Header Ads

ads header

Flash News

Pertembungan Turki dan Perancis: Luka Lama Berdarah Kembali


Pertembungan antara Perancis dan Turki di persada geopolitik antarabangsa bukanlah satu fenomena baharu bahkan ia adalah satu lembaran sejarah yang panjang semenjak dari era Perang Salib dan Khilafah Uthmaniyah lagi dan berlanjutan sehingga ke hari ini.

Walaupun kedua-dua negara ini adalah anggota NATO, namun jurang perbezaannya amat jelas sekali mutakhir ini rentetan daripada beberapa konflik antarabangsa yang berlaku hingga menyebabkan hubungan antara kedua-dua buah negara ini begitu rapuh dan tegang berkonfrantasi.

Dalam peristiwa pembunuhan seorang guru, Samuel Paty di Paris yang menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini oleh seorang pemuda Islam, seterusnya sokongan Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan tindakan penghinaan itu mendapat respon dengan segera daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Recep Tayyip Erdogan kemudiannya menyelar tindakan dan sokongan Emmanuel Macron dengan menyamakannya seperti tindakan Hitler yang mendokong fasisme. Lanjutan daripada itu, Erdogan menyeru seluruh umat Islam agar memboikot barangan keluaran Perancis yang ketika itu mendapat sokongan padu majoriti umat Islam di seluruh dunia.

Dalam politik Kesatuan Eropah, Turki senantiasa dianggap sebagai ancaman terbesar kepada Eropah kerana sejarah Khilafah Uthmaniyyah yang telah berjaya meluaskan pengaruhnya sehingga sampai ke Austria dan penguasaan armada tentera laut Khilafah Uthmaniyyah yang menguasai Laut Mediterranean buat sekian lama.

Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1918 dan terbentuknya Republik Turki selepas itu, kuasa barat yang terdiri daripada Amerika Syarikat dan gabungan negara-negara Eropah menerima Turki sebagai anggota NATO semata-mata mahu menggunakan kekuatan tenteranya bagi menghadapi Soviet Union di era Perang Dingin.

Selepas terbentuknya Kesatuan Eropah pada 1 November 1993, permohonan Turki untuk menyertainya sentiasa ditolak dengan pelbagai alasan dan faktor khususnya daripada ‘ big bothers ’ Kesatuan Eropah iaitu Perancis, Britain dan Jerman.

Ini adalah disebabkan kebimbangan mereka terhadap pengaruh Turki yang dijangka akan mendominasi Kesatuan Eropah dari sudut ekonomi dan ketenteraan, dan selain daripada itu satu lagi faktor utama adalah faktor sejarah di mana negara - negara tersebut menganggap Turki adalah musuh tradisi mereka dari aspek keagamaan.

Politik Turki telah melalui perubahan yang begitu ketara khususnya era selepas kegagalan rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 15 Julai 2016. Turki di bawah pimpinan Erdogan seolah-olah mendapat nafas baru demi melahirkan semula Turki untuk kembali menjadi kuasa besar dunia yang memimpin Dunia Islam.

Justeru itu berlakulah perubahan pada dasar-dasar luar Turki yang sangat signifikan dalam geopolitik Dunia Islam mahupun antarabangsa. Turki melepaskan kebergantungannya kepada Amerika Syarikat dan memulakan hubungan dengan Rusia yang memberikan impak besar kepada kekuatan geopolitik Turki di Asia Barat dan Eropah ketika ini.

Turki mula mendapat sokongan umat dan Dunia Islam ketika dan selepas berlakunya “ Arab Spring “. Mesir dan Syria yang satu ketika dahulu merupakan sekutu kuat Turki mula ditinggalkan dan Turki mula berbaik dengan Iran dan Qatar. Sokongan kuat Turki kepada kumpulan pejuang Palestin seperti Hamas dan Jihad Islami turut menaikkan reputasi Turki di kalangan Dunia Islam.

Peranan Turki di Bosnia Hezegorvina, sokongan Turki terhadap bangsa Uighur yang ditindas di China dan begitu juga bangsa Rohinya di Myanmar turut mengukuhkan lagi reputasi Turki di mata umat Islam di seluruh dunia dan menguatkan lagi kekuatan geopolitik Turki.

Di saat ini, Amerika Syarikat kelihatan begitu lemah akibat pergelutan politik dalamannya yang tidak berkesudahan dan dilihat seolah-olah ” baton “ untuk menyekat kemaraan Turki oleh kuasa Barat telah diambil alih oleh Perancis ketika ini. Ini jelas dapat dilihat daripada beberapa konflik yang sedang berlaku di beberapa tempat pada hari ini.

Pelebaran Pengaruh Turki di Benua Afrika

Semenjak 20 tahun yang lalu, Turki mengubah polisinya dengan menjadikan negara - negara Afrika sebagai rakan strategik utama melalui pendekatan menggalakkan hubungan diplomatik, pelaburan ekonomi dan ketenteraan. Langkah Turki ini dilihat sebagai satu ancaman terhadap Perancis yang menjadikan benua Afrika sebagai ‘lembu yang diperah susunya’ sejak sekian lama.

Dalam tempoh 15 tahun ini, bilangan kedutaan Turki di benua Afrika telah bertambah kepada 42 buah kedutaan berbanding hanya 15 buah kedutaan sahaja pada tahun 2005. Dari sudut laluan udara pula, Turkish Airlines mempunyai 59 laluan ke benua Afrika berbanding hanya 4 laluan pada tahun 2008.
Adapun jumlah pelaburan pula, Turki menyasarkan jumlah pelaburan sebanyak 59 Billion USD pada tahun 2023 di benua Afrika. Tahun lalu, perdagangan dua hala antara Turki dan negara - negara Afrika berjumlah 26.2 Billion USD dan dijangka akan naik dalam beberapa tahun lagi.

Negara - negara Afrika ketika ini walaupun telah merdeka tetapi majoritinya masih lagi berada di bawah pengaruh kuasa besar Eropah terutamanya Perancis. Tindakan Turki memperkukuhkan perdagangan dan kerjasama dengan negara - negara Afrika pastinya akan mengusarkan Perancis kerana ini bakal mengikis pengaruh dan kekuasaannya di rantau tersebut.

Campurtangan Turki di Libya

Libya adalah sebuah negara penting di utara Afrika kerana kekayaan hasil buminya dan kedudukannya yang strategik khususnya bersempadan dengan Laut Mediterranean yang berkongsi dengan majoriti negara-negara Eropah. Arab Spring yang merebak ke Libya menyaksikan kebangkitan rakyat Libya menentang Muammar Gaddafi secara bersenjata.

Perancis ketika di bawah pimpinan Nicolas Sarkozy dengan jelas menyokong penentangan terhadap Gaddafi demi kepentingan politiknya di Libya. Tentera Perancis melancarkan serangan udara bertalu-talu ke atas tentera Gaddafi sehingga membuka penguasaan puak penentang Gaddafi kepada bandar-bandar utama Libya seperti Sirte, Benghazi dan Tripoli.

Era selepas Gaddafi menyaksikan ketidakstabilan politik yang tidak berkesudahan sehingga membawa kepada perang saudara antara General Haftar yang berpusat di Benghazi dan kerajaan yang sah pimpinan Fayez al Sarraj yang berpusat di Tripoli.

Polisi Perancis memberikan sokongan kepada General Haftar telah terbukti dengan jelas melalui sokongan padu diplomatik kepada pemberontak tersebut. Malah Perancis mengusulkan gencatan senjata dengan Kerajaan GNA Libya di Berlin, Jerman selepas tentera Khalifa Haftar tewas teruk di Tripoli.
Namun bukti yang paling jelas ialah majoriti senjata yang digunakan oleh tentera Khalifa Haftar datangnya daripada Perancis. Pakar geoplotik Eropah, Charles Saint-Prot, Pengarah Observatoire d'etudes geopolitiques yang berpengkalan di Paris menyatakan sokongan Perancis kepada Haftar adalah kesilapan yang besar.

Malah menurut Charles Saint-Pont, sokongan Perancis kepada Haftar menyebabkan Perancis tersisih di kalangan negara - negara Eropah dan tindakan Perancis mengisytiharkan Turki sebagai musuh utama adalah satu kesilapan yang besar.

Adapun Turki pula memberikan sokongan kepada kerajaan sah pimpinan Fayez al-Sarraj yang berpusat di Tripoli. Turki tanpa berselindung memberikan bantuan ketenteraan dan sokongan moral serta diplomatik kepada kerajaan Libya yang sah. Kekalahan tentera Khalifa Haftar di Tripoli sehingga terpaksa berundur ke Sirte merupakan tamparan hebat kepada Perancis.

Sokongan Turki kepada Kerajaan Mali.

Pada tanggal 10 September yang lalu Mevlut Cavusoglu, Menteri Luar Turki membuat lawatan mengejut ke Mali sebagai satu signal sokongan Turki kepada kerajaan sementara yang baru dibentuk selepas rampasan kuasa baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut, Cavusoglu menyatakan bahawa Turki bersedia menjadi rakan strategik Mali dan akan membantu serta menyokong Mali untuk mencapai keamanan dan kestabilan. Cavusoglu juga mengadakan perjumpaan dengan dengan ahli perniagaan Mali dan berjanji yang Turki akan sedia membantu Mali dalam segala aspek yang diperlukan setiap masa.

Mali dahulunya adalah di bawah jajahan Perancis dan Perancis mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Mali. Ketika kerajaan sementara dibentuk di Mali untuk proses menstabilkan Mali, Perancis bertelagah dengan Perdana Menteri Sementara Mali kerana tidak bersetuju dengan kaedah perundingan yang dilakukan untuk menstabilkan Mali.

Nyata tindakan Turki menyokong kerajaan baru ini akan menambahkan lagi konflik antara Turki - Perancis. Malah beberapa pakar geopolitik antarabangsa meramalkan bahawa konfrantasi Turki - Perancis di Mali akan menghangatkan keadaan hubungan kedua - kedua negara dan mungkin akan merebak tanpa kawalan.

Pengkalan Tentera Turki di Somalia

Pada tahun 2017 Turki dengan rasminya membuka pengkalan tenteranya yang terbesar di luar Turki di Somalia. Pemilihan Somalia adalah sangat signifikan kerana kedudukannya yang strategik berada di muka Bab Al-Mandab yang menjadi tempat pertemuan antara Laut Merah dan Lautan Hindi. Selat tersebut juga memisahkan Semenanjung Arab dan benua Afrika.

Menariknya, Somalia juga adalah salah satu daripada bekas negara jajahan Perancis dan Perancis mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Somalia. Namun selepas pembukaan pengkalan tentera Turki di Somalia, Somalia dilihat cuba menghapuskan pengaruh Perancis dan kelihatan akrab dengan Turki.
Konflik Greece dan Turki.

Konflik Greece - Turki di timur Laut Mediterranean adalah konflik terbaru membabitkan Turki - Perancis. Perancis dalam konflik ini jelas menyokong Greece malah turut mengancam Turki dengan sekatan daripada Kesatuan Eropah. Tidak cukup dengan itu, tentera Perancis turut mengadakan latihan ketenteraan dengan tentera Greece malah Perancis menandatangani perjanjian penjualan senjata kepada Greece bernilai berbillion dollar.

Konflik Greece - Turki ini secara jelas menampakkan permusuhan ketara di antara Turki dan Perancis serta jelas ketika ini, Perancis berusaha sedaya upaya cuba untuk mengekang penguasaan dan pengaruh geopolitik Turki yang sedang menular di seluruh persada dunia terutamanya di Asia Barat, Afrika dan di Eropah.

Konflik Azerbaijan dan Armenia:

Dalam konflik yang berlaku antara Azerbaijan dan Armenia, Turki memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Azerbaijan khususnya dari sudut ketenteraan, bahkan antara faktor utama kejayaan tentera Azerbaijan berjaya mara dengan pantas sekali ke dalam wilayah Nagorno-Karabakh adalah kerana pesawat drone yang dibekalkan oleh Turki.

Manakala Perancis pula hanya sekadar memberi sokongan moral kepada Armenia walaupun terdapat desakan yang begitu kuat daripada kerajaan Armenia dan etnik Armenia sendiri yang menghuni di Perancis yang jumlahnya hampir mencecah 1 juta orang untuk membantu Armenia dari semua sudut.
Bagitulah catatan serba ringkas tentang perseteruan ataupun permusuhan sejak sekian lama di antara Turki - Perancis. Apa yang perlu difahami ketika ini adalah tentang penguasaan geopolitik Turki yang sedang pesat menular di serata dunia ketika ini yang menampakkan tidak lama lagi jika berterusan, Turki mampu menjadi kuasa besar dunia.

Setelah lenyapnya kekuasaan Khilafah Uthmaniyah, Dunia Islam tercari - cari sumber kekuatan dan pedoman untuk terus menghadapi kekalutan dunia yang diterajui dunia barat yang sememangnya menindas, menzalimi dan menyedut hasil mahsul bumi Dunia Islam.

Jika Turki berjaya bangkit kembali, saya percaya umat dan Dunia Islam mampu bangkit kembali demi untuk mengembalikan kegemilangan dan sinar umat dan Dunia Islam. Namun, jalan masih panjang tetapi jika umat dan Dunia Islam bersatu padu serta berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, insyallah Allah SWT membuka ruang dan jalan agar Islam kembali disegani dan dihormati.
Islam Memimpin Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


2 ulasan:

  1. Alhamdulillah, analisa yg amat berguna utk negara-negara Islam mengkaji semula hubungan dgn Amerika dan negara2 kuasa dunia yg lain. Turki boleh menjadi faktor penyatu

    BalasPadam
  2. Alhamdullah semoga zaman khalifah akan wujud semula, insalalah zaman kegemilangan islam akn kembali

    BalasPadam