Parlimen tidak tergantung hanya dengan proklamasi darurat
PARLIMEN tidak boleh digantung dengan hanya proklamasi darurat. Ini kerana Perkara 150 (2B) membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat. Contoh yang lebih mudah ialah pengalaman semasa proklamasi darurat 1969.
Dalam tahun itu, Parlimen dibubarkan pada 10 Mac untuk membolehkan
Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada 10 Mei 1969. Setelah keputusan
PRU diumumkan, Perikatan gagal mengekalkan dua pertiga jumlah kerusi
Parlimen.
Susulan daripada itu, pihak pembangkang dikatakan
mencetuskan provokasi sehingga terjadi rusuhan pada 13 Mei 1969.
Akibatnya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu membuat proklamasi
darurat pada 15 Mei 1969. Di Sabah dan Sarawak, PRU terpaksa
ditangguhkan sehingga hanya selesai pada 4 Julai 1969. Proklamasi
darurat itu hanya dibatalkan pada 20 Disember 2011, lebih kurang 40
tahun selepas itu.
Oleh kerana berlaku darurat, Agong (YDPA)
berkuasa membuat ordinan darurat untuk mengawal ketenteraman awam di
Persekutuan. Parlimen yang sepatutnya bersidang semula dalam tempoh 120
hari dari tarikh pembubarannya terpaksa ditangguhkan. Parlimen hanya
bersidang semula pada 20 Februari 1971, iaitu hampir dua tahun dari
tarikh pembubarannya setelah dipanggil oleh Agong atas nasihat Perdana
Menteri (PM).
Apa yang berlaku, apabila diisytiharkan darurat
pada 15 Mei 1969, Parlimen sudah dibubarkan untuk membolehkan PRU
dijalankan. Selepas Parlimen mula bersidang pada 20 Februari 1971,
darurat masih berkuatkuasa. Apabila PRU dibuat dalam tahun 1974,
proklamasi darurat masih belum dibatalkan. Itu menunjukkan meskipun
darurat, Parlimen masih boleh berjalan mengikut peruntukan Perlembagaan
Persekutuan.
Perkara 150 (3) memperuntukkan proklamasi darurat
dan sebarang ordinan yang dibuat di bawah Fasal (2B) hendaklah
dibentangkan di kedua-dua Dewan Parlimen dan, melainkan dibatalkan lebih
awal, hendaklah terhenti kuatkuasa jika resolusi-resolusi itu
diluluskan oleh kedua-dua Dewan membatalkan suatu Proklamasi atau
Ordinan itu. Tanpa memprejudiskan apa jua yang telah dilakukan susulan
daripada itu atau kuasa Agong untuk membuat proklamasi baharu di bawah
Fasal (1) atau memasyhurkan sebarang ordinan di bawah Fasal (2B).
Perkara
150 (2B) membenarkan ketika darurat masih beroperasi, Agong (YDPA)
memasyhurkan suatu ordinan seperti yang baginda fikirkan perlu,
tertakluk pada dua keadaan, iaitu: Pertama, Kedua-dua Dewan Parlimen
tidak boleh bersidang serentak, dan Kedua, Agong berpuashati bahawa
wujud keadaan-keadaan yang memerlukan baginda mengambil tindakan segera.
Justeru, untuk membolehkan Parlimen digantung, pembubaranya perlu dibuat lebih awal daripada proklamasi darurat.
Dalam
keadaan darurat seperti di atas, Agong boleh memperkenankan Jemaah
Menteri sebelum Parlimen terbubar untuk meneruskan fungsinya secara
Interim bersifat ‘care taker’ di bawah Perkara 43 (2).
Selain
itu, baginda mempunyai prerogatif untuk merundingi Majlis Raja-Raja atau
mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuat
ordinan yang perlu. Agong mempunyai tanggungjawab untuk memastikan
pengurusan pentadbiran negara berjalan dengan baik sehinggalah PRU
dibuat bagi menangani ancaman besar yang berlaku itu.
Justeru,
rakyat tidak perlu panik jika Parlimen dibubar dan darurat
diisytiharkan. Misalnya dalam tempoh 15 Mei 1969 hingga 20 Februari
1971, pelbagai ordinan dan lahirnya polisi-polisi yang memberi
kesejahteraan kepada rakyat, antaranya;
1. Ordinan (Kuasa-Kuasa Khas) Darurat No. 2, 1969.
2. Ordinan (Ketenteraman Awam dan Pencegah Jenayah) Darurat No. 5, 1969.
3. Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibbah) 1969.
4. Dasar Ekonomi Baru, 1970.
5. Universiti Kebabgsaan Malaysia, 1970.
6. Rukun Negara, 1970.
Tanpa
memerlukan prosiding di Parlimen. Kita perlu memberi kepercayaan kepada
Agong untuk menimbangkan keputusan yang terbaik bagi negara dan rakyat.
Baginda boleh merundingi MRR, MKN atau pihak-pihak yang pada hemat
baginda perlu. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada wabak
yang melanda dan dipulihkan kehidupan ekonomi rakyat keseluruhannya.
DATO’ DR WAN AHMAD WAN HUSAIN
Pengasas Jurisprudens Watan, merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universtiti Malaysia Pahang (UMP). – HARAKAHDAILY 23/10/2020
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan