Header Ads

Header ADS

1,054 kes baru, 12 kematian, 94 di ICU


Jumlah kes positif harian Covid-19 di Malaysia kembali kepada empat digit hari ini, iaitu pada 1,054 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 34,393 kes dengan kes aktif sebanyak 10,135.

Dia berkata daripada kes baru itu juga, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 678 kes.

“Sabah mencatatkan jumlah sebanyak 678 kes atau 64.3 peratus daripada keseluruhan kes positif harian.

“Sebanyak 310kes atau 29.4 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS). Daripada jumlah itu, Kluster Rumah Merah menyumbang sebanyak 229 kes atau 73.9 peratus.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 150 kes atau 14.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Manakala, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan pula mencatatkan 81 atau 7.7 peratus kes positif pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima negeri itu telah menyumbang sebanyak 909 kes atau 86.2 peratus secara keseluruhan.

Jumlah kes baru adalah seperti berikut: Sabah (678 kes), Selangor (124 kes), Labuan (81 kes), Negeri Sembilan (71 kes), Pulau Pinang (35 kes), Sarawak (21 kes), Kedah (12 kes), Kuala Lumpur (10 kes), Putrajaya (3 kes), Perak (2 kes), Johor (1), Melaka (1) dan Terengganu (1).

“Ini adalah berikutan lebih banyak saringan yang dijalankan di negeri-negeri yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini iaitu; kluster Cergas dan Permatang manakala kluster Batu membabitkan Perak diisytiharkan tamat.

Sementara itu, daripada keseluruhan kes terbaru terdapat 14 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ini melibatkan tiga warganegara dan 11 bukan warganegara yang tiba dari Korea Selatan (4 kes), Jepun (2), Filipina (2), Uzbekistan (1), China (1), Hong Kong (1), Nepal (1), United Kingdom (1), dan Maldives (1).

Dr Noor Hisham berkata terdapat sebanyak 875 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 23,995 atau 69.8 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan 12 kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah semua 12 mangsa adalah dari Sabah.

Daripada jumlah itu, lapan adalah warga negara dan empat lagi bukan warga negara. Sebahagian besar juga adalah mereka yang berusia lebih 50 tahun dan dengan latar belakang mempunyai sakit seperti kencing manis, darah tinggi dan asma.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 263 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.