Header Ads

ads header

Flash News

Dr M menuduh berlaku salah guna kuasa, kerana Muhyiddin ada 'berkuasa mutlak'


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata "kuasa mutlak" yang diberikan kepada penggantinya Muhyiddin Yassin berikutan pengisytiharan darurat akan menyebabkan berlaku "pelanggaran dan penyalahgunaan kuasa".

"Pengisytiharan darurat telah memberikan kerajaan kuasa yang luar biasa.

"Semua yang dilakukan adalah atas nama Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak boleh dipersoal, dan juga tidak boleh dibawa ke parlimen kerana semua persidangan telah dibatalkan. Kedaulatan undang-undang telah dihapuskan.

"Kita yakin bahawa niatnya baik. Tetapi apabila kuasa mutlak diberikan, pelanggaran dan penyalahgunaan kuasa akan berlaku," kata Mahathir dalam catatan di blognya hari ini.

Katanya, peningkatan mendadak kes Covid-19 dijadikan alasan untuk "rampasan kuasa" melalui pengisytiharan darurat.

"Apa yang dapat dilakukan perdana menteri dengan kuasa mutlaknya untuk menyelesaikan krisis kesihatan ini?

"Bolehkah perdana menteri, dengan kuasanya memenjarakan orang hingga 10 tahun dan menjatuhkan denda RM5 juta dapat mengurangkan jumlah kes?" soal Mahathir.

Bekas perdana menteri itu berkata, masalah yang berpunca daripada wabak Covid-19 tidak boleh diselesaikan dengan mudah.

Di antaranya ialah tekanan sistem penjagaan kesihatan akibat peningkatan kes, kesesakan di asrama pekerja asing hingga menyebabkan peningkatan jangkitan dan juga masalah ekonomi.

"Nasihat apa yang boleh (Muhyiddin) berikan kepada Agong yang akan mengurangkan jumlah mereka yang dijangkiti, mereka yang harus dirawat di hospital, mereka yang akan mati?" soal Mahathir.

Tambahnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin telah hilang majoriti dan hak mentadbir, maka hanya melalui perisytiharan darurat "kerajaan minoriti" memperoleh kuasa untuk memerintah.

Pada 9 Jan lalu, Pengerusi Umno Kelantan dan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajan PN.

Beberapa hari kemudian pada 12 Jan, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz pula mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan.

Dengan penarikan sokongan oleh Nazri, kerajaan Muhyiddin hilang majoriti, dengan hanya disokong 109 daripada 220 anggota parlimen.

Dalam catatan blognya hari ini, Mahathir berkata darurat tidak perlu dilaksanakan sejak awal kerana kerajaan sudah mempunyai kuasa dan rakyat Malaysia telah mematuhi arahan yang dikeluarkan.

"Kita bukan seperti negara-negara barat yang liberal di mana rakyat secara terbuka tidak mematuhi arahan kerajaan yang mendakwa bahawa hak dan kebebasan mereka telah diabaikan," katanya.

Mahathir pada Jumaat lalu menyamakan Muhyiddin sebagai "diktator" kerana menggunakan pengisytiharan darurat.

Dilaporkan juga hari ini Pejuang, parti yang diasaskan Mahathir,  mengutuskan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat.

Agong berkenan terhadap Pengisytiharan Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada 12 Jan lalu sebagai langkah membendung kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Darurat berkuat kuasa sehingga 1 Ogos atau tarikh yang lebih awal sekiranya angka Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Pengisytiharan darurat membolehkan Muhyiddin menggantung parlimen dan menangguhkan pilihan raya negeri Sarawak. Tempoh Dun Sarawak akan berakhir secara automatik pada Jun tahun ini.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

  1. Kebodohan ahli parlimen umno di bawah zahid semakin menyerlah kebodohan.

    BalasPadam