Header Ads

ads header

Flash News

Zahid akui terpaksa tutup 'mulut tempayan' dalam parti


Bagi mengelakkan kekeliruan rakyat terhadap pendirian parti dalam soal kerjasama bersama parti lain, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia harus menutup “mulut tempayan” dalam kalangan pemimpin parti.

Katanya, dia tidak boleh menafikan bahawa pendapat yang berbeza-beza itu sememangnya wujud kerana tafsiran dan pendapat politik yang berbeza, dan perbezaan itu dapat diterjemah di dunia maya.

Namun, katanya, pendirian rasmi parti ialah yang dikeluarkan olehnya sendiri selaku presiden, dan juga setiausaha agung Umno, Ahmad Maslan.

“Kita mesti bersetuju untuk bersetuju, dan bersetuju untuk tidak bersetuju dalam membuat keputusan.

“Dalam hal itu, keputusan yang dibuat sama ada kenyataan itu datang daripada presiden atau setiausaha agung, itu ialah kenyataan rasmi.

“Tetapi di kalangan pemimpin yang menggunakan pendapat peribadinya seolah-olah pendapat parti, dan secara yang terbaik, saya hendaklah menutup mulut tempayan ini,” katanya dalam wawancara bersama Malaysia Gazzete yang disiarkan semalam.

Dia menjawab soalan berkenaan kekeliruan yang timbul di kalangan rakyat berhubung kerjasama Umno dengan parti lain, akibat kenyataaan-kenyataan berbeza daripada pucuk pimpinan parti akhir-akhir ini.

Tidak lama selepas mengambil alih kerajaan menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, PAS, dan beberapa parti lain pada hujung Februari lalu, keretakan hubungan Umno terutamanya dengan Bersatu semakin kelihatan.

Ia bermula daripada ketidakpuasan hati yang diutarakan pemimpin Umno terhadap agihan jawatan dalam kabinet yang dakwa mereka, tidak adil dan tidak menggambarkan bilangan kerusi yang dimiliki Umno.

Beberapa pemimpin Umno juga pernah mengeluarkan kenyataan kritikal terhadap prospek kerjasama Umno bersama Bersatu, lebih-lebih lagi menuju pilihan raya umum (PRU) ke-15, antaranya oleh timbalan presiden, Mohamad Hasan dan naib presiden, Mohamed Khaled Nordin.

Menceritakan panjang lebar tentang proses membuat keputusan Umno, kata Ahmad Zahid, dia tidak pernah menggunakan kuasa mutlak presiden, sebaliknya mengutamakan keputusan secara berjemaah.

Katanya, perbincangan dilakukan bukan hanya di kalangan lima kepimpinan utama - presiden, timbalan presiden, tiga jawatan naib presiden - tetapi juga biro politik, serta jawatan utama lain seperti setiausaha agung, ketua penerangan, bendahari, serta ketua sayap.

Malah, katanya, dia turut menjemput pengerusi perhubungan seluruh negara bagi menggali pendirian mereka sebelum membuat keputusan, yang kemudian dibawa dan dibicangkan sekali lagi di peringkat majlis tertinggi untuk diputuskan.

Oleh hal yang demikian, katanya, dia telah menasihati pucuk pimpinan parti agar tidak memberikan anggapan bahawa keputusan peribadi mereka sebenarnya ialah keputusan parti.

“Saya memberitahu mereka, jawatan yang ada pada mereka menggambarkan pendapat peribadi itu adalah pendapat jawatan itu, dan jawatan itu mewakili parti.

“Oleh yang demikian, saya telah memberikan nasihat kepada mereka jangan mengelirukan rakan-rakan di akar umbi, yang menyebabkan kepelbagaian pendirian, seolah-olah Umno tak ada hala tuju.

“Sedangkan hala tuju bukan hanya terlontar dalam ucapan dasar presiden, tetapi juga dikongsi pelaksanaannya melalui proses pembuat keputusan yang telah saya sebut tadi,” katanya lagi.

Katanya, pendirian Umno berhubung kerjasama parti sangat jelas:

Ahli parlimen Umno menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) - kerjasama membabitkan Bersatu, PAS dan beberapa parti lain- tetapi tidak pernah menyertai gagasan itu sebagai parti gabungan.

Dalam masa sama, Muafakat Nasional (MN) pula - kerjasama antara Umno dan PAS - dalam fasa merasmikan kerjasama.

Dalam mesyuarat terbaru MN, kongsi Ahmad Zahid, Umno dan PAS bersetuju untuk menggunakan lambang masing-masing dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, tetapi tidak akan berlaga sesama sendiri dalam pertandingan kerusi selain menjalin kerajasama erat di peringkat jentera.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan: