Header Ads

ads header

Flash News

Defisit fiskal bukan lagi kayu ukur untuk berbelanja, kata menteri


PETALING JAYA:
Defisit fiskal tidak lagi menjadi kayu ukur buat kerajaan persekutuan untuk berbelanja pada ketika negara terkesan dengan penularan wabak Covid-19, yang dilihat menjejaskan sumber pendapatan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata, tidak dinafikan sebelum wabak melanda, defisit fiskal salah satu faktor yang dilihat sebagai penentu kepada keupayaan kerajaan dalam membuat sebarang perbelanjaan.

“Kita perlu ikhtiar yang baru, berdasarkan ekonomi dunia dan berdasarkan hasil kita yang turun dengan mendadak. Satu masa, hasil kita kurang dan perlu untuk kita berbelanja, sebab itu kerajaan buat keputusan untuk memastikan jangan terlalu lihat kepada defisit fiskal.

“Ini sering kali yang kita dengar mengenai ruang fiskal, sudah pasti ini satu perkara yang bukannya kita harus ketepikan tetapi ia tidaklah se-relevan perkara ini berbanding sebelumnya. Ini perkara yang difikirkan kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Defisit fiskal merujuk kepada tindakan kerajaan berbelanja lebih daripada hasil yang diterimanya. Secara asasnya penting untuk Putrajaya mengurangkan defisit fiskal, jika tidak dilakukan ia akan menjejaskan kekuatan mata mata wang, serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur dan menjejaskan import dan eksport.

Mustapa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu (PH-PKR), Saifuddin Nasution Ismail, yang memintanya menjelaskan apakah ikhtiar luar biasa akan dibawa Putrajaya hingga mewajibkan ia disokong semua pihak, ketika negara hadapi krisis seperti masalah pengangguran.

Terdahulu, Mustapa akui beberapa sektor seperti penerbangan dan pelancongan, sebelum ini menyumbang 16% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), mengalami penguncupan yang amat teruk.

Bahkan menurut Mustapa, mengambil kira kedudukan ekonomi terkini, pertumbuhan ekonomi pada 2020 dianggar menguncup antara 5.5% hingga 3.5% pada tahun ini dan dijangka berkembang pada 2021 dalam lingkungan antara 5.5% hingga 8%.

“Pelancongan ini berkait rapat dengan sempadan dan kini ia ditutup umpamanya Johor dan Singapura. Kita sedia maklum, bagaimana besarnya penggantungan Johor kepada Singapura dan ia jejaskan ekonomi Johor. Menteri Besar Johor sudah bentangkan kertas kerja pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

“Memang sektor penerbangan dan pelancongan terkesan dan saya yakin Jumaat depan isu ini akan diutarakan dan cadangan yang dikemukakan oleh wakil-wakil rakyat pembangkang sedang meneliti. Benar kita hadapi masalah, bukan kita sahaja tetapi satu dunia,” katanya.

Mustapa turut yakin pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini bersifat sementara dan dijangka pulih pada tahun 2021. Baginya, beberapa petunjuk ekonomi pada Ogos dan Sept 2020 menunjukkan prestasi ekonomi lebih baik berbanding dengan prestasi separuh pertama 2020.

“Nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat sebanyak 2.5% pada Ogos, jualan kereta penumpang meningkat 8% pada bulan Sept dan pasaran buruh kekal mencatatkan kadar pengangguran pada 4.7% bagi bulan Julai dan Ogos 2020,” katanya.

#Sumber : FMT 

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan