Header Ads

ads header

Flash News

UMNO boleh ubah pendirian untuk kerusi PRU15 demi situasi menang-menang kata Bung


KOTA KINABALU:
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin buat masa ini memilih untuk tidak terbabit dalam perbalahan atas isu pembahagian kerusi dengan rakan politik di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Barisan Nasional Sabah itu sebelum ini berkata, Umno akan mempertahankan semua 14 kerusi tradisi Parlimennya jika pilihan raya diadakan secara mengejut, termasuk kerusi yang kini dipegang sekutunya.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Kinabatangan itu kini memilih kaedah diplomatik, dengan berkata BN akan berbincang dengan parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mencapai “situasi menang-menang” berhubung pembahagian kerusi.

“Kami hanya sebahagian daripada gabungan BN yang lebih besar di seluruh negara dan kami serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan perkara ini (pembahagian kerusi),” katanya kepada FMT.Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa baru-baru ini yang Umno perlu memikirkan peluangnya untuk menang, sebelum meminta PAS dan PPBM memberikan lebih banyak kerusi kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Annuar berkata, Umno berhak bertanding lebih banyak kerusi pada PRU15, jika mengambil kira jumlah kerusi yang dimilikinya ketika ini berbanding rakan sekutunya PAS dan PPBM, tetapi memetik Pilihan Raya Negeri di Sabah sebagai renungan.

Abdul Aziz Julkarnain

“Saya fikir semua faham Umno akan bertanding kerusi paling banyak, tetapi Umno kena tanya, jangan fikir soal nak banyak kerusi saja, boleh ke kita menang banyak?

“Di Sabah, kita nak banyak, orang bagi banyak, tapi akhirnya menang tak banyak. Apa yang penting, jumlah kerusi yang kita menang banyak,” katanya pada malam Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN Sabah, Abdul Aziz Julkarnain, bertegas asas rundingan untuk Umno dengan parti lain GRS ialah parti itu mengekalkan 14 kerusi sama – daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah – yang ditandinginya sejak 2004.

Kerusi Parlimen itu ialah Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Kinabatangan, Silam, Libaran, Semporna dan Kalabakan.

Umno Sabah kehilangan kerusi Parlimen Kota Belud, Sepanggar, Papar, Tenom, Silam, Semporna dan Kalabakan kepada parti lawan pada PRU14. Bagaimanapun, 5 daripada kerusi yang dimenanginya kini di tangan PPBM Sabah, selepas calon yang menang melompat parti pada April 2019.

Lima ahli Parlimen itu ialah Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Hafez Yamani Musa (Sipitang), Ronald Kiandee (Beluran) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Umno Sabah kini hanya mempunyai 2 ahli Parlimen – Bung dan Mohamad Alamin (Kimanis).

“Sudah tentu, kita perlu mempertahankan 14 kerusi itu kerana kita sudah lama berkhidmat kepada rakyat, jadi kita mahukan kerusi ini kembali,” kata Aziz kepada FMT sambil menambah kebanyakannya ialah kubu kuat Umno, termasuk 5 kerusi yang dipegang PPBM itu.

“Ingatlah, mereka (5 ahli Parlimen melompat ke PPBM) bertanding dan menang di bawah bendera BN pada PRU14, jadi sudah tentu kita masih mahukan kerusi itu kembali.

“Jika PPBM Sabah mahu mengambil kerusi tradisi kami, ia mesti diganti kerusi lain supaya kami masih mempunyai 14 kerusi.”

Beliau berkata, BN Sabah juga perlu memperjuangkan kerusi bagi parti komponennya, PBRS dan MCA untuk baki 11 kerusi.

Katanya, PRU tidak seperti PRN di Sabah pada 26 Sept lalu, yang mempunyai tambahan 13 kerusi baru.

“Kami mempunyai sedikit kelonggaran untuk rundingan dalam PRN Sabah kerana boleh mengambil daripada kerusi tambahan itu jika kerusi DUN yang kami tandingi terdahulu diambil parti lain, tetapi untuk kerusi Parlimen, jelas tiada perubahan.”

Bagaimanapun, beliau tidak setuju dengan tindakan Annuar menggunakan PRN Sabah sebagai asas untuk pembahagian kerusi.

“Beliau tidak boleh menggunakan perbandingan itu untuk Sabah kerana kami bukan kerajaan (negeri) ketika itu dan selain itu, tempat berbeza mempunyai kekuatan berlainan.”

Katanya, Umno Sabah menurunkan kira-kira 90% muka baru di 32 kerusi yang ditandinginya pada PRN Sabah dan masih berjaya memenangi 14 kerusi, yang disifatkannya pencapaian besar.

“Jika rakyat mahu kata ‘Umno bertanding banyak kerusi, tetapi kalah banyak juga’, kami meletakkan muka baru pada PRN Sabah, tetapi masih memenangi banyak kerusi berbanding parti lain.

“Dan (kerusi) yang kami kalah juga dengan saingan baik dan sengit, di mana calon kami tewas dengan margin kecil. Mereka juga bukan penyandang.”





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan