Header Ads

ads header

Flash News

Silap kira, saya tiada niat tipu Dewan Rakyat - Shahbudin Yahya


Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shahbudin Yahya menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk menipu Dewan Rakyat selepas tersilap menandakan Nazri Abdul Aziz (BN- Padang Rengas) sebagai menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan dalam pengundian belah bahagi, semalam.

"Semasa membuat pengiraan undi, saya pada ketika sebelum beberapa minit itu, saya ada melihat Padang Rengas. Cuma semasa (undi RUU) yang berkenaan itu Padang Rengas mungkin tiada di situ.

"Saya tidak pasti, sehingga membuat aduan. Tapi saya yakin bahawa Padang Rengas ada pada ketika itu. Tapi, saya tidak ada niat untuk menipu dewan atau pun membuat suatu perkara yang bercanggah dengan peraturan dewan.

"Saya telah memaklumkan kepada speaker dengan ikhlas, saya tidak menyembunyikan perkara ini dan saya telah memohon maaf kepada speaker. Jadi, terpulang kepada speaker, tapi jangan tuduh saya ada niat untuk menipu dan sebagainya," kata wakil rakyat Bersatu itu ketika memberi penjelasan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Ketua penghitung blok C, Dewan Rakyat itu diminta memberi penjelasan mengenai kesilapan menandakan Nazri sebagai menyokong undi belah bahagi walaupun dia tidak hadir ketika pengundian dilakukan.

Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa jumlah ahli parlimen yang menyokong perbelanjaan dan pengurusan Kementerian Kewangan di peringkat jawatankuasa semalam adalah 106 dan bukannya 107 seperti yang diumumkan.

"Saya memberi makluman bahawa saya telah mendapat makluman daripada Shahbudin Yahya, ahli parlimen Tasek Gelugor semalam berkenaan senarai undi bagi blok C bagi undi belah bahagi bahawa beliau telah tersilap menandakan bagi ahli parlimen Padang Rengas bersetuju walaupun ahli parlimen tidak hadir.

"Oleh itu saya meminta keputusan belah bahagi anggaran perbelanjaan Kementerian Kewangan ditukar kepada 18 tidak hadir kepada 19. Dan 107 ahli setuju, kurang satu akan jadi 106. Manakala, 95 ahli kekal tidak setuju," kata Rashid.

Susulan itu,, ahli parlimen pembangkang meminta speaker meneliti perkara itu dengan serius bagi mengelakkan sebarang penipuan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas -Muar) berkata, Dewan Rakyat perlu ada sistem semak dan imbang agar perkara seumpa itu tidak berulang.

"Ini perkara yang penting. Walaupun ia tidak mengubah keputusan semalam. Tetapi bagaimana kita pastikan bahawa kesilapan seperti ini tidak akan berlaku lagi dan tidak akan berulang lagi.

"Takkan di Dewan Rakyat tidak ada sistem semak imbang," katanya.

Kata, presiden parti Muda itu bahawa sesiapa sahaja (penghitung) boleh mengubah undian sekiranya tidak ada sistem semak dan imbang.

Bagaimanapun, Rashid berkata bahawa Dewan Rakyat memang mempunyai sistem semak dan imbang.

"Memang, perkara hari ini hasil daripada semak imbang. Cuma lewat," katanya.

Sementara itu, RSN Rayer (DAP - Jelutong) tampil dan mencadangkan supaya tindakan diambil ke atas Shahbudin.

"Orang atau individu yang mengambil kira undi Padang Rengas perlu diambil tindakan. Ini merupakan satu penipuan.

"Kalau perkara sebesar ini boleh ditipu, bayangkan perkara-perkara kecil boleh ditipu oleh PN," katanya.

Namun, Rashid menolak permintaan pemimpin DAP itu dan memaklumkan bahawa perkara seumpama itu pernah berlaku.

"Pada 2017, YB Kapar (G Manivannan, bekas MP PKR) pernah membuat kesilapan ketika penghitungan dan meminta maaf kepada Dewan Rakyat.

"Jadi, tidak perlu memperbesarkan hal ini," katanya.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan