terutama daripada aspek hukum berorganisasi.

PH juga sudah tidak sama lagi, jauh dibandingkan dengan situasi menjelang PRU14 dahulu. Bersatu keluar PH yang seterusnya meruntuhkan kerajaan pada hujung Februari 2020.

Mahathir dan kumpulan penyokongnya yang disingkirkan Bersatu juga tidak memilih bersama PH. PKR sendiri berpecah dan membawa keluar 10 ahli Parlimen. Ya, politik sentiasa dinamik. Ketidaktentuan adalah lumrah. Hanya mereka yang tangkas merebut peluang dapat memposisikan kedudukan terbaik dalam apa jua situasi.

PH yang semakin mengecil itu memang perlu terus berusaha mengembalikan mandat rakyat. Namun, lebih penting adalah mencari semula titik-titik temu agar roh kesatuan yang kental dapat dikongsi semua anggota.

Keanjalan mengatur strategi tidak bermakna prinsip-prinsip asas diabaikan. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Usah pandang ringan kepercayaan rakyat. Akhirnya, kata putus berada di tangan pengundi.

Lebih mudah menjatuhkan kerajaan Muhyiddin-Azmin daripada membentuk kerajaan baharu.

Majoriti rakyat dianggap sudah jelak dengan permainan elit politik yang keterlaluan ini. Mereka mengharapkan pentadbiran yang berkesan, demokratik, transparen, hindari pembaziran-korupsi dan tangani isu-isu ekonomi dan kesihatan secara meyakinkan.

Sumber-sumber parti pemerintah dan pembangkang yang hampir seimbang itu harus digembleng bersama. Kelaziman lama mesti ditinggalkan.

Buktikan ahli-ahli politik kita masih boleh menggalas harapan dan memenuhi impian rakyat, terutama di waktu sukar ini.

Ini bukan soal strategi atau pendekatan berhelah mengumpulkan sokongan menjelang PRU15. Ia menyentuh masa depan dan cabaran negara yang amat kritikal.

ZAKARIA MUSA

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


2 ulasan:

  1. Pertarungan yg sabenar antara parti seluruh negara nanti ialah pd Pru ke 15 nanti..disitulah nanti dpt dilihat mana2 parti yg mendapat dokongan rakyat...

    BalasPadam

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.