Header Ads

ads header

Flash News

Iktibar Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat


AMERIKA
 Syarikat dalam beberapa hari telah berjaya mencatatkan beberapa perubahan besar walaupun dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19. Buat pertama kali dalam sejarah negaranya rekod lebih 145 juta rakyatnya telah keluar mengundi dalam Pilihan Raya Presiden 2020 berbanding cuma 128 juta dalam pilihan raya sebelumnya. AS juga mengundi masuk calon Naib Presiden wanitanya yang pertama yang kebetulan berkulit hitam.

Walaupun berhadapan dengan angka jangkitan COVID-19 yang terbesar dalam dunia iaitu 9.96 juta kes dengan 238,000 kematian, rakyat Amerika Syarikat mampu bangkit mencetuskan perubahan kerana melihat negara mereka di bawah Trump sudah tidak mampu menjanjikan masa depan yang meyakinkan.

Lebih 75 juta rakyatnya bertekad Trump harus disingkir dan ianya benar-benar berlaku. Ternyata kesepaduan gerak kerja parti Demokrat yang mendukung Joe Biden dan kesungguhan serta kesedaran rakyatnya telah memungkinkan perubahan besar ini berlaku walaupun dalam suasana yang mencemaskan.

Kini Amerika menunggu tanggal 20 Januari 2021 bagi kedua-dua Presiden dan Naib Presiden baru mereka mengangkat sumpah jawatan dan mentadbir negara mereka buat 4 tahun berikutnya. 

Lantas Malaysia bagaimana? Kita juga berhadapan dengan pandemik yang sama walaupun angka jangkitan dan jumlah kematian tidaklah sebesar Amerika Syarikat, namun wabak ini terus mengganggu kehidupan seharian rakyat dalam negara dan jika tidak ditangani dengan baik ianya mampu menjadi lebih parah sebagaimana negara lain.

Malaysia memerlukan perubahan. Kerajaan di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini kelihatan gigih berperang dengan pandemik ini sehingga mendapat pengiktirafan rakyat dan Istana. Kerajaan ini perlu kekal memimpin rakyat namun penguasaan kerusinya di Dewan Rakyat tidak kukuh, dan ia terdedah kepada serangan pihak lawan yang laparkan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk merangkul kuasa. 

Kerana itu keperluan kepada perubahan sangat mendesak. Jika tidak pihak lawan yang termasuk DAP akan mencuri kesempatan dan akhirnya kembali berkuasa mengulangi era ‘22 bulan’ kerajaan mereka yang tidak dapat lagi diterima rakyat khasnya umat Melayu Islam.

Bagi memastikan kerajaan ini terus kekal berkuasa setakat hari ini dengan majoriti yang selesa, tiada formula lain kecuali Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum baru dipanggil, bukan sekarang tetapi barangkali sejurus dapat petanda bahawa pandemik ini semakin terkawal. Sudahkah kita bersedia mempertahankan kerajaan ini?

BERSATU, PAS, BN, GPS, GRS antara parti yang membentuk kerajaan hari ini. Sejauh manakah kesediaan semua pihak menyusun jentera sebagaimana parti Demokrat di Amerika Syarikat sehingga mampu membawa kemenangan yang lebih besar melalui pertandingan satu lawan satu seluruh negara, merebah dan memusnahkan saki-baki penguasaan Pakatan Harapan?

Suka tidak suka fokus harus diberikan kepada permuafakatan dan persepakatan politik apa sahaja nama dan bentuk kerjasamanya. Semua pihak perlu duduk di meja rundingan mencapai persefahaman agar perubahan yang dinanti-nantikan itu dapat direalisasikan demi masa depan rakyat dan negara.

PAS contohnya perlu ke hadapan menjadi jambatan dalam memastikan semua pihak yang terlibat dalam kerajaan hari ini dapat duduk mengenepikan kepentingan dan agenda peribadi masing-masing, memberi keutamaan kepada perpaduan nasional sehingga mencapai kemenangan yang besar selain menamatkan usia PH sama-sekali.

PAS perlu tanamkan kesedaran kepada semua pihak yang terlibat bahawa rakyat sudah cukup selesa dengan kita, jangan lagi kita ulangi kesilapan yang lampau sehingga menjadi tamak dan angkuh seolah-olah kita sahaja yang penting dan perlu mendapat keistimewaan. 

Kesepakatan yang bermakna dan jitu adalah kesepakatan yang dibentuk dengan mengiktiraf kepentingan dan kelebihan semua pihak yang bersepakat.

Rakyat masih teraba-raba dan menunggu-nunggu suatu pakatan politik yang lebih meyakinkan yang dapat mereka sokong dan dukung. Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional atau apa sahaja namanya perlulah segera disepakati dan didedahkan kepada rakyat. Jangan biarkan rakyat menunggu lama.

Pihak musuh memang gusar kiranya ada sebarang perkembangan positif dalam hal ini kerana mereka bakal menempah maut politik kiranya terbentuk kukuh satu pakatan politik yang akan berhadapan mereka secara ‘one to one’. Kerana itu saban hari agenda mereka adalah bagaimana memecah dan memerintah pakatan pro kerajaan ini.

Di Amerika Syarikat hakikatnya bukan mudah mahu menjatuhkan seorang Presiden yang baru berkhidmat sepenggal, begitu juga bukan mudah memenangkan calon wanita sebagai Naib Presiden, namun Demokrat kali ini berjaya juga dalam isi mereka, kerana mereka teguh bersatu dan menyusun langkah dan strategi bersepadu serta menerima sokongan rakyat.

PAS perlu dilihat bersungguh membuka semua saluran untuk berunding dan berpakat dengan parti-parti kawan ini, asalkan bukan PH dan DAP. Umno, kawan PAS sejak termeterainya Piagam Muafakat Nasional September 2019 lalu perlu diraikan dan dihormati begitu juga kawan-kawan baru lain termasuklah BERSATU dan GPS. 

Sebagaimana PAS jujur dan memberi penghormatan maka semua pihak ini juga perlu jujur dan menghormati PAS. Ingat rakyat tidak dapat menerima kita kiranya kita gagal bermuafakat dengan sempurna.

Jika persefahaman dan persepakatan boleh dibentuk segera, perundingan kerusi dan lain-lain perjanjian berkaitan diselesaikan, maka ia sudah boleh dipasarkan bersama sementara menantikan pandemik ini beransur pulih dan PRU ke-15 dipanggil.

Ketika itu masing-masing berkempen bersama dan berkerja laksana satu pasukan, negara dan rakyatnya perlu diselamatkan, kehidupan rakyat dipulihkan dan perubahan total ke arah Malaysia yang lebih sejahtera dibina. Tiada yang mustahil dalam dunia yang serba mencabar hari ini maka bermuafakatlah.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
– HARAKAHDAILY 11/11/2020





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


2 ulasan:

  1. kesedaran umat melayu Islam tebesar negara malaysia hari ini..,tak mungkin membuat silap utk merobah kerajaan hari ini yg sudah pasti kemampuan dlm menangani wabak covid 19 yg melanda negara sekarang...
    pehak pembangkang PH hanya ghairah mencari kepentingan politik, terutama tujuan politik peribadi anuar ibrahim yg terus gagal dlm perebutan kuasa utk jadi PM...
    abuar terus terhalang, gagal utk jadi PM...banyak faktor, risiko jika anuar jadi PM....

    BalasPadam
  2. amerika buat pilihanraya relaks ja tak takut covid merebak..

    kita tgk lagi seminggu dua macam mana dulu.

    BalasPadam