IPOH: Sarjan Baharuddin Ramli yang
maut dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand kelmarin
ditemukan dalam keadaan masih menggenggam pistol automatik Walther P99
yang telah kehabisan peluru.
Pegawai Memerintah Batalion 3 Pasukan
Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq, Superintenden Rosman Kasman berkata,
mendiang menggunakan kesemua dua kelopak peluru pistol yang setiap satu
diisi 15 butir peluru semasa berbalas tembakan dengan kumpulan
penyeludup.
Menurutnya, mendiang Baharuddin dan
Sarjan Norihan Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah, berjaya
mencederakan tiga orang penyeludup daripada kumpulan tersebut.
“Ketika diserang, keadaan ketika itu gelap serta hujan renyai.
“Walaupun dirinya cedera parah,
tetapi mendiang Sarjan Baharuddin telah mengarahkan Sarjan Norihan untuk
keluar meminta bantuan sementara beliau meneruskan pertempuran hingga
kehabisan peluru.
“Sarjan Norihan dalam keadaan cedera
dan kesakitan pula berlari keluar dalam keadaan gelap untuk mendapatkan
motosikal dan bergegas ke salah satu pos kawalan bagi mendapatkan
bantuan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurutnya, semasa kejadian, dua
anggota berkenaan ditugaskan membuat tinjauan awal sebelum satu serang
hendap dilakukan oleh batalion itu di satu laluan penyeludupan yang
telah dikenal pasti hasil maklumat risikan.
Katanya, dalam tinjauan tersebut
mereka telah mengenal pasti tempat yang dirasakan paling strategik untuk
dijadikan tempat pemerhatian iaitu di satu kawasan belukar tebal di
persimpangan laluan denai kira-kira 600 meter dari pagar sempadan.
“Lokasinya berbukit-bukau serta
dikelilingi belukar tebal, keadaan muka bumi serta persekitaran yang
gelap membataskan pergerakan pasukan keselamatan.
“Kedua-dua mereka telah memasuki kawasan itu secara taktikal pada pukul 1.30 pagi untuk mengelak dikesan penyeludup.
“Semasa dalam perjalanan menuju ke
tempat pemerhatian ini mereka telah terserempak dengan sekumpulan 13
orang penyeludup di mana pihak musuh telah melepaskan tembakan dahulu
mengakibatkan kedua-dua mereka tercedera,” katanya.
Menurut Rosman, mendiang Sarjan Baharuddin dan Sarjan Norihan merupakan anggota yang bersikap rendah diri.
“Namun mereka mempunyai semangat juang yang tinggi selain disenangi rakan-rakan sepasukan,” katanya.
Menurutnya, keberanian mendiang
Sarjan Baharuddin dan Norihan yang sanggup mempertaruhkan nyawa
mencerminkan semangat keperwiraan tidak mengenal gentar semasa
berhadapan musuh sepertimana diwarisi daripada para pejuang Senoi Praaq
terdahulu.
“Mereka adalah contoh jelas yang
telah menunjukkan semangat juang tinggi dan keberanian luar biasa yang
dimiliki oleh perwira daripada masyarakat Orang Asli ini di dalam PGA.
-UTUSAN ONLINE
Takziah. Untuk anggota keselamatan terus berjuang untuk kesalamatan negara dari musuh dan pengkhianat.
BalasPadamLetakkan ramai anggota ATM juga kat situ!! Kenapa mereka hanya bersenjatakan PISTOL, Ketua Polis Negara oi?!!
BalasPadamkenapa mendiang? bkn allahyarham
BalasPadam