Header Ads

ads header

Flash News

Dilema PH – Mahathir atau Anwar?


PETALING JAYA:
Kemampuan Pakatan Harapan (PH) bertindak sebagai barisan bersatu kini dipersoalkan kerana sebilangan pemimpinnya mungkin cuba bekerjasama dengan Umno, sementara yang lain menyokong Dr Mahathir Mohamad, meninggalkan Anwar Ibrahim dalam keadaan tidak menentu, menurut penganalisis dan sumber dalam parti.

Sumber dalaman PH berkata, Anwar hanya boleh menyatukan pembangkang sekiranya Mahathir berundur daripada politik.

Beliau berkata, buat masa ini, beberapa pemimpin DAP mahu bekerjasama dengan Mahathir, sementara yang lain menyokong Anwar.

Oleh itu, katanya, ada gerakan menyingkirkan dua Lim – veteran DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Guan Eng – daripada jawatan tertinggi.

“Mereka mahukan darah baru untuk memimpin parti itu dan bekerjasama dengan Anwar, sementara anak-beranak Lim boleh menjadi penasihat parti,” katanya.

Pemimpin itu berkata, memandangkan wujud perpecahan dalam DAP, pemimpin Amanah juga berbelah bagi antara Anwar dan Mahathir.

Gabungan PH terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Anwar perlu betulkan keutamaannya

Kartini Aboo Talib Khalid.

Penganalisis politik, Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, terdapat perpecahan dalam hampir semua parti pembangkang.

Katanya, DAP masih tidak dapat “tango” dengan pengundi Melayu, walaupun keahlian parti itu terbuka kepada semua, mereka masih tidak dapat menarik pengundi Melayu di kawasan bandar atau luar bandar.

Oleh itu, beliau berkata, veteran parti perlu membenarkan pemimpin muda dengan pendekatan berbilang kaum memimpin parti itu.

“DAP memerlukan kepimpinan lebih bersemangat dan segar untuk meremajakan dan berhubung semula dengan semua (kaum),” katanya kepada FMT, sambil menambah penolakan beberapa pemimpin parti untuk meletak jawatan boleh menyebabkan perpecahan dalam parti itu.

Katanya, perkara sama juga berlaku dengan Anwar yang perlu mempersiapkan pemimpin muda untuk mengambil alih PKR sebagai kaedah untuk menarik kelompak lebih muda dan meremajakan parti itu.

Kenneth Cheng.

Penganalisis politik, Kenneth Cheng berkata, tiada calon alternatif ketika ini kerana Anwar adalah ketua pembangkang.

Katanya, Anwar perlu memfokuskan isu yang mempengaruhi rakyat dan bersuara menentang segala ketidakadilan serta impak ekonomi yang semakin lemah kerana rakyat bimbang mengenai pekerjaan dan kestabilan.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Port Dickson itu perlu memastikan barisan pembangkang bersatu untuk dihormati dan dipercayai rakyat.

“Di bawah darurat, tidak ada Parlimen, jadi Ahli Parlimen pembangkang perlu kembali ke kawasan mereka dan memenangi hati mereka.

“Semua orang begitu muak dengan politik,” katanya merujuk perbalahan berbulan-bulan antara PPBM dan Umno yang bermula hanya empat bulan selepas mereka mengambil alih Putrajaya daripada Pakatan Harapan pada Mac 2020.

Cheng, yang juga ahli Agora Society, jaringan longgar intelektual, menasihati Anwar tidak tergesa-gesa bekerjasama dengan Umno kerana pilihan raya mungkin diadakan selepas darurat berakhir Ogos ini.

“Lihatlah bagaimana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ditekan untuk mencadangkan darurat, beliau ditekan oleh pemberontak Umno (yang tidak mahu bekerjasama dengan Muhyiddin),” katanya.

Walaupun jika Anwar berganding bahu dengan Umno sekarang, Cheng berkata, Parlimen secara automatik akan dibubarkan dalam dua tahun. Oleh itu, katanya, lebih baik memperjuangkan hak rakyat sekarang dan menjadikan pakatan pembangkang lebih kuat.

“Saya betul-betul tidak nampak kelebihan mengambil alih kerajaan sekarang.”

Awang Azman Pawi.

Penganalisis politik, Awang Azman Pawi berkata, darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan menyebabkan ekonomi menjadi perlahan.

Ini katanya, memberi ruang kepada Anwar untuk membuat dasar alternatif bagi memastikan rakyat tidak menerima hasil dasar sebelah pihak.

“Beliau boleh menjadi semak dan imbang kerana Parlimen tidak bersidang,” katanya.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, tidak mustahil bagi PH untuk menjadi barisan bersatu, kecuali Mahathir memberi laluan.

“Sekiranya Mahathir masih mahu menjadi perdana menteri untuk kali ketiga, mungkin berlaku perpecahan dalam pembangkang kerana Anwar adalah ketua pembangkang.” - FMT

MR : UMNO pun kini ada dilema sama ada Zahid atau Mat Hassan





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Kami benci zahid..kami suka tokmat hassan dan annuar musa

    BalasPadam